Artikel ini diolah daripada utusan Ayat Ibrahim
Orang sebelah gelak-gelak tengok gelagat animasi haiwan. Tapi saya, kejap-kejap menangis. Setiap kali, air mata mengalir. Perlahan-lahan, saya kesat air mata, malu kalau orang nampak.
“Entah apa-apalah makcik ni menangis tengok movie,” mungkin mereka fikir begitu. Kisah hari ini,
Dia cakap, “Today is your day.”
“Hah?” Saya tak berapa faham.
“You have to celebrate because you’ve submitted your dissertation to your supervisors.”
“Oh, ok.”
Dalam hati, saya masih belum rasa “siap”. Belum viva, belum buat pembetulan. Dah boleh celebrate ke? Setidak-tidaknya, lega sebab dah siap tulis semua chapters.
“Let me sponsor you a movie.”
Bila dia kata begitu, saya terus letak syarat. Nak movie yang happy je. Tak nak sedih, takut, atau kisah cinta yang melalaikan. Akhirnya, satu je yang lepas syarat: The Wild Robot.
WARNING: SPOILERS AHEAD
Bukanlah cerita animasi tu yang terlalu menyedihkan. Tapi banyak babak-babak dalam The Wild Robot yang mengingatkan saya kepada kisah dalam al-Qur’an.
Cerita The Wild Robot bermula dengan Roz, sebuah robot yang terjatuh di dalam hutan dan secara tak sengaja diaktifkan oleh haiwan-haiwan liar. Roz mula mencari siapa Tuan yang menciptanya, sebab dia mahu berfungsi.
Dia bertanya kepada haiwan-haiwan di situ tentang tugasnya, tapi semuanya lari kerana menyangka dia raksasa.
Roz sedar haiwan sekelilingnya berkomunikasi, tapi dia tak dapat memahami bahasa mereka kerana ia tidak diprogramkan dalam dirinya. Maka, Roz mengaktifkan mod pembelajaran untuk belajar bahasa haiwan.
Nangis part ni.
Teringat kisah Nabi Sulaiman a.s yang diberi kemampuan memahami bahasa haiwan. Baginda tidak berbangga diri, malah merendah hati dan mengakui bahawa semua yang dimilikinya adalah kurniaan Allah SWT.
Seperti Roz, Nabi Sulaiman belajar bahasa haiwan untuk memenuhi fungsinya sebagai khalifah, bukan untuk sombong. Baginda menggunakan anugerah itu untuk melaksanakan tugasnya sebagai penyampai dakwah, termasuk dalam peristiwa bersama burung hud-hud.

Kembali kepada The Wild Robot, setelah beberapa lama dalam mod pembelajaran, akhirnya Roz faham bahasa haiwan. Ini mengejutkan haiwan-haiwan di sekelilingnya. Ada seekor haiwan kecil bertanya, “Awak nak bunuh kami ke?”
“Negatif,” jawab Roz.
Menangis lagi part ni.
Sebab teringat kisah semut dalam al-Qur’an yang berbaik sangka dengan Nabi Sulaiman a.s, walaupun semut itu mengarahkan kaumnya berlindung agar tak dipijak tanpa sengaja.
Apa yang pemimpin lakukan di muka bumi ni, walaupun sekecil semut, boleh dirasai. Kalau pemerintah adil, sekecil-kecil makhluk pun boleh rasa nikmatnya.

Roz terus mencari tugasnya. Dia bertanya kepada haiwan-haiwan apakah tugasan dia, tapi masih tiada yang memberinya jawapan. Sampai satu tahap, Roz rasa dia tak berfungsi, lalu menghidupkan signal untuk kembali ke kilang.
Babak ni pun buat saya menangis lagi. Sebab teringat kisah Nabi Adam a.s, yang diturunkan ke bumi dengan tujuan dan fungsi khalifah. Allah SWT menurunkan manusia dengan panduan dan peringatan, agar kita berfungsi di dunia ini sebelum kembali kepada-Nya.

Sewaktu Roz cuba menghantar signal itu, peranti signalnya dicuri oleh seekor haiwan. Roz mengejar, namun dikejar pula oleh beruang. Dalam usaha melarikan diri, Roz tak sengaja membunuh ibu angsa. Seekor anak angsa yang baru menetas kemudian menganggap Roz sebagai ibunya.
Pinktail, sejenis opossum, memberi Roz tugasan:
1. Beri makan kepada anak angsa
2. Ajar dia berenang
3. Ajar dia terbang sebelum musim salji
Akhirnya, Roz mendapat tugasan. Dia tak jadi balik ke kilang, dan mula melaksanakan tanggungjawabnya.
Sekali lagi, saya menangis.
Ingat kisah Nabi Musa a.s. Ketika baginda kecil, ibunya terpaksa menghanyutkannya di sungai demi menyelamatkannya. Namun Allah SWT mengaturkan baginda dipelihara oleh keluarga Firaun. Walaupun berada dalam istana musuhnya, Nabi Musa dibesarkan dengan kasih sayang dan perlindungan. Sama seperti angsa kecil yang dianggap anak oleh Roz walaupun asalnya bukan sebahagian dari dirinya.
Roz mula memenuhi tugas sebagai ibu angkat anak angsa itu. Dia jaga, beri makan, ajar berenang, dan ajar terbang sebelum musim sejuk tiba. Perlahan-lahan, dia belajar nilai kasih sayang dan pengorbanan.

Dalam satu babak, anak angsa itu mula terbang, dan Roz merasakan satu kepuasan yang mendalam, seperti seorang ibu yang berjaya mendidik anaknya dengan baik. Roz akhirnya memahami apa maksud ‘fungsi’ dia di dunia ini—untuk berkhidmat dan melindungi, bukan sekadar mesin yang menunggu arahan.
Dan itu yang membuatkan saya tersentuh.
Sama seperti kita, manusia. Kita bukanlah sekadar ciptaan yang menunggu arahan. Kita punya tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi, dengan tugas menjaga alam, makhluk, dan menyebarkan kebaikan. Bila kita menemui tujuan sebenar kita, itulah saat kita merasa benar-benar ‘hidup’.
Roz yang awalnya hanya robot kosong tanpa arah tuju akhirnya menemui erti kehidupan. Dia belajar daripada haiwan-haiwan di sekelilingnya, dia belajar untuk merendah hati, untuk berkhidmat kepada yang memerlukan.
Itulah sebab saya menangis sepanjang menonton cerita animasi ini. Sebab ia bukan sekadar cerita tentang robot di dalam hutan. Ia adalah refleksi tentang kehidupan kita sebagai manusia, tentang mencari makna, tentang kasih sayang, pengorbanan, dan tujuan.
Kisah Roz yang mencari Tuan yang menciptanya, lalu menemui erti kehidupan melalui kasih sayang, mengingatkan saya kepada hakikat sebenar kita sebagai manusia. Kita diciptakan oleh Allah SWT dengan tujuan yang mulia, dan hanya dengan menunaikan tanggungjawab itu barulah kita merasa lengkap.