Mulai 1 Julai 2025, TNB umumkan yang mereka perluaskan skim tarif Time-of-Use (ToU) kepada pengguna domestik juga. Maka, lebih ramai orang boleh nikmati tarif elektrik murah di luar waktu puncak. Apa itu tarif ToU dan macam mana ia boleh jimatkan bil elektrik? Baca sampai habis.
Tentang tarif ToU
Tarif ToU secara asasnya berikan anda tarif elektrik yang berbeza-beza mengikut waktu guna. Ia bermakna:
- dalam waktu puncak = kadar tinggi
- luar waktu puncak = kadar rendah
Zon waktu puncak ditandakan TNB adalah antara jam 2 petang hingga 10 malam, Isnin hingga Jumaat. Jam 10 malam hingga 2 petang keesokan harinya sudahpun termasuk dalam zon waktu luar puncak. Tambah menarik, hari Sabtu dan Ahad berada keseluruhannya dalam zon luar waktu puncak.

Jadi, boleh disimpulkan yang dalam satu minggu, hanya 23% sahaja zon waktu puncak dan baki 77% adalah zon luar waktu puncak yang lebih murah tarif elektriknya. Sehubungan dengan itu, kalau anda bijak dan manfaatkan waktu tersebut, bolehlah anda maksimumkan penjimatan bil elektrik anda.
Siapa paling untung daripada tarif ToU
Dengan tarif lebih murah pada waktu malam dan hujung minggu, terdapat beberapa golongan yang boleh memanfaatkan kemudahan ini. Golongan pertama adalah pemilik EV yang parking kereta di rumah pada waktu malam, bolehlah gunakan tarif murah untuk isi semula bateri kereta masing-masing.

Isi rumah biasa juga boleh terima manfaat apabila pindahkan aktiviti yang gunakan peralatan elektrik berkuasa tinggi macam mesin basuh dan seterika pada waktu malam. Akhir sekali, perniagaan kecil seperti kedai kek, roti, pencetakkan juga boleh pindahkan operasi ke waktu malam untuk turunkan kos operasi.
Beza tarif ToU dengan tarif am
Secara default semua pengguna akan gunakan tarif Domestik Am. Tarif yang dikenakan adalah malar pada 27.03 sen/kWh. Bermakna, tiada konsep waktu puncak untuk kategori tarif ini.
Tarif ToU pula, jika penggunaan dalam waktu puncak, kadarnya adalah lebih tinggi daripada tarif Domestik Am iaitu 28.52 sen/kWh. Walau bagaimanapun, tarif waktu malam adalah agak signifikan rendahnya pada 24.43 sen/kWh.

Pada bahagian Caj Tenaga sajalah perbezaan antara tarif Domestik Am dengan Domestik ToU boleh anda lihat. Lain-lain kadar adalah sama. Anda dikenakan Caj Kapasiti 4.55 sen/kWh, Caj Rangkaian pada 12.85 sen/kWh, dan Caj Peruncitan sebanyak RM10.
Perlu diingatkan yang itu cuma sebahagian komponen yang akan melengkapkan bil anda. Berikut adalah formula penuh pengiraan bil elektrik menggunakan struktur tarif TNB 2025.

Cara untuk mohon tarif ToU
Tarif ToU ditawarkan oleh TNB sebagai pilihan dan perlu dimohon untuk gantikan tarif domestik am. Tambahan pula, ToU hanya ditawarkan kepada pengguna yang ada meter pintar dipasang pada rumahnya. TNB telah membuka pemohonan untuk pengguna domestik yang nak gunakan tarif ToU bermula 1 Julai 2025.

Sekiranya berminat, mereka boleh berurusan di Kedai Tenaga ataupun bertanyakan melalui emel di [email protected]. Berikut adalah dokumen-dokumen yang perlu disediakan oleh pelanggan bagi tujuan penukaran ke Tarif ToU:
- Borang Permohonan Bekalan Elektrik
- Salinan Dokumen Pengenalan Pelanggan Berdaftar/Wakil Syarikat atau Organisasi (Kad Pengenalan/Kad Polis/Tentera atau Pasport)
- Salinan Sijil Pendaftaran Syarikat/Organisasi (jika berkenaan)
- Surat Wakil Kuasa/Pengesahan Permohonan bagi Syarikat/Organisasi (jika berkenaan)
Pemohonan dalam talian melalui portal myTNB hanya akan ditawarkan bermula 1 Ogos 2025.

Perkara yang perlu anda tahu sebelum mohon tarif ToU
Perlu diingatkan yang ToU sangat bergantung pada pola penggunaan tenaga anda. Sekiranya anda banyak gunakan tenaga dalam waktu puncak, ToU mungkin akan jadikan bil elektrik anda lebih tinggi. Oleh sebab itu, pemantauan terhadap gaya penggunaan sebelum memohon adalah penting.
Untuk jejak penggunaan, anda boleh gunakan aplikasi myTNB untuk jejak pola penggunaan elektrik dan simulasikan penjimatan. Perlu diingatkan yang ToU tidak akan kurangkan penggunaan elektrik tapi kurangkan bil apabila anda rancang penggunaan tenaga yang betul.