Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) umumkan MyKad Generasi Baharu dan boleh didapatkan mulai 17 September 2026 secara berperingkat. Kad pengenalan baharu ini ada reka bentuk dan struktur yang dikemas kini dan dalam masa yang sama nyata ditingkatkan pada ciri keselamatan.
JPN katakan yang MyKad Generasi Baharu mempunyai 53 ciri keselamatan, berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada. Namun, pelancaran kad baharu ini tak bermaksud semua rakyat perlu segera tukar MyKad masing-masing.
Ini info lanjut tentang MyKad Generasi Baharu.
53 ciri keselamatan baharu MyKad Generasi Baharu
MyKad baharu diperkenalkan untuk tambah baik bahagian keselamatan dan perlindungan identiti. Antara ciri yang diketengahkan JPN termasuk Hologram Keselamatan Dinamik, Transparent Window, Kod QR Penguatkuasaan dan Cip Antara Muka Dwifungsi.
Walaupun rupa dan struktur kad berubah, fungsi asasnya kekal sama sebagai dokumen pengenalan diri rasmi rakyat Malaysia.

Tak perlu tergesa-gesa ganti MyKad baharu
MyKad sedia ada masih sah dan tak perlu ditukar sekiranya tidak rosak. Individu yang perlu tukar adalah yang memegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad tanpa ghost image. Gantian juga boleh dibuat apabila kad rosak, patah, mengalami masalah cip atau hilang, tertakluk kepada prosedur JPN.
Bagi gantian biasa, JPN menyatakan bayaran yang dikenakan ialah RM10, tapi kadar sebenar bergantung kepada sebab permohonan.
Nombor MyKad dan maklumat peribadi kekal sama
Bila dapat MyKad Generasi Baharu, nombor kad pengenalan tidak berubah. Maklumat peribadi pada kad juga kekal berdasarkan rekod rasmi JPN.
Seperti biasa, MyKad baharu boleh digunakan untuk urusan pengesahan identiti di agensi kerajaan, institusi perbankan dan penyedia perkhidmatan lain. Penyesuaian sistem dengan kad baharu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan urusan rakyat terus berjalan.
MyKad baharu untuk BUDI95 dan SARA
MyKad Generasi Baharu boleh digunakan untuk urusan bantuan dan subsidi kerajaan yang menggunakan MyKad sebagai medium pengesahan, tertakluk kepada syarat program masing-masing.
JPN secara khusus mengesahkan bahawa MyKad baharu boleh digunakan untuk BUDI95.
Bagi SARA, pertukaran MyKad tidak akan menyebabkan baki atau kelayakan penerima hilang. Ini kerana baki dan kelayakan SARA direkodkan dalam sistem SARA, bukannya disimpan di dalam MyKad.
MyKad baharu tiada fungsi Touch ‘n Go
Satu perubahan fungsi yang perlu diberi perhatian adalah ciri Touch ‘n Go tidak lagi disediakan dalam MyKad Generasi Baharu. Pengguna yang mahu terus menggunakan perkhidmatan Touch ‘n Go perlu menggunakan kad Touch ‘n Go berasingan atau Touch ‘n Go eWallet.
Pengeluaran MyKad baharu dilaksana secara berperingkat
Pelaksanaan MyKad Generasi Baharu bermula pada 17 September 2026. Sebanyak 40 cawangan JPN yang mempunyai kemudahan percetakan boleh menyiapkan kad baharu pada hari yang sama.
Bagi cawangan yang tidak mempunyai kemudahan tersebut, MyKad akan disiapkan dalam tempoh sehingga lima hari bekerja.
Secara ringkasnya, MyKad Generasi Baharu dibawa kerajaan Malaysia untuk tingkatkan keselamatan tanpa mengubah identiti pemegang. Pemegang MyKad lama yang masih sah juga tidak perlu tergesa-gesa membuat penggantian hanya kerana versi baharu ini telah diperkenalkan.
Sumber: Jabatan Pendaftaran Negara
