3 Kelebihan dan Kekurangan DJI Osmo Pocket

Tidak dapat dinafikan DJI mengejutkan dunia dengan produk superkompak yang tak terbayang dek akal boleh jadi sekecil ini. Osmo Pocket menggabungkan kamera dan gimbal yang boleh dimuatkan dalam poket sahaja.
Tapi, untuk jadi produk yang unik dalam pasaran, beberapa kompromi harus berlaku dan ini adalah antara 3 kelebihan dan kekurangan DJI Osmo Pocket berbanding produk konvesional yang sedia ada.

Kelebihan

1. Saiz superkompak

Dengan dimensi paling panajng hanya 121.9mm, gimbal ini hanyalah setinggi tin minuman ringan yang biasa anda minum. Ia amat sesuai untuk kaki kembara yang ingin mengabadikan kenangan melawat tempat orang.

2. Resolusi video sehingga 4K60

Ini adalah berita baik untuk pembangun kandungan yang nak jadi sedikit kreatif dengan video mereka. Dengan resolusi setinggi itu, mereka boleh zum masuk tanpa pecah dan lakukan sedikit slow-motion bagi naikkan tahap dramatik video mereka.

3. Pelbagai aksesori tambahan untuk bantu merakam

Adapter USB-C dan Lightning didatangkan secara percuma. Ada juga perumah kalis air jika nak bawa kamera ini menyelam dan untuk fungsi Wi-Fi, ada pad khas yang dipasang pada port USB-C yang juga turut bertindak sebagai tapak untuknya berdiri.

Kekurangan

1. Frame rate video terhad hingga 60 fps saja

Untuk kamera semoden ini, kebanyakkan kamera aksi sudah mula berikan 120 fps pada resolusi 1080p ataupun 240 fps pada 720p. Tapi dalam kes Osmo Pocket, walaupun 1080p, ia hanya boleh pergi sampai 60fps. Ia mengehadkan potensi slow-mo yang boleh anda lakukan.

2. Fungsi terhad tanpa aksesori tambahan

Kalau nak kawal gimbal guna APP telefon, anda perlukan modul Wi-Fi. Nak tambat pada tripod, perlukan modul GoPro. Nak sambung mikrofon external pun perlukan aksesori yang dijual berasingan. Oleh sebab itu, anda perlu beradaptasi untuk nikmati manfaat OSMO Pocket.

3. Bateri kecil dan tak boleh ditanggalkan

Bateri pada OSMO Pocket adalah sebesar 875 mAh saja dah bateri inilah yang membekalkan tenaga pada kamera dan juga gimbal. Ia memberikan waktu guna sehingga 140 minit bergantung pada pola penggunaan. Bagi memastikan saiz yang kompak, bateri OSMO Pocket tak boleh ditanggalkan tapi boleh dicas penuh sepantas 73 minit.