Dalam laporan kewangan tahun 2024 PERKESO, kira-kira 9.7% pencarum PERKESO ataupun 1.1 juta daripada 11.35 juta telah menerima bantuan berjumlah lebih RM6.14 billion. Jumlah adalah 81% daripada keseluruhan RM7.58 billion yang ahli aktifnya carum dalam tahun tersebut. Sekilas pandang, nampak macam hanya 1 daripada 10 peserta Perkeso terima manfaat sistem. Tapi realitinya, itulah cara kerja sistem perlindungan sosial.

Artikel ini cuba jelaskan kenapa 10% peserta habiskan sebahagian besar dana PERKESO dan bagaimana organisasi itu kekalkan aliran wang yang stabil.
Perkeso banyak bayar faedah jangka panjang bernilai tinggi
Daripada RM6.14 billion yang dibayar keluar dalam bentuk manfaat, sebahagian besarnya bukanlah bayaran tunai secara one-off tetapi adalah sebahagian manfaat jangka panjang yang dinikmati pencarum. Berikut adalah manfaat-manfaat yang dimaksudkan.

- Pencen Penakat menelan belanja sebanyak hampir RM2.40 billion. Ia diberikan kepada waris secara bulanan.
- Pencen Ilat & Bantuan Ilat telah gunakan hampir RM1.19 billion dana iaitu bantuan bulanan untuk pencarum yang hilang punca pendapatan akibat kemalangan berkaitan kerja.
- Rawatan Dialisis telah memakan lebih RM389 juta dan dinikmati oleh 17,837 peserta. Kos keseluruhan untuk program dialisis Perkeso sentiasa naik sejak 2020.
| Manfaat PERKESO | Bayaran 2024 | Fungsi |
|---|---|---|
| Pencen Penakat | RM2.40 bilion | Pencen kepada waris/tanggungan pencarum yang meninggal dunia |
| Pencen Ilat & Bantuan Ilat | RM1.19 bilion | Bantuan kepada pencarum yang mengalami keuzuran atau hilang keupayaan bekerja |
| Faedah Hilang Upaya Kekal | RM626.72 juta | Pampasan kepada pencarum yang mengalami kehilangan upaya fizikal kekal |
| Faedah Hilang Upaya Sementara | RM345.09 juta | Penggantian pendapatan ketika pencarum tidak dapat bekerja akibat kecederaan |
| Faedah Orang Tanggungan | RM429.30 juta | Bantuan kewangan kepada tanggungan pencarum yang meninggal dunia akibat kecederaan pekerjaan |
| Rawatan Dialisis | RM389.20 juta | Menanggung kos rawatan dialisis bagi pencarum yang mengalami kegagalan buah pinggang |
| Elaun Mencari Pekerjaan | RM273.00 juta | Elaun bulanan untuk pekerja yang kehilangan pekerjaan sementara mencari pekerjaan baharu |
Konsep gembleng dana dan pelaburan dalam perlindungan sosial
Sama seperti takaful, PERKESO mengguna pakai model perkongsian risiko.
Walaupun tak dizahirkan, melalui data-data tuntutan dalam laporan kewangan tahunan, sekitar 90% pencarum aktif yang tak buat tuntutan sebenarnya sama-sama telah mengurangkan beban kewangan 10% yang berdepan dengan musibah.

Ada pencarum yang hadapi kematian, kecacatan kekal, dan sakit kritikal. Itu sebabnya ada penerima yang dapat pampasan jauh lebih banyak daripada yang dicarum. Dah memang begitu cara kerja model perkongsian risiko dan bukannya ketakcekapan.
Kemudian, duit caruman yang dibayar kepada PERKESO sebenarnya tidak cukup untuk menampung seluruh sistem. Cara untuk menampung bahagian yang kurang adalah dengan melabur dana dalam saham, bon, dan hartanah. Keuntungan daripada situ bolehlah mencukupkan bahagian yang diperlukan.
Contohnya, dalam tahun kewangan 2024, PERKESO jana hampir RM2.1 billion melalui instrumen pelaburan dan ia bantu PERKESO membayar RM6.14 billion dalam bentuk pampasan kepada pencarum dan dalam masa yang sama masih mencatatkan lebihan sebanyak hampir RM2.25 billion untuk dibawa ke tahun 2025.
| Kategori | Amaun (RM juta) |
|---|---|
| Jumlah Caruman Peserta | 7,582.79 |
| Keuntungan Pelaburan & Lain-lain | 2,187.37 |
| Jumlah Perolehan | 9,770.16 |
| Jumlah Pampasan Dibayar Kepada Peserta | (6,142.49) |
| Kos Operasi & Lain-Lain Perbelanjaan | (1,378.29) |
| Lebihan Akhir Tahun | 2,249.38 |
Kos pampasan naik lebih banyak daripada bilangan pampasan
Bayaran pampasan keseluruhan naik 7.11% dalam tahun 2024 berbanding 2023. Berdasarkan data, bukan sebab bilangan tuntutan meningkat tetapi disebabkan semakin ramai yang dapat pencen ilat ataupun dimasukkan ke pusat pemulihan vokasional. Ia bermakna, amaun pembayaran untuk setiap tuntutan jadi semakin tinggi.
Secara keseluruhan, anda boleh sedikit sebanyak faham cara kerja sistem perlindungan sosial. Ia menggunakan kaedah perkongsian risiko, himpunkan dana, dan salurkan kepada yang memerlukan. Sungguhpun hanya sebahagian saja yang tuntut, namun amaun yang dituntut adalah besar khususnya di bahagian penggantian pendapatan. Jadi, untuk pastikan inisiatif ini kekal mapan, sebahagian wang pencarum dilaburkan dalam insrumen kewangan bagi menampung perbelanjaan.
