Pengguna Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0) menyatakan ketakpuasan hati pada struktur baharu tarif elektrik TNB 2025. Isunya berpusat pada cara pengiraan kredit tenaga solar di bawah tarif baharu ini. Ia dikatakan menjejaskan nilai pelaburan kelengkapan solar mereka kepada separuh daripada biasa.

Tarif TNB baharu Julai 2025: Ini semua perlu anda tahu
EEI tarif TNB 2025: Ini penjelasan rebat bil elektrik RM73.50
Pembaharuan pada tarif baharu TNB 2025
Struktur tarif baharu telah membawakan perubahan signifikan dan juga lebih kompleks, berbanding sistem pengiraan 5 lapisan yang digunakan sebelum ini.
Untuk makluman anda, tarif asas tenaga elektrik naik sebanyak 14.2% kepada 45.62 sen per kilowat jam (kWh) untuk sepanjang tempoh Regulatory Period 4 (RP4) antara 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027.

Seperti yang dikongsikan sebelum ini, bil elektrik bermula Julai 2025 akan dipecahkan kepada 5 komponen iaitu:
- Caj tenaga: 27.03 sen/kWh untuk penggunaan bawah 1,500 kWh/bulan atau 37.03 sen/kWh untuk penggunaan melebihi 1,500 kWh/bulan
- Caj kapasiti: 4.55 sen/kWh
- Caj rangkaian: 12.85 sen/kWh
- Caj peruncitan: RM10/bulan (dikecualikan untuk penggunaan kurang daripada 600 kWh/bulan).
- Caj Automatic Fuel Adjustment (AFA): Komponen kadar berubah-ubah yang gantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT)
Berikut adalah formula terbaru cara pengiraan bil elektrik bermula 1 Julai 2025.

Imbau semula inisiatif NEM 3.0
NEM 3.0 telah diperkenalkan dalam tahun 2021 sebagai sebahagian daripada inisiatif Malaysia ke arah pengayaan tenaga boleh baharu. Sewaktu diumumkan, kerajaan mengumumkan sebanyak 2,500MW kuota yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:
- NEM Rakyat: 700MW (untuk pengguna domestik)
- NEM GoMEn: 100MW (untuk entiti kerajaan)
- NOVA: 1,700MW (untuk pengguna komersial dan industri)

Di bawah inisiatif yang asal, pengguna menikmati mekanisme offset “satu-dengan-satu”. Ia bermakna, untuk setiap 1 kWh tenaga yang pengguna jana melalui solar dan dieksport ke dalam grid nasional, pengguna akan terima kredit sebanyak 1kWh berdasarkan kadar tarif yang digazetkan. Jadi, pengguna boleh kurangkan bil TNB dengan signifikan.
Gambar bil dibawah adalah contoh penggunaan NEM. Pemilik akaun telah menggunakan 1,665 kWh dengan bil sebanyak RM832.42. Disebabkan dia ada sistem solar dan telah menjana 697 kWh masuk ke grid nasional, TNB telah offsetkan sebanyak RM397.99 untuk jadikan bil keseluruhan lebih rendah, pada RM656.68.

Maka dengan sebab itu, NEM 3.0 mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila ramai yang mula memasang sistem solar sendiri. Pada waktu siang, mereka gunakan tenaga hasilan sendiri sementara pada waktu malam, mereka gunakan pula tenaga daripada TNB.
Isu utama: Offset keseluruhan vs. Offset sebahagian
Kegusaran utama pengguna NEM 3.0 adalah berkaitan bagaimana pengiraan offset selepas penguatkuasaan struktur tarif baharu ini.
Berdasarkan rungutan pengguna dalam kumpulan Facebook yang bernama Solar Net Energy Metering DIY Malaysia, pegawai daripada TNB memaklumkan yang offset hanya dikira daripada komponen caj tenaga sahaja (27.03 sen/kWh untuk penggunaan bawah 1,500 kWh/bulan atau 37.03 sen/kWh untuk penggunaan melebihi 1,500 kWh/bulan).

Berikut adalah perbezaan cara kira solar kredit antara mekanisme lama dengan mekanisme baharu.
Mekanisme lama: Eksport tenaga solar boleh offset secara keseluruhan (caj tenaga + caj kapasiti + caj rangkaian). Ini berikan nilai maksimum kepada pengguna.
Mekanisme baru: Eksport tenaga solar hanya offset caj tenaga. Caj kapasiti dan caj rangkaian dikenakan secara penuh bergantung unit elektrik daripada TNB yang digunakan.
Anggaran beza bil offset keseluruhan vs. offset sebahagian NEM 3.0
Contoh yang diberikan pengadu adalah seperti berikut:
- Eksport ke grid nasional: 700kWh
- Import daripada grid nasional: 800kWh
- Jumlah penggunaan: 100kWh
Kalau pengiraan semasa digunakan iaitu 100 kWh × (caj tenaga + caj penghantaran + caj rangkaian), anggaran bil adalah kira-kira RM44.43. Walau bagaimanapun, sekiranya mekanisme offset sebahagian digunakan, formulanya adalah (100 kWh × caj tenaga) + (800 kWh × (caj penghantaran + caj rangkaian) yang bermakna anggaran bil adalah kira-kira RM166.20.
Kesan kepada ROI pemasangan solar
Pengadu mengetengahkan implikasi terhadap pulangan pelaburan (ROI) terhadap sistem solar yang telah dipasang. Ramai pengguna solar mengatakan yang unjuran ROI yang akan dinikmati adalah seawal 5 hingga 7 tahun. Namun, sekiranya mekanisme offset sebahagian digunakan, unjuran tiba-tiba menjadi 10 hingga 12 tahun yang bermakna mereka akan melebihi kontrak NEM 3.0 iaitu 10 tahun.

Kerajaan langgar kontrak NEM 3.0?
Kumpulan pengguna solar juga merasakan yang pihak kerajaan tidak menghormati kontrak NEM 3.0. Mana taknya, asalnya nama inisiatif adalah “Net Energy Metering” kini seakan menjadi Partial “Offset Metering”. Sedangkan, kontrak asal yang ditandatangani dengan SEDA adalah untuk offset secara keseluruhan.
Pengguna juga melihat TNB adalah pihak paling untung kerana pengguna yang eksport tenaga ke grid nasional tak lagi boleh offset, tapi TNB masih menjual tenaga yang mereka terima daripada pengguna solar. TNB dilihat sebagai “double charging”.

Energy Efficiency Incentives (IEE) untuk yang berjimat
Untuk meminimumkan impak perubahan struktur tarif TNB, kerajaan memperkenalkan inisiatif cekap tenaga (IEE). Menerusi inisiatif tersebut, kerajaan berikan rebat sehingga 25 sen/kWh untuk penggunaan bawah 1,000kWh/bulan.
Anda boleh baca lebih lanjut dalam artikel terdahulu.
Siapa berkuasa ke atas NEM 3.0?
Setakat artikel ini ditulis, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan TNB berkaitan cara pengiraan NEM 3.0 selepas penguatkuasaan tarif baharu. Ia taklah mengejutkan kerana inisiatif ini adalah dibawah kuasa Suruhanjaya Tenaga (ST) dan dilaksanakan oleh Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia. Kedua-dua entiti ini pula dibawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Sekiranya apa-apa kenyataan rasmi ingin dikeluarkan, PETRA-lah pihak yang paling tepat untuk merungkaikan segala persoalan. Sebaliknya, sehingga sekarang, isu ini masih samar-samar.
Kesan terhadap insiatif tenaga boleh baharu Malaysia
Kontroversi ini seterusnya membangkitkan persoalan berkaitan hala tuju peralihan tenaga Malaysia dan juga sasaran sasaran pelepasan net-zero menjelang 2050. Sekiranya tenaga solar dilihat terkeluar daripada kemampuan pengguna kerana nilai pulangan yang menurun, tentu sekali kemajuan ke arah sasaran tersebut akan rencat.
Rumusan
Mari kita lihat kembali info-info di atas. Implementasi tarif baharu TNB telah timbulkan kegusaran dalam pengguna solar NEM 3.0 kerana nilai tenaga yang mereka jana tak lagi boleh menampung pelaburan kelengkapan solar mereka. Pertukaran daripada mekanisme pengiraan offset keseluruhan kepada offset sebahagian menjadi punca jatuhnya nilai tenaga yang dijana lantas memanjangkan tempoh ROI secara signifikan.

Tarif baharu TNB dikatakan mendatangkan konflik kepada inisiatif tenaga boleh baharu sedia ada. Sungguhpun begitu, TNB katakan yang struktur baharu harga elektrik ini lebih adil secara keseluruhannya. Namun, menguntungkan majoriti adakah bermakna kontrak NEM sedia ada akan terjejas?
Perkara sebegini sepatutnya diperhalusi secara proaktif oleh pihak yang merangka polisi berbanding kuat kuasakan dahulu dan lakukan perubahan secara reaktif.
Sumber: The Star, Vajra Energy, SolarQuarter