Artikel ini akan berikan pencerahan tentang bagaimana jemaah boleh menyewa sebuah skuter elektrik untuk menyudahkan Haji dan Umrah mereka. Anda akan tahu di mana nak pergi, di mana nak ambil, jenis servis, cara tempah, dan berapa harganya.
Skuter elektrik ditawarkan dalam perkarangan Masjidil Haram memudahkan jemaah untuk lakukan Saie dan Tawaf. Ia berguna khususnya untuk jemaah yang sudah berusia dan tak cukup kekuatan fizikal untuk lakukannya secara berjalan kaki.
Lokasi sewa skuter elektrik
Terdapat tiga lokasi untuk anda sewa skuter elektrik. Lokasi yang pertama adalah di Plaza Point dekat jambatan Al-Shubaika (peta). Lokasi kedua adalah di Jambatan Ajyad iaitu bertentangan dengan Menara Al-Safwa (peta). Akhir sekali adalah di Al-Qashashiya berhampiran Gaza (peta). Anda juga boleh dapatkan skuter elektrik di Tingkat 3 bangunan Saie.
Jenis servis dan harga sewa skuter elektrik
Ada tiga jenis servis skuter elektrik yang ditawarkan di Masjidil Haram iaitu:
- Skuter elektrik untuk Saie sahaja
- Skuter elektrik untuk Tawaf sahaja
- Skuter elektrik untuk Saie dan Tawaf
Bergantung kepada kegunaan, harga untuk setiap jenis servis ini juga berbeza. Skuter juga ditawarkan dalam dua jenis iaitu skuter elektrik 1 tempat duduk dan skuter elektrik 2 tempat duduk. Berikut adalah harganya.
Saie Sahaja
- Skuter elektrik 1 tempat duduk – SAR57.50 (~RM69)
- Skuter elektrik 2 tempat duduk – SAR115.00 (~RM137)
Tawaf Sahaja
- Skuter elektrik 1 tempat duduk – SAR57.50 (~RM69)
- Skuter elektrik 2 tempat duduk – SAR115.00 (~RM137)
Saie dan Tawaf
- Skuter elektrik 1 tempat duduk – SAR115.00 (~RM137)
- Skuter elektrik 2 tempat duduk – SAR230.00 (~RM274)
Cara tempah skuter elektrik Masjidil Haram
Tempahan skuter elektrik di kaunter
Untuk menempah anda boleh terus pergi ke tiga kaunter yang digariskan di awal artikel ini. Perlu diingatkan yang keadaan di kaunter adalah sesak terutamanya pada musim-musim tertentu. Oleh sebab itu, tempahan skuter elektrik Masjidil Haram secara dalam talian amat disarankan.
Tempahan skuter elektrik dalam talian
Sebanyak 3 saluran tempahan dalam talian boleh digunakan untuk menempah skuter elektrik Masjidil Haram.
Aplikasi Tanaqol
Anda boleh muat turun aplikasi Tanaqol daripada Google Play ataupun App Store. Kemudian, buka akaun menggunakan nama, emel, dan nombor telefon. OTP akan dihantar ke telefon anda untuk tujuan pengesahan. Apabila akaun disahkan, boleh cari pilihan “Book Cart” dan anda boleh pilih tarikh & masa, jenis servis, dan jenis skuter eleltrik.
Pembayaran adalah menggunakan kad kredit sahaja. Anda masih perlu pergi ke kuanter skuter elektrik tapi kali ini hanya perlu tunjukkan pengesahan tempahan untuk terus dapatkan skuter elektrik.
Anda boleh lakukan tempahan 7 hari lebih awal untuk elakkan kesesakan.
Laman web Tanaqol
Tanaqol juga ada versi laman web. Kaedah yang sama seperti di aplikasi masih terpakai iaitu anda kena buka akaun, pilih jenis servis, tarikh & masa, serta jenis skuter elektrik.
Aplikasi Nusuk
Kaedah dalam talian yang ketiga adalah menerusi aplikasi Nusuk (Google Play ataupun App Store). Dalam aplikasi Nusuk, pergi ke tab “Featured Services” dan cari pilihan “Electric Cars”. Ikuti arahan di skrin dan pembayaran dilakukan terus di dalam aplikasi.
Perkhidmatan pelanggan
Perkhidmatan pelanggan Tanaqol
- e-mel: [email protected] | [email protected]
- Telefon: +966 9200 31746
- Media Sosial:
Perkhidmatan pelanggan Nusuk
- Domestik: Dial 1966
- Antarabangsa: Dial +966 9200 02814