Pelajar universiti yang nak cari pelan prabayar terbaik untuk bajet RM30 dan RM50, bolehlah baca artikel ini. Pelan prepaid sangat popular dalam kalangan pelajar sebab tak terikat dengan kontrak. Pakej RAHMAH Siswa adalah pilihan baik tapi dengan syarat langganan yang dikenakan, tak semua pelajar boleh merasainya.
Pelan prapaid tanpa had terbaik bawah RM30 untuk pelajar
Jadual di bawah saya senaraikan semua pelan prabayar daripada telco utama kita yang ada harga bawah RM30 yang merangkumi pelan “tanpa had” ber-FUP dan pelan yang berikan kuota berkelajuan tanpa had.

Pelan prabayar yang ada ciri tanpa had bawah RM30 ada sebanyak 6. Daripada paling mampu milik ke yang paling mahal adalah seperti berikut:
- CelcomDigi Prepaid 5G 25
- Hotlink Prepaid Unlimited 25
- U Mobile U Prepaid 25
- CelcomDigi Prepaid 5G UV 30 Biru
- CelcomDigi Prepaid 5G UV 30 Kuning
- Yes 5G FT5G 30
CelcomDigi 5G UV 30 paling value-for-money tapi ada satu isu
Dalam kalangan 6 tersebut, CelcomDigi 5G UV 30 untuk pek biru dan kuning adalah paling value for money.
Mereka tawarkan kelajuan 18Mbps, paling laju setakat ini untuk pelan “tanpa had”. Itu untuk penggunaan 200GB pertama. Jika penggunaan melangkaui FUP, kelajuan diturunkan kepada 512kbps. Pelan ini anda boleh langgan pada harga RM30/bulan. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan yang tempoh sah pelan UV 30 adalah 28 hari sahaja. Saya pernah ulas tentang taktik licik ini dalam artikel sebelum ini.
CelcomDigi UV & NX: Cara Licik Telco Kaut Untung?
Untuk alternatif, anda boleh lihat pada pelan UNI5G WOW 25 yang ada fungsi data rollover iaitu kalau kuota tak habis diguna bulan ini, ia akan dibawa ke bulan yang seterusnya. Jadi, tiadalah setiap bulan anda perlu beli pelan Internet.
Kalau yang tiada masalah dengan coverage Yes 5G, anda mungkin boleh pertimbangkan FT5G 20 yang ada fungsi data rollover dan juga FT5G 30 yang berikan kuota Internet tanpa had 5G dan 4G (7Mbps).
Pelan prepaid tanpa had terbaik bawah RM50 untuk pelajar
Saya faham yang ada pelajar yang bergantung sepenuhnya pada data mudah alih untuk pengajian.
Contohnya di kawasan kampus, kadang kala servis internetnya tak bagus. Jadi, mereka perlu hidupkan hotspot telefon untuk siapkan tugasan di laptop dan komputer. Untuk tujuan itu, mereka perlukan pelan Internet yang ada kuota banyak, ataupun yang ada kuota khas untuk hotspot.
Dalam jadual di bawah, saya senaraikan semua pelan Internet yang ada harga bawah RM50 tapi atas RM30 untuk tidak bertindan dengan jadual sebelum ini.

Dalam julat harga RM31 hingga RM50 adalah tempat yang paling meriah. Kita ada 25 pelan untuk dipilih.
UNI5G WOW 35: Prabayar paling praktikal untuk pelajar
Dalam kalangan pelan RM35, saya dapati UNI5G WOW 35 adalah yang paling menarik. Ia berikan data yang banyak dan juga ada fungsi data rollover, satu-satunya pelan yang tawarkannya dalam kalangan 25 pelan dalam jadual ini.
Boleh bawa kuota tak habis ke bulan seterusnya, ada kuota tambahan 60GB untuk hotspot, siap dengan panggilan tanpa had lagi.
Untuk alternatif, Hotlink Pantas 35 juga adalah pilihan yang baik iaitu hampir mirip UNI5G WOW 35 tanpa fungsi data rollover.
Ada juga pelan prabayar yang selitkan servis penstriman dalam langganan. Pelan jenis ini sesuailah untuk yang nak hiburan ringan di kampus.
CelcomDigi ada berikan VIU ataupun IQIYI menerusi pelan CelcomDigi Speedstream. Kuota FUP yang ia ada agak banyak pada 200GB dan kuota 55GB berkelajuan 100Mbps disamping kuota khas hotspot sehingga 6GB. Untuk harga bermula RM44/bulan, ini adalah pelan yang agak komprehensif yang gabungkan hiburan dan capaian.
Tips pilih pelan prepaid untuk pelajar
- Periksa cakupan servis telco dengan bertanya pada senior ataupun pengguna sedia ada.
- Kenal pasti pola penggunaan Internet sama ada perlukan hotspot untuk sambungkan laptop/komputer ataupun tidak.
- Untuk penggunaan berat, disaran untuk pilih pelan yang ada kuota hotspot khas.
- Elak pilih pelan yang tiada fungsi panggilan suara tanpa had untuk elak kesusahan berhubung kelak.
- Pertimbangkan untuk langgan pelan yang ada ciri data rollover untuk elak pembaziran data.
- Boleh lihat pelan yang ada langganan servis penstriman untuk hiburan semasa di kampus.