Acer akhirnya sertai arena handheld menerusi Predator Atlas 8. Ia diumumkan sewaktu Computex 2026 tempoh hari. Ini adalah mesin gaming mudah alih Predator pertama. Namun, ia perlu cukup hebat untuk bersaing dengan pemain sedia ada khususnya yang diperkasa cip AMD.

Spesifikasi ringkas Predator Atlas 8
Bermula di bahagian luar, Predator Atlas 8 ada skrin 8” dengan resolusi WUXGA (1,920×1,200). Skrin peranti handheld ini lebih tinggi dalam nisbah 16:10. Kadar segar semula adalah pada paras 120Hz dengan kecerahap maksimum mencapai 500 nits.

Atas papan utama, gajet ini diperkasa siri Intel Arc G3. Selain Atlas 8, dua lagi produk yang gunakan CPU yang sama adalah MSI Claw 8 EX AI+ dan satu lagi adalah OneXPlayer 3. Mereka masing-masing diumumkan dalam sela masa tak berapa jauh.

Untuk grafik, Atlas 8 ada GPU sehingga Arc B390 yang padanya ada 12 teras Xe3 yang sokong ray tracing. Ciri menarik dalam GPU ini adalah sokongan XeSS 3 AI upscaling yang katanya bolehkan handheld ini main game AAA pada kadar bingkai luar biasa tinggi. Bersama-sama CPU dan GPU itu, komponen RAM LPDDR5X sehingga 24GB bersinergistik dengan storan 1TB PCIe Gen4 NVme M.2 SSD beserta 1 slot micro-SD untuk kemudahan.

Predator Atlas 8 hidup berbekalkan bateri berkapasiti sehingga 80Wh dengan Intel Endurance Gaming. Kemudian, untuk menyejukkan semua komponen-komponen berprestasi tinggi ini, Acer berikat kipas Predator AeroBlade yang katanya 10% lebih baik daripada sistem penyejuk konvensional.
Berat kesleuruhan Atlas 8 adalah sekitar 810g.

Pesaing rapat Predator Atlas 8
Selain daripada handheld permainan yang diperkasa Intel Arc G3, Atlas 8 juga perlu bersaing dengna produk permainan tangan berasaskan AMD sedia ada dalam pasaran. Antara produk yang ada dalam pasaran masa ini adalah seperti ROG Xbox Ally X, Lenovo Legion Go, dan Steam Deck. Selain prestasi, Atlas 8 juga perlu membuktikan yang Intel Arc G3 mampu berikan hayat bateri yang cukup panjang. Untuk rujukan, hayat bateri ROG Xbox Ally X adalah sehingga 3 jam bila bermain permainan AAA atuapun lebih 7 jam untuk kegunaan kasual.
Atlas 8 masih belum dijual buat masa ini tapi Acer menggambarkan yang pengguna boleh dapatkannya bermula Oktober 2026 untuk pasaran terpilih. Harganya juga masih belum ada.
Sumber: Acer
