Cadence umum mereka menyertai Genesis Mission Consortium. Genesis Mission adalah sebuah inisiatif Department of Energy AS yang mempunyai objektif menggalakkan penerokaan saintifik dan kemajuan teknologi menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Melalui kerjasama ini, Cadence akan menyumbang daripada segi teknologi kejuruteraan dan simulasi berasaskan AI bagi menyokong penyelidikan dalam bidang khususnya berkaitan cip komputer, teknologi kuantum, tenaga dan infrastruktur AI.

Genesis Mission dilancarkan oleh kerajaan AS dalam bulan November 2025. Inisiatif ini diterajui Department of Energy, 17 makmal di seluruh negara, universiti, dan syarikat swasta yang masing-masing berkongsi sumber AI, superkomputer, dan data saintifik.
Matlamatnya adalah untuk menjadikan penyelidikan saintifik dan kejuruteraan lebih pantas dan produktif, sekali gus membantu penyelidik menyelesaikan masalah kompleks yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dikaji.
Cadence menyertai nama-nama besar lapangan penyelidikan AS seperti Oak Ridge National Laboratory, Sandia National Laboratories, Argonne National Laboratory dan Lawrence Livermore National Laboratory.
Untuk maklumat anda, Cadence membangunkan perisian yang digunakan jurutera untuk mereka bentuk dan menguji teknologi kompleks, seperti cip komputer dan sistem elektronik. Teknologi ini membolehkan penyelidik menguji reka bentuk serta melihat bagaimana sesuatu sistem berfungsi menggunakan simulasi komputer sebelum menghasilkan prototaip fizikal.
Kerjasama ini mencerminkan perubahan dalam penggunaan AI. Selain aplikasi seperti chatbot dan penjanaan imej, AI kini semakin digabungkan dengan komputer berkuasa dan teknologi kejuruteraan untuk menangani masalah kompleks dalam bidang sains, tenaga dan teknologi.
Melalui Genesis Mission, Cadence mahu membantu penyelidik menggunakan teknologi ini untuk membangunkan cip, sistem tenaga, teknologi kuantum dan pelbagai teknologi canggih generasi seterusnya.
