Intel Core Ultra Processors: Cara nak kenal & kenapa perlu kenal

Intel Core Ultra adalah keluarga cip pemproses Intel yang diumumkan dalam tahun 2023. Ia setakat ini terbahagi kepada dua siri:

  • Series 1 (codename: Meteor Lake), dilancarkan pada December 14, 2023
  • Series 2 (codename: Lunar Lake), dilancarkan pada September 3, 2024

Intel Core Ultra 200V: Ini sebab kenapa ia penting buat anda

Intel Core Ultra Series 1 (Meteor Lake)

Meteor Lake adalah Intel Core Ultra generasi pertama dan ia dikhusukan untuk laptop. Perubahan ketara pemproses ini berbanding pemproses Intel sedia ada adalah, Intel mula menggunakan rekaan multi-chip module (MCM) yang bermakna di atas seunit pemproses Intel, terdapat ciplet-ciplet kecil yang mempunyai tugas tersendiri berbanding rekaan monolitik cip tunggal yang digunakan Intel sejak sekian lama.

Anda boleh lihat Intel Core Ultra seperti System on a Chip (SoC) yang biasanya digunakan pada penghasilan cip pemproses telefon.

Intel Core Ultra Series 2 (Lunar Lake)

Lunar Lake masih meneruskan rekaan SoC kuasa ultrarendah untuk terus menambah baik kecekapan tenaga pada laptop ultranipis dan kompak. Ia adalah sekuel kepada Series 1 (Meteor Lake) kategori 15W sementara Series 3 (Arrow Lake) sedang dibangunkan untuk menggantikan produk 28W Meteor Lake-H.

Objektif Intel dalam penghasilan Lunar lake adlaah untuk mencabar persepsi bahawa cip X86 adalah tidak cekap tenaga berbanding ARM. Series 2 (Lunar Lake) memiliki kecekapan tenaga lebih baik berbanding Series 1 dan tak seperti sebelum ini, Series 2 juga akan disertai cip pemroses untuk produk desktop juga.

Tatacara penamaan Intel Core Ultra

Intel telah memperkenalkan tatacara penamaan baharu untuk pemproses Core Ultra. Ini cara untuk mengenal pasti produk-produk di bawah keluarga Intel Core Ultra.

  1. Brand Name: Pemproses ini mempunyai kepala nama Intel Core Ultra.
  2. Brand Level: Selepas itu, diikuti pula dengan tahap kekuatan pemproses seperti 3,5,7, dan 9. Perlu diingatkan yang Series 2 datang dengan 5,7, dan 9 setakat ini.
  3. Series Number: Nombor selepas Brand Level adalah nombor Series. Setakat ini Intel tawarkan dalam Series 1 ataupun Series 2.
  4. SKU Number: Nombor SKU menunjukkan pada tahap manakah kedudukan cip itu dalam keluarganya.
  5. Suffix: Abjad terakhir merujuk kepada jenis pemproses itu. Suffix yang boleh anda temukan adalah seperti:
    • H: Prestasi tertinggi
    • U: Cekap tenaga
    • V: Suffix baharu diperkenalkan pada Series 2 yang belum diperjelas Intel.

Apabila anda telah fahami 5 komponen nama Intel Core Ultra, barulah senang nak cam pemproses apakah yang sesuai untuk kegunaan anda.

Intel henti guna jenama “Core i” bermula 2023

Dalam bulan Jun 2023, Intel telah mengumumkan perubahan penjenamaan yang signifikan. Mereka tidak lagi menggunakan nama “Core i” selepas lebih 15 tahun. Versi yang lebih ringkas hanya gunakan “Core” untuk pemproses biasa dan “Core Ultra” untuk yang lebih premium. Berikut adalah penjelasan lanjut:

  • Core 3, 5, dan 7: Pemproses biasa, gantikan “Core i” sedia ada.
  • Core Ultra 5, 7, and 9: Pemproses berkuasa tinggi, khas untuk peranti premium.

Walaupun perubahan penjenamaan ini adalah untuk memperkemas penawaran Intel, terdapat pengkritik yang mendakwa ia mungkin menambah kekeliruan. Misalnya, ada SKU dalam Core ataupun Core Ultra yang berada dalam keluarga 5 ataupun 7 mempunyai prestasi hampir sama.

Ada juga yang mengatakan pendekatan Intel ini seperti mengikuti penjenamaan AMD dan Apple lantas menjadikan Intel kelihatan seperti “pak turut” berbanding Intel dahulu yang mengepalai dunia semikonduktor.