Salah satu komen yang lantang bunyinya dalam media sosial tentang isu Lindung 24 Jam adalah tentang keadilan. Bunyinya seperti, “Adakah adil peserta yang carum sikit dapat manfaat yang sama dengan yang carum banyak?” Soalan ini berasas kerana kalau lihat secara kasar, memang nampak macam Perkeso tak adil kerana potongan adalah berdasarkan gaji.
Tapi, jawapannya tak semudah itu. Baca penerangan berikut.
Pecahan pencarum Perkeso mengikut kategori gaji
Berdasarkan laporan tahunan 2024 Perkeso, peserta dibahagikan kepada dua kumpula besar.
Kumpulan pertama yang ada pendapatan lebih RM6,000 iaitu golongan yang penolakannya adalah maksimum tak kiralah berapa banyak gaji mereka dapat. Kategori kedua adalah yang pendapatannya kurang daripada RM6,000 iaitu yang berbeza carumannya.
Kalau ikut demografi, Peserta perkeso keseluruhan ada 11.35 juta orang. 1.45 juta daripadanya diklasifikasikan sebagai atas siling tinggi dan selebihnya ~9.9 juta sebagai berpendapatan bawah siling. Jadi boleh disimpulkan yang majoriti peserta Perkeso tak capai had siling, malah 4.58 juta daripadanya berpendapatan kurang RM3,000.
Yang nak ditunjukkan di sini, 1.45 juta peserta carum Perkeso pada kadar maksimum iaitu RM178.55 termasuk syer majikan.
Kenapa manfaat tak sama untuk semua
Sistem keselamatan Perkeso terbahagi kepada dua, satu komponen penggantian pendapatan dan satu lagi komponen perubatan. Kita mulakan dengan komponen pertama dulu iaitu penggantian pendapatan. Ya, memang pampasan kepada pekerja dikira berdasarkan gaji peserta.
Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS)
Manfaat ini berikan sokongan kewangan kepada peserta yang tak boleh bekerja akibat kemalangan. Berdasarkan laporan 2024, seramai 31,452 peserta terima bayaran lump-sum bawah RM1,000 dan seramai 382 peserta terima lebih daripada RM10,000. Kadarnya adalah 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja. Bayaran minimum bayaran faedah adalah RM30.00 sehari dan maksimum RM158.67 sehari.
Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK)
Buat peserta yang tak boleh bekerja selamanya, mereka akan terima manfaat Hilang Upaya Kekal. Penilaian adalah berdasarkan gaji, umur, dan peratusan hilang upaya seperti yang ditaksirkan Jemaah Doktor. Sekiranya taksiran tidak melebihi 20%, bayaran boleh dibuat secara pukal Sekiranya taksiran melebihi 20%, 1/5 daripada kadar harian faedah tersebut dibayar secara pukal dan bakinya dibayar secara bulanan sepanjang hayat. Kadarnya adalah 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja. Bayaran minimum bayaran faedah adalah RM30.00 sehari dan maksimum RM158.67 sehari.Dalam tahun 2024, seramai 178 peserta telah terima RM300 dan kebawah dan ada yang terima RM1,800.
Faedah Orang Tanggungan
Peserta yang meninggal dunia juga tak terlepas dapat manfaat dan dinikmati waris. Kadarnya adalah 90% daripada purata gaji harian dan diagihkan kepada anak, isteri, ataupun ibu bapa mengikut tetapan-tetapan tertentu. Tahun 2024 merekodkan seramai 45 keluarga menerima sehingga RM1,000/bulan dan 134 menerima lebih daripada RM4,000/bulan.
Rasional perbezaan manfaat
Apabila seseorang kehilangan punca pendapatan, impak kewangan yang mereka hadapi adalah berbeza-beza dan berdasarkan gaji yang mereka terimu dulu. Contohnya, Ibrahim yang bergaji RM8,000 tidak mampu bekerja hadapi masalah kewangan yang tak sama dengan Rahimah yang bergaji RM2,000.
Kenapa manfaat sama untuk semua
Bahagian ini ramai orang yang bising, mungkin kerana masih belum faham sepenuhnya. Untuk komponen perubatan, peserta perlu sedar yang rawatan perubatan tidak ditentukan atas gaji.
Contohnya, andaikan Karim bergaji RM2,000 cedera jatuh motor dengan Ahmad bergaji RM10,000 yang cedera dalam kereta mewah. Kedua-duanya dapat rawatan yang sama dan tak semestinya Ahmad yang bergaji tinggi, kecederaannya berbeza dengan Karim. Patah kaki perlukan rawatan yang berkaitan patah kaki dan tak ditentukan oleh tangga gaji.
Maka dengan sebab itu, Perkeso ada Faedah Perubatan dan Kemudahan Pemulihan Jasmani / Vokasional untuk kes-kes seperti ini. Dalam laporan 2024, sebanyak RM389 juta telah dibelanjakan untuk rawatan dialisis, RM41.76 juta untuk ortotik dan prostetik buat 38,911 peserta, dan 109,879 peserta telah jalani Program Saringan Kesihatan percuma.
Semua ini dinikmati oleh semua peserta tanpa mengira tangga gaji.
Adakah tinggi potongan Lindung 24 Jam bermakna tinggi manfaat?
Jawapan ringkasnya adalah ya dan tidak. Ia bergantung kepada manfaat. Ya untuk komponen penggantian pendapatan dan tidak untuk komponen perubatan. Anda boleh baca lebih lanjut tentang perlindungan Perkeso di laman rasmi mereka.
