Briged Hijau: Inisiatif lestari Bateriku lupus bateri skrap Briged Hijau: Inisiatif lestari Bateriku lupus bateri skrap

Briged Hijau: Inisiatif lestari Bateriku lupus bateri skrap

Zaman sekarang, semuanya ada bateri, daripada sekecil-kecil alat hinggalah ke kereta. Tapi pernah anda terfikir nasib bateri yang dah habis diguna? Bagaimana ia diproses tanpa menjejaskan alam sekitar? Itulah persoalan yang ingin dirungkai Bateriku menerusi inisiatif Briged Hijau terbaharu mereka.

Bateriku x Econili: Langkah proaktif tangani e-sisa

Maka dengan sebab itu, Bateriku mengumumkan satu kerjasama strategik dengan Econili Battery New Energy (Econili). Econili adalah sebuah syarikat yang berpengkalan di Ipoh, Perak dan mereka menjalankan operasi kitar semula e-sisa termasuklah bateri kereta.

Salah satu kemudahan kitar semula Econili yang terletak di Ipoh mampu memproses 24,000 metrik tan bateri skrap setahun. Ia telah dibuka dalam bulan Mei 2024 dan menelan belanja sebanyak RM50 juta.

Briged Hijau: Inisiatif lestari Bateriku lupus bateri skrap

Di pihak Bateriku, kerjasama sinergistik ini dilengkapkan apabila rangkaian lebih 220 Pitstop diseluruh negara dibuka sebagai pusat pengumpulan bateri skrap. Sejak 2014 hingga sekarang, Bateriku telahpun berkhidmat pada lebih 1.5 juta pengguna di Malaysia mengedarkan bateri kereta dan banyak lagi perkhidmatan berkaitan automotif yang lain.

Apa itu Briged Hijau Bateriku?

Berbalik kepada Briged Hijau, ia adalah satu ranting daripada Bateriku. Tugas mereka adalah menghimpunkan semua jenis bateri seperti ion lithium dan asid plumbum. Bateri jenis ini biasanya ditemukan pada kereta, motorsikal, peralatan bertukang, alat elektronik, sistem solar, dan kereta EV.

Berbanding membiarkan bateri yang dah tak diguna terperosok di sudut terbiar rumah, pengguna boleh hantar ke mana-mana Pitstop Bateriku untuk tujuan kitar semula. Sekiranya tiada Pitstop berada dalam jangkauan pengguna, Bateriku juga ada lori Briged Hijau yang akan dibawa daripada kawasan ke kawasan untuk menghimpunkan e-sisa daripada komuniti setempat.

Briged Hijau: Inisiatif lestari Bateriku lupus bateri skrap

Apa jadi pada bateri skrap itu?

Selesai Briged Hijau mengumpulkan e-sisa mereka akan asing dan kelaskan bateri skrap ke dalam tiga kelas, mengikut kategori seperti berikut:

  • Kitar semula: Bateri yang sudah tak boleh diguna semula akan diproses untuk diekstrak bahan mentah yang terkandung di dalamnya. Bahan seperti lithium, kobalt, nikel, dan plumbum akan diguna semula dalam penghasilan bateri baharu.
  • Guna semula: Bateri yang masih lagi ada kapasiti berbaki dan boleh digunakan mungkin akan diolah semula untuk kegunaan ringan seperti penyimpanan tenaga untuk sistem solar ataupun didermakan kepada komuniti yang perlukan sistem elektrik luar grid.
  • Pelupusan secara selamat: Bateri yang tidak menepati kriteria kitar ataupun guna semula akan dilupuskan secara beretika mengikut piawaian ketat Malaysia dan antarabangsa untuk meminimumkan risiko pencemaran dan kesihatan kepada komuniti.
YouTube player

Kenapa Briged Hijau penting?

Dilaporkan yang Malaysia bakal perlu menguruskan hampir 900,000 bateri skrap menjelang 2050. Oleh sebab itu, satu solusi diperlukan untuk menangani e-sisa ini dan solusi itu dan ia haruslah bersifat holistik iaitu bermula daripada pengumpulan hinggalah kepada pelupusan mengikut garis panduan yang betul.

Apa yang dilakukan Bateriku menerusi inisiatif Briged Hijau boleh dijadikan rujukan pada yang lain dalam membantu kerajaan merealisasikan Pelan Induk Teknologi Hijau (2017-2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Jadi, kalau anda anda bateri yang ingin dilupuskan, singgahlah ke Pitstop Bateriku yang berhampiran.

Sumber: Bateriku