Berita baik buat pelanggan TNB di Semenanjung Malaysia. Bil elektrik Ogos 2025 anda akan datang dengan rebat yang lebih besar. Hal ini apabila TNB mengumumkan kadar Automatic Fuel Adjustment (AFA) untuk Ogos 2025 adalah pada -1.45sen/kWh, maklumat daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).

Untuk perbandingan, kadar AFA untuk bulan Julai 2025 adalah 0sen/kWh. Kadar negatif bermakna anda akan dapat rebat untuk bil elektril bulan ini. Namun, bukan itu saja berita baiknya. Teruskan membaca.
Apa itu Automatic Fuel Adjustment (AFA)?
Buat yang terlepas berita, TNB telah melaksanakan struktur baharu bil elektrik bermula 1 Julai 2025. Salah satu komponen yang dicaj adalah AFA untuk gantikan Imbalance Cost Pass-Through (ICPT). Beza AFA dengan ICPT adalah kadar AFA berubah-ubah setiap bulan berbanding ICPT yang disemak setiap 6 bulan. Kadar negatif bermakna akan ada rebat pada bil elektrik anda sementara kalau kadar positif, bil elektrik anda akan lebih tinggi daripada biasa.

AFA negatif diramal sehingga November 2025
Bukan sahaja TNB umumkan AFA negatif untuk Ogos 2025, mereka turun lakukan unjuran AFA sebagai ramalan. Dijangkakan AFA negataf berkekalan sehingga November 2025 dengan kadar serendah -2.65sen/kWh dijangkakan dalam bulan Oktober 2025. Contoh berikut adalah sampel sebenar bil Julai 2025.

Sekiranya tarif AFA -1.45sen/kWh digunakan, bil daripada RM56.89 mungkin turun kepada RM53.42 selepas rebat sebanyak RM3.47 untuk penggunaan sebanyak 239kWh.
Penggunaan berhemah elektrik masih perlu
Sungguhpun AFA negatif dinikmati dalam bulan Ogos 2025 dan diramal negatif sehingga November 2025, pengguna perlu ingat yang AFA juga boleh pergi ke kawasan positif yang bermakna bil elektrik masih boleh naik lebih daripada biasa. Anda boleh bayangkan AFA ini seperti OPR pinjaman perubahan yang boleh buatkan bayaran bulanan jadi rendah dan juga lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, untuk penggunaan bawah 600kWh, caj AFA hanya boleh pergi maksimum kepada sifar sahaja. Hanya penggunaan melebihi 600kWh sahaja yang akan ada kenaikan bil jika AFA berada di kadar positif.
Maka dengan sebeb itu, amalan berhemah dalam menggunakan elektrik masih lagi diperlukan. Untuk tujuan itu, anda boleh usyar senarai peti ais 5 bintang dan cara untuk cari peralatan elektrik 5 bintang di pengkalan data Suruhanjaya Tenaga daripada kami.
Sumber: TNB