Ramai tenaga kerja di Malaysia masih keliru mengenai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Antara soalan sering ditanya adalah seperti:
- Adakah Lindung 24 Jam merupakan skim baharu dengan faedah yang berbeza?
- Berapa jumlah yang boleh diterima jika berlaku kemalangan?
- Apa beza Lindung 24 Jam dengan Skim Bencana Pekerjaan (Lindung Pekerja)?
Jawapan ringkasnya, faedah yang diberikan di bawah Lindung 24 Jam adalah hampir sama seperti perLindungan sedia ada Perkeso, tetapi skop perLindungan diperluaskan kepada kemalangan yang berlaku di luar pekerjaan. Boleh disimpulkan yang Lindung 24 Jam tak berbeza daripada jenis faedah tetapi bila dan dalam keadaan apa perlindungan itu boleh digunakan.
Apa Itu Lindung 24 Jam?
Lindung 24 Jam ialah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja di bawah Perkeso yang memberikan perLindungan kepada pekerja sekiranya mengalami kecederaan akibat kemalangan yang tidak berpunca daripada pekerjaan. Contohnya:
Skim Lindung Pekerja
- Seorang mekanik cedera ketika membaiki kenderaan di bengkel.
Skim Lindung 24 Jam
- Mekanik yang sama mengalami kemalangan motosikal ketika keluar membeli barang pada hujung minggu.
Dalam kedua-dua keadaan, pekerja masih boleh menerima faedah Perkeso yang berkaitan, tetapi skim yang terlibat adalah berbeza. Cara paling mudah untuk memahami perbezaan kedua-dua skim ini adalah:
- Lindung Pekerja melindungi pekerja apabila kemalangan berlaku kerana pekerjaan.
- Lindung 24 Jam melindungi pekerja apabila kemalangan berlaku di luar pekerjaan.
| Lindung Pekerja | Lindung 24 Jam | |
|---|---|---|
| Jenis kemalangan | Berkaitan pekerjaan | Tidak berkaitan pekerjaan |
| Tempoh perLindungan | Ketika aktiviti berkaitan kerja | 24 jam sehari termasuk cuti |
| Contoh | Cedera ketika bekerja | Kemalangan ketika masa lapang |
| Faedah | Rawatan, pampasan, pemulihan dan perLindungan keluarga | Faedah yang sama untuk kemalangan bukan pekerjaan |
Faedah Yang Disediakan Di Bawah Lindung 24 Jam
Lindung 24 Jam menyediakan beberapa bentuk bantuan kepada pekerja yang mengalami kemalangan, termasuk kos rawatan, penggantian pendapatan, bantuan pemulihan serta perLindungan kepada keluarga sekiranya berlaku kematian.
1. Faedah Perubatan
Pekerja yang mengalami kemalangan yang diLindungi boleh mendapatkan rawatan perubatan secara percuma di klinik panel Perkeso, klinik kerajaan, atau hospital kerajaan dan rawatan akan diberikan sehingga pekerja pulih sepenuhnya.
Bagi kecederaan serius, rawatan perlu diperoleh di hospital Kerajaan dan pekerja akan diberikan rawatan di wad kelas dua. Rawatan pakar juga boleh diberikan jika diperlukan.
Sekiranya pekerja mendapatkan rawatan di klinik bukan panel Perkeso atau hospital swasta, tuntutan bayaran ganti belanja boleh dibuat tertakluk kepada kadar yang ditetapkan Perkeso atau kadar mengikut Akta Fi 1951.
2. Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS)
Kemalangan serius boleh menyebabkan seseorang pekerja tidak mampu bekerja untuk tempoh tertentu. Sekiranya berlaku, pekerja boleh memohon faedah Hilang Upaya Sementara (HUS), pekerja boleh menerima bayaran sepanjang tempoh cuti sakit yang disahkan oleh doktor. Syaratnya adalah:
- Cuti sakit perlu diperakui doktor
- Tempoh hilang upaya sementara mestilah tidak kurang daripada 4 hari termasuk hari kemalangan
Faedah ini bertujuan membantu menggantikan sebahagian pendapatan pekerja ketika mereka sedang dalam proses pemulihan. Kadar harian HUS adalah 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja. Kadar minimum bayaran faedah adalah RM30.00 sehari dan maksimum RM158.67 sehari.
3. Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK)
Sekiranya kemalangan menyebabkan kecacatan kekal, pekerja boleh memohon Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK). Jumlah bayaran tidak ditetapkan secara sama rata untuk semua pekerja kerana ia bergantung kepada:
- Tahap hilang upaya yang dinilai oleh Jemaah Doktor
- Gaji pekerja
- Umur pekerja
Kadar bayaran adalah:
- 90% daripada gaji harian purata anggapan
- Minimum: RM30 sehari
- Maksimum: RM178.50 sehari
Cara pembayaran bergantung kepada tahap hilang upaya. Jika taksiran hilang upaya tidak melebihi 20%, bayaran boleh dibuat secara pukal. Jika taksiran melebihi 20%, sebahagian bayaran dibuat secara pukal dan baki dibayar secara bulanan sepanjang hayat.
4. Elaun Layanan Sentiasa
Pekerja yang mengalami hilang upaya kekal yang teruk sehingga memerlukan bantuan orang lain secara berterusan boleh menerima Elaun Layanan Sentiasa. Kadar elaun adalah sebanyak RM500 sebulan. Kelulusan bergantung kepada pengesyoran Jemaah Doktor, Jemaah Doktor Khas atau Jemaah Doktor Rayuan.
5. Kemudahan Pemulihan Jasmani / Vokasional
Selain bantuan kewangan, PERKESO turut menyediakan kemudahan pemulihan bagi membantu pekerja kembali menjalani kehidupan harian atau kembali bekerja. Antara bantuan pemulihan jasmani termasuk:
- Fisioterapi
- Terapi pekerjaan
- Bekalan prostetik
- Ortotik
- Implan
- Kerusi roda
- Tongkat
- Alat bantuan pendengaran
- Peralatan ortopedik lain
Bagi pemulihan vokasional pula, pekerja boleh menerima latihan kemahiran seperti:
- Elektrikal
- Jahitan
- Membaiki radio atau TV
- Kemahiran lain berkaitan pekerjaan
Kos kemudahan pemulihan ditanggung oleh Perkeso tertakluk kepada syarat dan kadar yang ditetapkan.
6. Faedah Orang Tanggungan (FOT)
Sekiranya seorang pekerja meninggal dunia akibat kemalangan yang diLindungi, orang tanggungan boleh menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT).
Kadar bayaran:
- 90% daripada gaji harian purata anggapan
- Minimum: RM30 sehari
- Maksimum: RM178.50 sehari
Pembahagian faedah adalah berdasarkan kelayakan tanggungan:
- Balu atau duda: 3/5
- Anak: 2/5
Jika pekerja tidak meninggalkan pasangan atau anak, faedah boleh diberikan kepada tanggungan lain seperti ibu bapa atau adik-beradik mengikut syarat yang ditetapkan.
7. Faedah Pengurusan Mayat
Sekiranya pekerja meninggal dunia akibat kemalangan yang diLindungi, Perkeso menyediakan bantuan pengurusan mayat. Jumlah bayaran untuk pengurusan mayat adalah RM3,000. Bayaran dibuat kepada waris yang layak atau pihak yang menanggung kos pengebumian berdasarkan syarat yang ditetapkan.
8. Faedah Pendidikan
Anak tanggungan pekerja yang layak juga boleh mendapat kemudahan pendidikan melalui Faedah Pendidikan Perkeso. Kemudahan ini diberikan dalam bentuk pinjaman pendidikan tertakluk kepada terma dan syarat Perkeso.
Ia terpakai bagi keadaan seperti:
- Pekerja meninggal dunia akibat kemalangan yang dilindungi
- Pekerja menerima bayaran berkala faedah Hilang Upaya Kekal
Jadi, Apa Yang Paling Penting Tentang Lindung 24 Jam?
Kekeliruan utama mengenai Lindung 24 Jam berlaku kerana ramai menyangka ia menawarkan faedah baharu yang berbeza daripada skim Lindung Pekerja sedia ada.
Sebenarnya, perubahan utama ialah skop perlindungan. Sebelum ini, perlindungan Perkeso berkait dengan kemalangan akibat pekerjaan sahaja. Tapi dengan Lindung 24 Jam, perlindungan diperluas kepada kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja dan tidak berkaitan dengan pekerjaan.
Faedahnya masih berasaskan kerangka perLindungan Perkeso yang sama.
