Intel Core Ultra 200V: Ini sebab kenapa ia penting buat anda

Buat yang terlepas berita, Intel di IFA 2024 yang berlangsung di Berlin, Jerman, telah mengumumkan pemproses siri Lunar Lake Core Ultra 200V ataupun lebih dikenali sebagai Intel Core Ultra Mobile Processors (Series 2).

Cip ini adalah satu checkpoint yang signifikan kepada Intel kerana ia bawakan naik taraf saujana pada segi kecekapan tenaga dan prestasi untuk produk pemproses Intel. Pengeluarnya mendakwa yang cip baharu ini mampu berikan prestasi gaming 30% lebih baik berbanding produk pesaing lantas menetapkan tanda aras baru dalam industri CPU.

Siri Intel Core Ultra 200V: Prestasi dan kecekapan

SIri Intel Core Ultra 200V ini rekaannya memfokuskan pada kecekapan tenaga apabila penggunaan tenaga untuk buahkan tahap prestasi yang sama, turun sebanyak 50% berbanding generasi terdahulu. Hal ini bermakna, anda beroleh dua kali ganda prestasi untuk setiap watt yang digunakan disamping hayat bateri yang lebih baik, sehingga 20.1 jam!

Angka tersebut kira-kira 2 jam lebih panjang berbanding mesin yang diperkasa Qualcomm Snapdragon X Elite dan kira-kira 4 jam lebih panjang berbanding mesin yang bertunjangkan AMD. Intel katakan yang disebabkan cip mereka masih menggunakan seni bina X86, tahap compatibility dengan sistem Windows lebih baik berbanding Snapdragon X Elite yang terpaksa menggunakan lapisan penterjemah Prism untuk menterjemah kod X86 kepada ARM yang difahami SoC Qualcomm.

Siri Intel Core Ultra 200V: Perbandingan dengan pesaing

Pemproses Intel Lunar Lake ini diposisikan untuk bertembung secara langsung dengan Ryzen AI 300 daripada AMD dan Snapdragon X Elite daripada Qualcomm. Satu lagi cip yang ingin Intel berlaga adalah Apple Silicon siri M, namun ia tidaklah perbandingan adil kerana Apple tidak menggunakan sistem operasi Windows untuk perbandingan setara dilakukan.

Intel mendakwa cip mereka ini mempunyai nisbah prestasi-per-watt 1.2 kali ganda lebih baik berbanding Snapdragon X Elite dan 2.29 kali ganda lebih baik berbanding Meteor Lake Ultra 7 165H.

Di bahagian GPU, Intel memberikan pemproses grafik Arc 100V yang mengandungi 8 teras grafik yang dibangun menggunakan seni bina Xe2. Menggunakan XMX Engine, GPU ini boleh melakukan tugasan-tugasan berkaitan AI dan bekerja pada paras sehingga 67 TOPS.

Intel melaporkan yang terdapat 31% peningkatan prestasi pada segi gaming beranding Meteor Lake dan 16% lebih baik berbanding HX 370 AMD.

Siri Intel Core Ultra 200V: 9 SKU untuk dipilih

Siri Intel Core Ultra 200V terdiri daripada 9 SKU semuanya. Setiap satu daripada varian itu mengandungi 4 P-Core jenis Lion Cove dan 4 E-Ccore jenis Skymont. Clockspeed bagi pemproses ini berada dalam julat antara 4.5Ghz hinggalah 5.1Ghz dan modul RAM terpateri atas ciplet tersebut adalah sama ada 16GB ataupun 32GB, menggunakan modul LPDDR5X-8533.

Pengguna kuasa pemproses ini dikira dalam unit Thermal Design Power (TDP) berjulat antara 8W hingga 30W seperti pada Core ulTra 9 288V. CPU-CPU ini boleh dikenakan turbo untuk menarik 37W lantas mempertingkat prestasi.

Siri Intel Core Ultra 200V: Laptop berkuasa Lunar Lake diedar bermula 24 September 2024

Siri Cire Ultra 200V sudah boleh ditempah oleh OEM. Buat masa ini, semua Core Ultra 200V adalah untuk laptop dan hanya boleh dibeli oleh pengeluar laptop. Laptop yang dikuasakan Core Ultra 200V akan mula menembusi pasaran global pada 24 September 2024 ini. Pengeluar besar seperti Asus, Dell, Acer, MSI, dan Lenovo adalah antara yang pertama mengguna pakai cip ini.