Biwin perkenal katalog 2025 Biwin perkenal katalog 2025

Biwin katalog 2025: SSD pantas, storan iPhone & RAM DDR5

Biwin mungkin jenama hardware yang jarang-jarang anda dengar. Namun, ia pesaing kuat kepada Kingston dan Samsung untuk produk storan, pemacu kilat, dan RAM berprestasi tinggi. Untuk tahun 2025, mereka dah kemas kini katalog penawaran dengan produk-produk baru yang lebih segar. Produk-produk ini mereka dah pamerkan sewaktu CES 2025 tempoh hari.

Jom tengok apa yang mereka tawarkan kepada pengguna.

SSD PCIe 5.0: Generasi baru, lebih pantas

Yang berkira-kira nak upgrade SSD komputer, Biwin ada tawarkan produk storan PCIe 3.0 hingga PCIe 5.0 untuk penuhi bajet dan berkelajuan tinggi.

  • Black Opal X570 PRO – SSD berkelas flagship dengan PCIe Gen5x4, NVMe 2.0, dan kelajuan baca sehingga 14,000MB/s. Produk ini mengguna pakai papan atur 6nm yang terkini dan sehingga 4GB DRAM untuk ciri multitugasan yang lebih baik.
  • Black Opal NV7400 – Storan PCIe Gen4x4 dengan kelajuan sehingga 7,450MB/s untuk kegunaan kebanyakan seperti gamer dan power user.
  • Black Opal NV3500 – Produk kelas pertengahan PCIe Gen3x4 berkelajuan 3,500MB/s untuk tugasan yang lebih kasual tanpa berbelanja besar
  • Biwin NV7200 – Satu lagi pilihan PCIe Gen4 dengan laju pindah 7,200MB/s dalam bentuk M.2 2280. Produk ini sesuai untuk gajet kompak seperti laptop.

Semua SSD ini dilengkapi pad haba berasaskan graphene untuk menyerakkan haba dan seterusnya mengekalkan prestasi sepanjang masa.

Portable SSD: Pemacu kilat mudah alih

Dalam kategori storan mudah alih, Biwin ada Amber PM2000 dan PD2000 dalam kategori USB 3.2 Gen2x2.

  • PM2000 – SSD bersaiz poket dengan laju pindah 2,000MB/s. Pada unit ini terdapat magnet yang bermakna boleh disangkut di belakang iPhone yang sokong Magsafe.
  • PD2000 – SSD ringan, hanya 30g dengan kapasiti 4TB. Kelajuan perpindahannya 2,050MB/s (baca) & 1,800MB/s tulis. Model ini sesuai untuk pencipta kandungan yang kendalikan saiz fail yang besar.

RAM DDR5: Memori pantas untuk gamers & pencipta kandungan

Biwin juga perluaskan penawaran mereka ke dalam RAM DDR5. Berikut adalah pilihan yang ada:

  • Black Opal DW100 DDR5 RGB – RAM berkelajuan 8,400MT/s dengan lampu RGB serta sistem kawal selia haba yang optimum untuk geng “overclock”
  • Black Opal HX100 DDR5 – RAM yang beroperasi pada paras 7,200MT/s dan sokong piawiaan XMP3.0 dan AMD EXPO.
  • DDR5 SODIMM – Kit RAM untuk anda naik taraf memori laptop. Kelajuannya mencecah 5,600MT/s dan ada ECC error correction untuk lebih kestabilan.
  • DDR5 UDIMM – Kit RAM format baharu untuk desktop. Ia bekerja pada paras 5,600MT/s dan ada cip kawal selia kuasa PMIC untuk kecekapan tenaga yang baik

Anda boleh layari laman rasmi Biwin untuk maklumat lanjut.