Tabung Haji telah memperkenalkan sistem multitabung serta Kelayakan Giliran Haji Automatik yang akam dilaksana mulai 2029. Walau bagaimanapun mekanisme pelaksanaannya seperti kurang jelas, malah bercanggah dalam kalangan respons yang diberikan. Rujukan telah dibuat melalui beberapa saluran rasmi seperti pada halaman FAQ, bertanya di chatbot, serta utusan emel .
Cara kira RM15,000 simpanan Tabung Haji untuk giliran automatik
Soalan yang diajukan mudah sahaja:
Adakah jumlah minimum RM15,000 untuk layak giliran haji automatik semuanya perlu berada dalam Tabung Istitoah ataupun dikira mengikut jumlah simpanan keseluruhan iaitu hasil tambah Tabung Am dan Tabung Istitotah?
Jawapan yang diterima daripada saluran rasmi adalah bercanggah.
RM15,000 adalah hasil tambah Tabung Am & Tabung Istitoah
Setelah dihubungi melalui fungsi chatbot rasmi, pihak Tabung Haji mengesahkan bahawa RM15,000 tersebut merujuk kepada jumlah keseluruhan simpanan dalam akaun TH, iaitu baki Tabung Am dan Tabung Istitoah yang dijumlahkan.

Sebagai contoh, pendeposit yang mempunyai:
- RM10,000 dalam Tabung Am
- RM5,000 dalam Tabung Istitoah
Pendeposit sepatutnya layak berada dalam sistem Kelayakan Giliran Haji Automatik kerana mempunyai simpanan berjumlah RM15,000 dan memenuhi syarat minimum tersebut. Ia selari dengan FAQ rasmi TH yang katakan kelayakan giliran Haji akan diberikan secara automatik apabila pendeposit mencapai simpanan minimum RM15,000 di TH, tanpa perlu membuat pendaftaran Haji secara manual. Berikut adalah beberapa tangkap layar daripada laman FAQ rasmi TH.



RM15,000 perlu ada dalam Tabung Istiotah SAHAJA
Ada juga beberapa respons yang katakan RM15,000 wajib ada dalam Tabung Istitoah.

Kenapa timbul kekeliruan mengenai RM15,000?
Adalah penting untuk TH untuk perjelaskan mekanisme Sistem Giliran Haji Automatik dalam dokumen komunikasi kerana ia akan jadi rujukan source of truth. Chatbot TH kepada saya menyatakan pendeposit perlu mempunyai RM15,000 dalam Tabung Istitoah selewat-lewatnya pada 31 Disember 2028 untuk mengekalkan kelayakan giliran Haji.
Respons sama turut menyatakan TH akan memindahkan RM14,995 daripada Tabung Am ke Tabung Istito’ah, dengan RM5 kekal dalam Tabung Am.
Jika kedua-dua kenyataan itu ditafsirkan secara harfiahnya, ia bermakna pendeposit memerlukan RM15,005 secara keseluruhan iaitu RM15,000 dalam Tabung Istitoah dan RM5 dalam Tabung Am. Untuk info tambahan, RM5 adalah baki minimum yang wajib dikekalkan dalam Tabung Am.
Perbezaan paling besar Tabung Istitoah dengan Tabung Am adalah syarat pengeluaran T+10 iaitu transaksi pengeluaran mengambil masa 10 hari kalendar. Ia akan memberi kesan kepada pengurusan kewangan pendeposit jika mereka perlu keluarkan duit pada kala kecemasan. Ia juga adalah berita baik buat TH kerana mewujudkan friction dalam sistem yang mengurangkan kebarangkalian orang keluarkan dana daripada akaun sendiri yang bermakna lebih banyak dana boleh dilaburkan.
RM15,000 perlu dikekal untuk tawaran haji
Ada satu perkara penting yang perlu diberi perhatian. Mencapai RM15,000 tak cukup untuk layakkan anda terima tawaran haji. TH katakan pendeposit perlu mengekalkan baki minimum RM15,000 pada setiap masa untuk terus kekal sistem Kelayakan Giliran Haji Automatik.
Jadi, jika jumlah simpanan kemudiannya jatuh di bawah RM15,000, ia boleh menjejaskan kelayakan pendeposit untuk kekal dalam sistem giliran (beranggapan syarat layak haji automatik guna jumlah simpanan TH dalam mana-mana tabung).
| Tabung Am | Tabung Istitoah | Jumlah Simpanan | Kelayakan Giliran Haji |
|---|---|---|---|
| RM10,000 | RM5,000 | RM15,000 | ✅ Layak |
| RM15,000 | RM0 | RM15,000 | ✅ Layak |
| RM5 | RM14,995 | RM15,000 | ✅ Layak |
| RM10,000 | RM2,000 | RM12,000 | ❌ Tidak layak |
| RM2,000 | RM10,000 | RM12,000 | ❌ Tidak layak |
Jadi, mulai 2029, mari kekalkan sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun TH untuk dapat jemputan haji bila tiba giliran.
