Rapid KL umum mereka telah lanjutkan promo tambang percuma LRT3 Shah Alam sehingga 14 Ogos 2026. Ia bakal beri lebih banyak masa kepada pengguna untuk cuba laluan baharu yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang. Lanjutan tambang percuma ini meliputi perkhidmatan LRT3 Shah Alam, termasuk bas pengantara (feeder bus) serta kemudahan Park N’ Ride di stesen-stesen terpilih. Asalnya, promo percuma ditawarkan sehingga 31 Julai 2026 selepas LRT3 Shah Alam mula beroperasi secara rasmi pada 29 Jun 2026.

LRT3 Shah Alam hubungkan Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya
LRT3 Shah Alam adalah laluan LRT sepanjang 37.8km yang menghubungkan Johan Setia di Klang ke Bandar Utama di Petaling Jaya. Laluan ini mula beroperasi dengan 20 stesen, dengan beberapa lagi stesen dirancang untuk pembangunan masa hadapan.
Laluan baharu ini turut berintegrasi dengan rangkaian pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang, termasuk sambungan ke LRT Kelana Jaya dan MRT Kajang. Ini memudahkan pengguna untuk menuju ke lokasi seperti KL Sentral, Mid Valley, Bangsar dan Damansara.
Kekerapan tren dan masa perjalanan LRT3 Shah Alam
LRT3 Shah Alam beroperasi dengan kekerapan tren sekitar 8 hingga 15 minit, bergantung kepada waktu puncak dan luar puncak. Perjalanan dari satu hujung ke satu hujung mengambil masa kira-kira 70 minit.
Selain perkhidmatan tren, Rapid KL turut menyediakan bas pengantara bagi memudahkan pengguna dari kawasan sekitar ke stesen LRT3. Kemudahan Park N’ Ride juga disediakan untuk pengguna yang ingin parkir kenderaan sebelum teruskan perjalanan menggunakan pengangkutan awam.
Dengan tempoh promo tambang percuma LRT3 Shah Alam dilanjutkan sehingga 14 Ogos 2026, Orang ramai digalakkan mengambil peluang ini untuk mencuba laluan baharu ini sebelum tambang LRT3 penuh diperkenalkan.
Sumber: RapidKL
