Ramai kenali Tabung Haji sebagai pihak berkuasa yang menguruskan hal-hal Haji rakyat Malaysia. Walau bagaimanpun, ia ada fungsi tambahan iaitu tempat muslim menyimpan dan menggandakan simpanan mereka. Pulangannya stabil lantas jadikannya instrumen pelaburan/simpanan pilihan orang Islam Malaysia. Untuk info, pulangan tahun 2024 adalah 3.25% dan ia lebih tinggi daripada banyak produk simpanan tetap.
Sementara menunggu pengumuman dividen 2025, jom kita imbau kembali pulangan sejak 1994 hingga sekarang yang membuktikan Tabung Haji tekal mengharungi pelbagai kitaran cabaran ekonomi.
- Dividen Tabung Haji 1994 hingga 2024
- Dividen Tabung Haji 2025 3.25% tertinggi dalam 7 tahun
- Kenapa dividen Tabung Haji lebih rendah daripada KWSP dan ASB
- Kenapa Tabung Haji saluran pelaburan yang baik
Dividen Tabung Haji 1994 hingga 2024
Rekod dividen ini menghimpunkan lebih 3 dekat pulangan Tabung Haji. Jadi anda boleh lihat pola pulangan simpanan pendeposit daripada organisasi itu. Boleh dilihat yang dalam thaun 90-an, pulangannya agak tinggi seiring dengan perkembangan ekonomi tapi jadi perlahan menghampiri kita pada awal 2000.

Walaupun dengan kemelesetan ekonomi 1997 yang agak teruk, Tabung Haji tanpa gagal berjaya berikan pulangan kepada pendeposit. Ia lantas berikan lebih kredibiliti kepada mereka untuk menarik lebih ramai menyertai kelompok pendeposit.
Kalau dilihat antara tahun 2012 hingga 2017, dividen yang dimumkan adalah luar biasa tinggi. Malahan, ada bayaran bonus juga. Contohnya, dividen tahun 2015 adalah 8.25%, paling tinggi sejak 1997. Walau bagaimanapun, terdapat skandal yang menyelubungi angka yang tinggi itu.
Pihak Tabung Haji didakwa sebenarnya berada dalam keadaan kewangan yang teruk apabila:
- audit tunjukkan terdapat kerugian ratusan juta
- kerugian disembunyikan secara gubahan buku akaun
- dividen dibayar menggunakan wang pendeposit baharu, seperti skim ponzi.
- pelanggaran peraturan kewangan
Kalau nak baca lebih lanjut, perinciannya dibentangkan oleh saudara Rafizi Ramli dalam portal miliknya.
Dividen Tabung Haji 2025 3.25% tertinggi dalam 7 tahun
Pulangan 3.25% yang diumumkan untuk tahun kewangan 2024 adalah yang paling tinggi sejak 2018. Mereka memaklumkan sejumlah RM2.92 billion telah dikreditkan kepada lebih 9.5 juta pendeposit.
Peningkatan pulangan itu dikaitkan dengan hasil strategi pelaburan yang lebih baik seperti pemulihan pasaran saham dan pulangan yang lebih tinggi daripada instrumen deposit tetap jadikan perolehan naik kepada RM4.56 billion. Ketika pengumuman dibuat, asset yang ditadbir pihak Tabung Haji tumbuh kepada RM95.06 billion.
Daripada segi sumber perolehan, dikatakan yang lebih 90% daripadanya datangnya daripada pasaran tempatan yang menjadi salah satu sebab kenapa pulangan Tabung Haji stabil di kala ekonomi global yang tak menentu.
Kenapa dividen Tabung Haji lebih rendah daripada KWSP dan ASB
Ada pendeposit yang membandingkan dividen 3.25% Tabung Haji dengan instrument seperti KWSP dan ASB. Untuk rujukan anda berikut adalah pulangan KWSP dan ASB untuk 5 tahun kebelakang.
| Tahun | Dividen ASB | Dividen KWSP |
|---|---|---|
| 2024 | 5.50% + 0.25% | 6.30% |
| 2023 | 5.25% | 5.40% |
| 2022 | 4.60% + 0.50% | 4.75% |
| 2021 | 5.00% | 5.65% |
| 2020 | 4.25% + 0.75% | 4.90% |
Perbezaannya memang nampak besar. Ia adalah hasil bagiamana pengendali dana mengendalikan pelaburan dan cara mereka prosesnya.
Tabung Haji mengamalkan strategi pelaburan berisiko rendah dan patuh syariah. Kebanyakan dana mereka diparkir di instrument deposit tetap dan ekuiti tempatan. Ia menyumbang kepada pulangan dana lebih stabil.
KWSP dan ASB pula banyak melabur dalam pasaran global. Pelaburan mereka pula berkuantiti besar dan risikonya lebih tinggi. KWSP dan ASB juga tidak mendukung tanggungjawab mengelolakan haji tak seperti Tabung Haji.
Maka dengan sebab itu, sebelum keuntungan diagihkan epada pendeposit, Tabung Haji turut melunaskan zakat bagi pihak pendeposit. Dalam tahun 2024, Tabung Haji telah membayar zakat sebanyak RM99.35. Jadinya, pendeposit tak perlu risau menyucikan keuntungan mereka.
Kenapa Tabung Haji saluran pelaburan yang baik
Syarat masuk rendah
Hanya RM2 diperlukan untuk buka akaun. Jadi, pelajar, graduan baru, dan keluarga yang ingin mulakan simpanan jangka panjang boleh lakukannya dengan mudah. Pendeposit juga boleh buka akaun di bank-bank terpilih seperti Bank Islam atuapun Bank Rakyat.
Simpanan terjamin dibawah akta Tabung Haji
Kontrak antara pendeposit dan Tabung Haji menjamin keselamatan etiap ringgit yang disimpan. Ia berikan lebih keyakinan kepada pendeposit untuk simpan engan lebih banyak kerana tak risaukan risiko wang hangus secara tiba-tiba.
Tiada yuran tahunan
Tabung Haji tidak mengenakan yuran tahunan ataupun yuran pentadbiran kepada pendeposit. Ia bagus kerana tiada sebarang caj tersembunyi dikenakan seperti yang banyak dilakukan pada produk seperti unit amanah.
Pulangan tahunan kompetetif
Anda sendiri dah lihat sejarah pulangan sejak 1994. Walaupun bergelumang dengan skandal pada satu masa, namun mereka tetap berikan bayaran dividen kepada pendeposit secara konsisten. Pulangan yang tinggi juga mengurangkan kos mengerjakan haji untuk pendeposit.
Dividen tak dikenakan cukai
Semua keuntungan dalam bentuk dividen dan bonus daripada Tabung Haji tidak dikenakan cukai. Jadi kalau pendeposit terima RM1,000 mereka akan menikmati RM1,000 secara sepenuhnya.
Zakat dilunaskan bagi pihak Tabung Haji
Pendeposit yang menyimpan di Tabung Haji tak perlu risau untuk kira zakat harta. Setiap tahun, Tabung Haji akan melunaskan zakat ke atas deposit mereka secara automatik.
Pengeluaran dan deposit fleksibel
Dana dalam akaun simpanan Tabung Haji adalah cair. Ia boleh dikeluarkan pada bila-bila masa tanpa sebarang syarat, contohnya KWSP yang hanya benarkan pengeluaran mengikut syarat-syarat tertentu. Kelenturan ini bolehkan deposit di Tabung Haji dijadikan dana kecemasan kepada pendeposit.
Patuh syariah
Semua pelaburan yang dijalankan Tabung Haji perlu menerima kelulusan daripada jawatankuasa penasihat Syariah. Pendeposit boleh berasa yakin yang wang mereka dilaburkan di perniagaan yang halal.
Saluran untuk kerjakan haji
Tabung Haji kekal jadi saluran untuk rakyat Malaysia kerjakan haji. Untuk mendaftarkan giliran, hanya simpan sekurang-kurangnya RM1,300 dan boleh terus terima giliran.