Fenomena gerhana bulan penuh akan kembali menghiasi langit Malaysia pada 7 September 2025. Jika anda tertanya-tanya bila gerhana bulan berlaku atau cara untuk lihatnya, ini adalah peluang terbaik untuk menikmati salah satu fenomena astronomi paling menakjubkan.

Apa itu gerhana bulan penuh?
Gerhana bulan penuh berlaku apabila Bumi berada di tengah antara Matahari dan Bulan. Bayangan Bumi akan menutupi Bulan sepenuhnya, menjadikan ia kelihatan merah gelap atau dikenali sebagai “blood moon”.

Fenomena ini boleh dilihat dengan mata kasar tanpa teleskop, menjadikannya antara fenomena astronomi yang mudah dinikmati dan selamat untuk semua orang tanpa peralatan khas, tak seperti bila nak lihat gerhana matahari. Yang tak menariknya, ia berlaku pada tengah malam yang tak semua orang mampu untuk berjaga malam.
Tarikh & Waktu Gerhana Bulan Penuh 2025
Gerhana bulan penuh 2025 dicerap akan berlangsung selama 5 jam 30 minit, bermula lewat malam 7 September 2025 hingga awal pagi 8 September 2025. Berikut adalah tanda masa penting untuk anda yang nak lihatnya di Malaysia:
- 11:28 malam – Bulan mula masuk penumbra Bumi
- 12:28 tengah malam – Bulan mula masuk umbra (lebih gelap)
- 1:30 pagi – Gerhana penuh bermula
- 2:14 pagi – Kemuncak gerhana, Bulan kelihatan merah (blood moon)
- 2:53 pagi – Bulan mula keluar dari umbra
- 4:00 pagi – Bulan mula keluar dari penumbra
- 5:00 pagi – Gerhana selesai
Waktu paling sesuai untuk melihat gerhana bulan penuh ini adalah antara 1:30 pagi hingga 2:53 pagi. Maklumat kedua penting adalah ke mana anda nak toleh dan berapa banyak perlu dongak? Berikut adalah waktu, bearing, dan sudut dongaknya:
- 11:28 PM, Timur-tenggara (112°), 63.2°
- 12:28 AM, Tenggara (133°), 75.7°
- 1:30 AM, Selatan-barat daya (208°), 79.2°
- 2:14 AM, Barat daya (238°), 72.1°
- 2:53 AM, Barat daya (250°), 63.0°
- 4:00 AM, Barat daya (257°), 48.1°
- 5:00 AM, Barat (261°), 34.1°
Kenapa Anda Patut Tengok Gerhana Bulan 2025?
- 🌑 Fenomena jarang berlaku – bukan setiap tahun ada gerhana penuh di Malaysia.
- 👀 Mudah dilihat – boleh dinikmati dengan mata kasar, teleskop hanya bonus.
- 📸 Unik untuk dirakam – ambil gambar “blood moon” dengan kamera atau telefon pintar.
- 🌌 Pengalaman bersama keluarga & rakan – aktiviti malam yang menarik untuk semua.

Gerhana Bulan Seterusnya yang Lebih Menarik
Jika anda terlepas gerhana ini, jangan risau. Akan ada lagi gerhana bulan penuh pada 31 Disember 2028. Lebih istimewa, ia berlaku pada malam sambutan Tahun Baharu 2029 lantas menjadikannya fenomena langit paling dinantikan.
Fenomena gerhana bulan penuh 7 September 2025 Malaysia adalah peluang terbaik untuk menyaksikan keindahan alam semula jadi. Sediakan kamera, semak ramalan cuaca, dan luangkan masa melihat langit pada malam tersebut.
Jangan lepaskan peluang ini. Siapa tahu, ia mungkin pengalaman sekali seumur hidup!
