Legenda MMA Khabib Nurmagomedov gembira kerana dapat penuhi hajatnya untuk melawat Malaysia. Atlet dari Dagestan, Russia itu memberi bayangan akan membukan pusat latihannya di sini untuk melatih lebih ramai pengamal MMA.
Berikut adalah nota Muaz Yaid yang menyertai sesi dialog Khabib.
“Rumah saya belum siap; bumbungnya masih dalam proses pembinaan. Nanti, bila saya tiada, barulah seseorang akan menyiapkan bumbung rumah saya.”
Kata-kata ini menggambarkan betapa sementara dunia ini, sementara akhirat adalah tujuan utama.
Saya bersyukur kerana semalam, Allah memberi peluang kepada saya dan isteri untuk hadir dalam majlis Khabib Nurmagomedov Live di Malaysia. Sebenarnya, saya bukan peminat Khabib yang fanatik, apatah lagi sukan MMA. Belajar Muay Thai pun hanya untuk mencuba dan melepaskan geram.
Saya hadir kerana terpesona dengan Khabib, seorang juara dunia yang sangat merendah diri. Dia tidak terpengaruh dengan tepukan dan sorakan hampir 2,000 peminat yang hadir. Banyak nasihat yang beliau berikan, dan Alhamdulillah, Khabib juga menjawab soalan yang saya ajukan melalui undian.
Berikut adalah beberapa poin penting yang mungkin bermanfaat untuk rujukan masa depan:
- Khabib dibesarkan oleh seorang ayah yang mencintai seni mempertahankan diri dan sangat mengutamakan agama. Selain belajar MMA, Khabib juga menghadiri madrasah.
- Di tempat Khabib, majoriti penduduknya adalah Muslim yang mengamalkan cara hidup Islam, yang memberi kesan positif kepada mentaliti dan cara hidupnya.
- Dengarlah nasihat orang tua; tiada demokrasi dalam hal ini. Allah berfirman dalam Al-Quran: “Beribadahlah kepada-Ku, dan selepas beribadah, taatlah kepada orang tuamu.”
- Mudah untuk saya membuat keputusan untuk berhenti bertarung, tetapi sukar bagi orang lain untuk menerimanya. Keputusan itu dibuat kerana permintaan ibu saya.
- Wang tidak datang sendiri; ia disertai dengan masalah, kesibukan, dan pelbagai perkara yang tidak menyenangkan. Saya bertemu lebih ramai orang miskin yang bahagia.
- Saya hidup lebih lama dalam keadaan miskin, dan itu adalah kehidupan yang lebih baik daripada kehidupan yang kaya dengan harta.
- Sukan MMA adalah untuk orang yang lapar dan miskin; mereka bertarung untuk hidup dan akan mencabar anda jika anda seorang juara.
- Apabila ditanya mana lebih mudah, bertarung atau berniaga (Khabib kini menceburi bidang perniagaan), beliau menjawab: “Bertanding lebih mudah; saya dibayar untuk memukul orang yang saya tidak suka.”
Ketika saya bertanya, “Bagaimana anda membina mentaliti juara dan disiplin? Bagaimana anda mengelak daripada gangguan?” Inilah jawapannya:
“Ada orang yang dilahirkan dengan mentaliti dan disiplin yang baik. Namun, ada juga yang perlu belajar setiap hari untuk fokus dan disiplin. Proses ini memakan masa lebih lama.
Saya pernah membaca kata-kata orang Rom: “Jika anda ingin membina keberanian, anda perlu disiplin dan berusaha setiap hari.” Saya setuju, kerana tidak semua orang dilahirkan dengan sifat berani. Anda perlu belajar dan mencari orang yang dapat mengajar anda.
“Pada pendapat saya, kejayaan seorang juara adalah 80% kerana sokongan orang di sekelilingnya dan ekosistem yang membantunya. Walaupun ketika bertarung, dia bersendirian, ini melibatkan seluruh pasukan dan orang di sekitar saya.”
“Jika saya dilahirkan di tempat lain, tanpa tenaga dan sokongan, mungkin saya hanya menjadi pemain bola seperti anda (Alif Satar). Saya menjadi ‘fighter’ kerana keadaan dan orang di sekeliling saya.”
Ada yang berjaya lebih awal, ada yang berjaya lebih lambat. Nasihat saya, bersabarlah dan kekal fokus; ia mungkin mengambil masa sedikit lebih lama.”
Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana mengizinkan saya hadir dalam majlis ini, dan terima kasih kepada penganjur program, Faith Events, kerana mengadakan acara yang bermanfaat ini. Teruslah belajar sehingga kita tiada lagi.