Bermula 9 April 2024, Amerika Syarikat (A.S) akan kenakan tarif timbal balik sebanyak 24% ke atas Malaysia. Ia selepas Presiden Donald Trump tandatangani satu arahan eksekutif menyenaraikan 49 negara yang ada hubungan dagang dengan A.S tapi tiada tarif timbal balik.

Selain Malaysia, negara ASEAN lain yang dikenakan tarif timbal balik adalah seperti:
- Kemboja (49%)
- Laos (48%)
- Vietnam (46%)
- Myanmar (45%)
- Thailand (37%)
- Brunei (24%)
- Indonesia (32%)
Menariknya, Singapura dikecualikan daripada tarif ini dan negara paling tinggi dikenakan adalah Lesotho dengan 50% namun, terdapat barangan khusus dikecualikan seperti kuprum, emas, kayu balak, dan produk farmasutikal.
Kenapa A.S perkenal tarif timbal balik?
Presiden Trump merasakan ada elemen “tak adil” dalam aktiviti dagang A.S dengan negara yang terlibat. Ia, katanya, menyebabkan ekonomi tempatan terjejas terutamanya pada segi gaji.

Maka dengan sebab itu, Trump umumkan darurat dan perkenalkan tarif baharu ini. Tarif tersebut akan berkuat kuasa sehingga dia merasakan keseimbangan dagang dicapai dengan negara-negara terlibat.
Apa reaksi Malaysia?
Di pihak Malaysia, kementerian yang bertanggungjawab secara langsung terhadap isu ini adalah Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI).
Menerusi satu kenyataan media, pihak kementertian mengesahkan yang Malaysia tidak akan membalas tindakan itu dengan mengenakan tarif yang sama ke atas eksport A.S ke dalam Malaysia. Sebaliknya, mereka akan berunding dengan A.S untuk menegakkan prinsip perdagangan bebas dan saksama.


A.S adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia sejak 2015. Untuk perspektif, dalam tahun 2024 sahaja, jumlah perdagangan Malaysia-A.S, mencecah RM324.91 billion (naik 29.9% berbanding tahun sebelumnya) dan ia adalah 11.3% daripada jumlah perdagangan luar Malaysia. Menurut rekod, A.S mengimport lebih banyak berbanding mereka mengeksport ke Malaysia.
Barangan utama yang dieksport Malaysia ke A.S adalah seperti elektronik, minyak sawit, dan peralatan mesin.
Apa yang MITI lakukan untuk kurangkan impak?
Untuk mengurangkan impak tarif baharu ini, Malaysia sedang merencana strategi jangka panjang. Insiatif ini dipacu oleh Pusat Kawalan Geoekonomi Kebangsaan (National Geoeconomic Command Centre, NGCC) yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berikut adalah strategi yang digariskan:
1. Manfaatkan perjanjian dagang sedia ada
- Meneliti manfaat yang boleh diekstrak daripada Trade and Investment Framework Agreement (TIFA) untuk memohon manfaat bersama Malaysia-AS.
- Berusaha untuk wujudkan perjanjian perlindungan teknologi yang meliputi kerjasama teknologi tinggi terutamanya dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa, dan ekonomi digital.
2. Perluas pasaran eksport
- Mencari kawasan perdagangan baharu untuk kurangkan kebergantungan kepada A.S
- Manfaatkan perjanjian perdagangan bebas CPTPP dan RCEP untuk cungkil pasaran dagang baharu
3. Perkukuh siratan perdagangan ASEAN
- Perkuat jalinan kerjasama dalam negara-negara anggota ASEAN
- Memantapkan jaringan pembekalan dengan bantuan polisi seperti New Industrial Masterp Plan 2024 dan National Energy Transition Roadmap
4. Menyokong pertumbuhan industri tempatan
- Bekerja secara langsung dengan pemain tempatan untuk kenal pasti cabaran yang dihadapi
- Perkenal program bantuan untuk bantu perniagaan beradaptasi dengan struktur kos baharu dan terokai pasaran alternatif
Kesan tarif A.S kepada pengguna di Malaysia
Walaupun tarif ini tidak berikan kesan secara langsung kepada pasaran Malaysia dalam masa terdekat, kesan jangka panjangnya tetap ada.
Yang paling jelas adalah perniagaan di A.S mungkin akan kurangkan import barangan kita dek tarif yang tinggi. Apabila eksport Malaysia berkurangan, maka perniagaan di Malaysia akan turunkan pengeluaran dan akhirnya tenaga kerja akan dikurangkan.
AS kenakan tarif 24% ke atas Malaysia bermula 9 April 2024. Ketahui kesannya terhadap ekonomi, eksport, dan strategi Malaysia hadapinya.
Sumber: Awani