Mulai gaji Jun 2026, slip gaji bulanan anda akan ada penolakan baharu PERKESO. Ia untuk skim baharu yang dipanggil Skim Kemalalngan Bukan Bencana Kerja (SKBKK) ataupun LINDUNG 24 JAM. Ia wajib untuk semua pekerja di Malaysia dan ditanggung oleh kita sendiri dan bukannya majikan.
Apa itu LINDUNG 24 JAM?
LINDUNG 24 Jam adalah skim pelindungan 24 jam PERKESO untuk kemalangan di luar waktu kerja. Bermakna ia melindungi pencarum daripada kemalangan yang tak berkaitan skop kerja anda. Contohnya, kemalangan sewaktu percutian keluarga, jatuh di rumah, atau kecederaan bersukan.

Ia berbeza daripada Skim Bencana Pekerjaan (LINDUNG PEKERJA) yang hanya lindungi anda daripada kemalangan ditempat kerja ataupun sewaktu perjalanan atas urusan kerja. Anda boleh anggap LINDUNG 24 sebagai pelengkap kepada LINDUNG PEKERJA supaya anda dilindungi sepanjang masa.
Berapa potongan LINDUNG 24 JAM daripada gaji?
Caruman adalah berdasarkan gaji bulanan dan dihadkan kepada gaji RM6,000. PERKESO pecahkan paras caruman sebanyak 3 fasa. Ini adalah 3 fasa tersebut:
| Fasa | Tempoh | Caruman pekerja |
|---|---|---|
| Fasa 1 | 1 Jun 2026 – 31 Mei 2028 | 0.75% daripada gaji |
| Fasa 2 | 1 Jun 2028 – 31 Mei 2031 | 1.00% daripada gaji |
| Fasa 3 | 1 Jun 2031 keatas | 1.25% daripada gaji |
Anda oleh guna kalkulator di bawah untuk kira caruman bulanan.
Siapa yang dilindungi LINDUNG 24 JAM?
LINDUNG 24 terpakai untuk semua pekerja di bawah Akta Perlindungan Sosial 1969. Mereka adalah kakitangan tetap, kakitangan kontrak, kakitangan separuh masa sama ada pekerja tempatan ataupun daripada luar negara. Perlindungan terpakai selagi pekerja itu aktif dan terima gaji di bawah kontrak perkhidmatan sama ada kontrak bertulis ataupun lisan.
Individu yang tidak dilindungi adalah yang bekerja sendiri atau kemalangan berlaku di luar Malaysia atau kemalangan yang tergolong dalam skim LINDUNG PEKERJA.
Majikan anda akan tolak caruman bagi pihak anda untuk dibayar kepada PERKESO, sama seperti semua caruman sedia ada.
Kemalangan boleh tuntut LINDUNG 24 JAM
LINDUNG 24 JAM lindungi pencarum daripada sebarang kemalangan bukan berkaitan kerja, asalkan berlaku dalam Malaysia. Contoh yang diberikan adalah seperti:
- Kemalangan pulang daripada Hari Raya
- Kecederaan sewaktu bersukan atau beriadah (basikal, bola sepak, gim)
- Jatuh di rumah sewaktu membaiki.
- Kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke surau/masjid
Kemalangan yang tak boleh tuntut LINDUNG 24 JAM adalah seperti:
- Kemalangan berlaku di luar Malaysia
- Kemalangan berkaitan kerja (tuntut di bawah LINDUNG PEKERJA)
- Kecederaan daripada aktiviti jenayah atau bunuh diri
- Keadaan sedia ada seperti diabetes, darah tinggi, dan demam
- Pekerja asing yang salah guna pas imigresen atau permit.
Manfaat LINDUNG 24 JAM yang boleh dituntut
Sekiranya anda tercedera dan boleh tuntut manfaat LINDUNG 24 Jam, berikut adalah perkara-perkara yang boleh anda terima.
Gantian pendapatan
Manfaat Kecacatan Sementara dibayar sepanjang tempoh MC jika anda tak boleh bekerja sekurang-kurangnya 4 hari daripada hari kejadian. Ia dibayar walaupun majikan tetap membayar gaji anda.
Kecacatan kekal
Manfaat Kecacatan Kekal dinilai berdasarkan laporan perubatan, gaji, dan umur sewaktu kemalangan.
Rawatan perubatan
Rawatan percuma di panel klinik PERKESO atau hospital kerajaan sehingga sembuh. Sekiranya rawatan dibuat di klinik swasta, pampasan diberikan berdasarkan kadar kerajaan (Akta Fi 1951).
Pemulihan
Pemulihan fizikal dan vokasional disediakan termasukan fisioterapi, terapi pekerjaan, prostetik, kerusi rodai, alat bantu dengar, dan latihan vokasional sebelum kembali bekerja
Elaun Layanan Sentiasa
Elaun sebanyak RM500/bulan diberikan kepada pencarum yang perlukan pemantauan berterusan.
Satu perkara penting yang perlu anda tahu adalah LINDUNG 24 JAM tidak terikat dengan insurans swasta. Jika anda sudahpun ada insurans lain, anda masih boleh buat tuntutan dan terima pampasan mengikut kandungan polisi.
Beza LINDUNG 24 JAM dengan insurans
| LINDUNG 24 Jam | Insurans Swasta | |
|---|---|---|
| Penyertaan | Mandatori | Sukarela |
| Kos | 0.75%–1.25% daripada gaji | Premium tak tentu |
| Skop | Kemalangan tak berkaitan kerja di Malaysia | Bergantung Polisi |
| Penggantian Pendapatan | Ya | Bergantung Polisi |
| Manfaat tangungan & pengkebumian | Ya | Bergantung Polisi |
| Ditawarkan oleh | PERKESO | Swasta |
Apa yang perlu anda buat?
Sebenarnya tak perlu buat apa pun. Tapi anda bolehlah perika slip gaji bermula Jun 2026 untuk pastikan ada penolakan LINDUNG 24 JAM. Pastikan jumlah penolakan padan dengan yang sepatutnya.
Kalau anda bekerja dengan lebih daripada satu majikan, anda kena pilih satu sahaja majikan untuk benarkan mereka buat penolakan. Kalau pilihan tak dibuat, PERKESO akan pilih bagi pihak anda.
Untuk pengesahan, anda juga boleh lawati portal PERKESO Prihatin untuk pastikan caruman dibuat mengikut peraturan yang telah digariskan.
LINDUNG 24 JAM adalah kos kecil yang perlu anda bayar untuk perlindungan yang besar. Perlindungan yang diberikan adalah lebih baik daripada insurans swasta.
Lawati laman rasmi LINDUNG 24 JAM PERKESO untuk maklumat lanjut.
