TNB 2025: Tarif ToU berbanding Tarif Domestik Am TNB 2025: Tarif ToU berbanding Tarif Domestik Am

Tarif ToU vs. tarif domestik am bil TNB 2025

TNB sudahpun menguatkuasakan tarif tenaga baru mulai 1 Julai 2025 di bawah pelan Electricity Tariff Restructuring 2025-2027. Selain perubahan pada tarif, TNB juga perluaskan skim tarif Time of Use (tarif ToU) kepada pengguna domestik juga yang sebelum ini hanya ditawarkan kepada pengguna komersial.

TNB ToU vs Domestik Am: Guna kalkulator ini untuk banding penjimatan

Walau bagaimanapun, masih ramai yang keliru: Apa itu tarif ToU TNB? Apa beza dengan tarif domestik am? Bagaimana cara mohon ToU? Artikel ini akan jelaskan semuanya.

Tarif ToU kini boleh dilanggan semua

Apa itu tarif Domestik Am TNB?

Tarif Domestik Am adalah skim default yang dilanggan oleh majoriti pengguna Malaysia. Bawah pelan ini, kadar caj elektrik adalah rata. Maksudnya kadar adalah sama sepanjang hari tanpa mengira waktu. Namun, kadar tarif akan naik untuk penggunaan yang ke 1,501kWh dan ke atas.

Kadar tarif Domestik Am:

  • 27.03 sen/kWh untuk penggunaan sehingga 1,500 kWh sebulan
  • 37.03 sen/kWh untuk penggunaan melebihi 1,500 kWh
Tarif ToU kini boleh dilanggan semua

Apa itu Tarif ToU TNB?

Ini adalah skim baharu yang diperkenalkan untuk pengguna domestik. Tarif ToU berikan kadar berbeza, masih lagi tertakluk kepada bracket 1,500kWh seperti tarif Domestik Am, namun ada satu lagi pemboleh ubah iaitu waktu guna sama ada dalam waktu puncak ataupun luar waktu puncak.

Bawah tarif ToU TNB, ada dua zon masa:

  • Waktu Puncak: Isnin–Jumaat, 2:00 PM hingga 10:00 PM
  • Luar Waktu Puncak: 10:00 PM hingga 2:00 PM keesokan hari, sepanjang hari Sabtu, Ahad, dan 15 hari kelepasan tertentu.

Kadar caj tenaga ToU:

  • Waktu Puncak 28.52 sen/kWh (≤1,500kWh) 38.52 sen/kWh (>1,500kWh)
  • Luar Waktu Puncak 24.43 sen/kWh (≤1,500kWh) 34.43 sen/kWh (>1,500kWh)

15 hari kelepasan yang dapat tarif ToU Luar Waktu Puncak

  • Tahun Baharu
  • Hari pertama Tahun Baharu Cina
  • Hari kedua Tahun Baharu Cina
  • Hari pertama Hari Raya Aidilfitri
  • Hari kedua Hari Raya Aidilfitri
  • Hari Pekerja
  • Hari Wesak
  • Hari Keputeraan YDP Agong
  • Hari Raya Aidiladha
  • Awal Muharram
  • Hari Kemerdekaan
  • Hari Malaysia
  • Maulidur Rasul
  • Hari Deepavali
  • Hari Krismas

Perbandingan Tarif Am vs. ToU TNB

Jika anda mampu rancang penggunaan dengan bijak, skim Domestik ToU TNB sangat menjimatkan kerana kadarnya adalah serendah 24.43 sen/kWh berbanding tarif Domestik Am 27.03 sen/kWh.

Tarif ToU kini boleh dilanggan semua

Siapa Sesuai Guna ToU?

  • Pemilik EV: Caj kereta di rumah pada waktu malam boleh jadi jauh lebih murah.
  • Pengguna pintar: Mereka yang boleh ubah rutin penggunaan ke luar waktu puncak.
  • Perniagaan kecil: Seperti bakeri atau pencetakan yang boleh pindah operasi ke waktu malam/hujung minggu.
Mengecas EV di rumah

Cara mohon tarif ToU TNB

Pelanggan TNB yang berminat untuk langgan tarif ToU ini, mereka perlu lakukan pemohonan secara manual. Satu syarat penting yang perlu dipenuhi adalah, rumah pengguna perlulah dilengkapi meter pintar (smart meter).

Meter pintar TNB

Sekiranya tidak, permohonan masih boleh dilkakukan. Namun, tempoh untuk kuat kuasakan tarif ToU akan jadi lama kerana TNB perlu naik taraf meter bukan pintar kepada meter pintar dahulu.

Tempoh untuk penukaran tarif ToU buat yang ada meter pintar adalah kira-kira 5 hari bekerja menurut TNB sementara untuk yang tiada meter pintar, anggaran selama 2 bulan ditetapkan untuk proses naik taraf.

Kedai Tenaga TNB
Kedai Tenaga TNB

Langkah mohon tarif ToU TNB:

  1. Sediakan dokumen berikut:
    • Borang permohonan bekalan elektrik (TNB TOU application form)
    • Salinan IC/pasport pemilik akaun
    • Salinan sijil pendaftaran syarikat (jika perlu)
  2. Hantar permohonan melalui:
    • Emel: [email protected]
    • Kedai Tenaga berdekatan
    • Mulai 1 Ogos 2025, boleh mohon secara online melalui portal myTNB
Borang permohonan TNB tarif ToU
Borang permohonan TNB tarif ToU

Boleh tukar balik ke tarif Domestik Am?

Ya. Anda boleh tukar semula ke tarif am jika didapati ToU tidak sesuai. Tiada kontrak minimum, tetapi TNB syorkan anda tunggu sekali kitaran bil penuh sebelum menilai keberkesanan ToU. Caj duti setem RM10 akan dikenakan untuk pertukaran.

Kesimpulan: Patutkah Anda Pilih ToU?

✔️ Pilih ToU TNB jika:

  • Anda aktif guna elektrik pada luar waktu puncak
  • Anda ada meter pintar
  • Anda nak jimat lebih dengan ubah tabiat penggunaan

Kekal dengan Tarif Am jika:

  • Kebanyakan penggunaan anda pada waktu petang/malam (2 PM – 10 PM)
  • Anda tak mahu pening kepala rancang waktu penggunaan

Kesan tarif ToU kepada pengguna

Dengan pelaksanaan struktur tarif baharu oleh TNB, pengguna kini ada lebih pilihan untuk optimumkan penggunaan elektrik dan kawal bil bulanan. Jika anda faham corak penggunaan tenaga di rumah, tarif ToU TNB boleh bantu anda jimat lebih. Contohnya, pemandu EV, boleh cas kereta pada waktu malam pada kadar lebih murah.

Untuk maklumat lanjut dan permohonan ToU TNB, sila layari laman rasmi TNB atau hubungi TNB Careline 1-300-88-5454.

Bacaan berkaitan

Sokong inisiatif ini:

Penghasilan kandungan bermanfaat memang mengambil masa. Anda boleh bantu laman web ini terus beroperasi dengan lakukan apa-apa sahaja pembelian melalui pautan di bawah.

Butang Shopee BukuNota tanda sokongan