Warganegara Malaysia yang layak kini boleh mula beli petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99/L menerusi inisiatif Budi95. Tahukah anda yang ada 3 kaedah yang boleh digunakan untuk dapatkan petrol bersubsidi? Ini perkara yang perlu anda tahu.
3 cara mudah tebus subsidi Budi95
Kerajaan telah menyediakan beberapa kaedah untuk pengguna memanfaatkan Budi95. Ada tiga semuanya dan berikut adalah perinciannya.
Pengesahan MyKad di kaunter stesen minyak
Sekiranya anda tak gunakan sebarang aplikasi telefon pintar, anda boleh bawa kad pengenalan anda ke kaunter untuk staff stesen minyak jalankan pengesahan di mesin khas. Pastikan cip kad pengenalan anda berada dalam keadaan elok dan jika tak, anda tak boleh beli minyak pada harga subsidi.

Guna Touch ‘n Go (TNG) eWallet dan imbas kod QR di kaunter
Masih lagi perlu ke kaunter, tapi anda boleh gunakan TNG eWallet kalau anda dah buat eKYC guna kad pengenalan sebelum ini. Jadi, anda tak akan berdepan dengan masalah cip di kad tak boleh baca.

Guna aplikasi Setel
Aplikasi Setel adalah cara yang paling mudah untuk tebus Budi95, tapi hanya untuk pengguna Petronas. Bila gunakan APP ini, tak perlu pergi ke kaunter, sebaliknya semua urusan boleh dibuat di pam sahaja.

Itulah dia tiga cara untuk beli RON95 pada harga subsidi. Selain pengesahan kelayakan, ada beberapa lagi peringatan yang perlu anda ambil maklum.
Tips penting bila guna Budi 95
Budi95 adalah layak kepada warganegara Malaysia dalam golongan berikut:
- berumur 16 tahun ke atas
- ada lesen memandu yang aktif
- ada kad pengenalan dengan cip yang berfungsi
Bagusnya Budi95 adalah tiada pendaftaran perlu dilakukan kerana semua yang penuhi syarat yang dinyatakan tadi, adalah layak secara automatik. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 300 liter RON95 sebulan untuk dibeli pada harga subsidi. Sekiranya terlebih guna, kita perlu bayar harga tanpa subsidi iaitu RM2.60/L.
Sekiranya anda keliru dengan paparan harga di pam yang masih tak tunjukkan RM1.99 seperti yang digembar-gemburkan, anda boleh baca artikel kami yang terdahulu untuk penjelasannya.
Layari laman Budi95 untuk maklumat lanjut.