Ini satu gajet cool dan sangat berguna kalau anda milikinya. Gajet yang saya maksudkan adalah Dagmara Inverter DC to AC. Ia bolehkan anda ubah bateri powertool berpenyambung Makita jadi sebuah powerbank mudah alih untuk kuasakan banyak peralatan elektrik AC. Ini adalah reviu penggunaan Dagmara Inverter.

Bahaya tentang Inverter DC-AC Dagmara
Inverter ini, ia tukarkan arus DC pada bateri menjadi arus AC yang boleh digunakan pada peralatan elektrik tertentu. Walau bagaimanapun, saya nampak banyak kaki affiliate di TikTok sana gunakan inverter ini dalam keadaan yang tidak selamat.

Output AC maksimum menurut helaian spesifikasi inverter ini adalah 120W yang bermakna itulah juga kuasa maksimum peralatan elektrik yang boleh disambungkan padanya. Ada satu video yang saya nampak, ia guna untuk jalankan periuk nasi elektrik dan ia adalah sesuatu yang berbahaya.

Mungkin dalam video nampak berfungsi. Namun, inverter akan terlebih beban dan seterusnya menyebabkan haba terhasil terlalu tinggi, kemudian mencairkan badan inverter, akhirnya berisiko beri renjatan elektrik pada pengguna. Jadinya, sebelum guna Inverter DC-AC Dagmara, anda kena tahu spesifikasi teknikalnya terlebih dahulu.
Spesifikasi teknikal Inverter DC-AC Dagmara
- Jenis bateri: Penyambung Makita (18V-21V)
- Output AC: Palam 3 pin (maksimum 120W, Modified Sine Wave)
- Output USB: USB-A (2), USB-C (1), Sokong USB-PD hingga 27W
- Suis On/Off alat Inverter
Malangnya, tiada petunjuk kapasiti bateri disediakan. Namun, anda boleh agak-agak kapasiti bateri berdasarkan voltan bateri yang terpapar. Biasanya sistem 20V akan tunjukkan bacaan sekitar 21V apabila bateri penuh dan apabila kosong, sekitar 16V untuk elak daripada deep-discharge.

Perlu juga diingatkan yang output AC inverter ini adalah jenis modifed sine wave. Sebagai perbandingan, arus AC daripada soket dinding anda adalah jenis pura sine wave. Jenis gelombang sine ada kesan terhadap kelengkapan elektrik anda.

Pengalaman guna Dagmara Inverter DC-AC
Inverter Dagmara ini sesuai untuk kelengkapan elektrik asas seperti kipas dan lampu. Sekiranya nak gunakan pada powertool, pastikan kuasa peralatan tersebut tak melebihi 120W. Untuk barangan elektronik, hanya produk yang dikuasakan bateri sahaja saya sarankan untuk diguna bersama inverter ini. Contoh barangan elektronik berbateri adalah seperti laptop, telefon, konsol Nintendo Switch, tablet iPad, dan sebagainya.
Saya tidak sarankan untuk anda gunakan pada barangan elektronik yang tiada bateri seperti desktop, konsol permainan PlayStation, Xbox, Mac Mini, banyak lagi kerana arus jenis modified sine wave mungkin akan beri kesan negatif pada prestasi.

Masalah terbesar saya dengan inverter Dagmara ini adalah pada soket 3 pin ini. Walaupun ada kekurangan lain, pada saya ini satu-satunya sebab utama kenapa saya tak sarankan produk ini pada semua orang.

Kelemahan terbesar soket 3 pin ini adalah ia tak ikut spesifikasi pemalam 3 pin. Pertama, lubang Live dan Neutralnya tidak tertutup. Jadi ia ada risiko renjatan kalau objek besi dicucuk pada lubang ini.

Kemudian, apabila anda masukkan plug 3 pin, pin buminya tak masuk secara habis. Bukan itu saja, soket tidak mencengkam plug secara kemas, jadikan sebarang pergerakan ada risiko untuk plug tercabut daripada inverter.

Solusi yang boleh kita lakukan adalah beli pelindung soket dan tambat plug pada inverter gunakan objek seperti cable tie.
Untuk hayat guna, ia sangat bergantung kepada kapastiti bateri yang digunakan. Macam saya gunakan bateri Keelat 6.0Ah.
Siapa yang sesuai guna Dagmara inverter?
Sungguhpun inverter ini sangat berguna, ia bukanlah untuk semua orang. Anda perlukan ilmu asas elektrik dan elektronik untuk gunakannya secara selamat dan berkesan. Berikut adalah beberapa senario yang saya rasakan inverter Dagmara ini akan cemerlang:
- Aktiviti perkhemahan: Pergi berkhemah di Janda Baik, operator tapak tak sediakan punca kuasa. Bolehlah gunakan inverter ini untuk nyalakan lampu dan jalankan kipas di tapak khemah.

- Aktiviti hobi: Ngam untuk yang nak jalankan mesin las atau powertool kecil untuk buat diorama, kit model, ataupun Gunpla. Ia ubah peralatan berkabel jadi lebih mudah alih.

- Powerbank untuk laptop: Laptop yang guna penyambung jenis barrel dan bukannya USB-PD paling sesuai. Sekali lagi, jangan gunakan pada komputer tanpa bateri dan hanya guna pada laptop yang tarik kurang daripada 120W kuasa.

Dagmara Inverter: Beli atau buang?
Selepas gunakan inverter Dagmara DC-AC untuk beberapa ketika, saya boleh katakan produk ini bukan untuk semua orang walaupun harganya mampu milik. Ciri modular gajet ini bermakna inverter boleh dicabut daripada bateri dan seterusnya anda boleh tukar bateri dengan yang ada kapasiti lebih tinggi untuk naik taraf tempoh guna.
Walau bagaimanapun, seperti saya petik tadi, anda perlu ada asas konsep elektrik seperti:
- faham dengan had watt inveter
- faham berapa banyak kuasa yang ditarik alat eletrik
- faham perbezaan modified sine wave dengan pure sine wave.
Link pembelian inverter DC-AC Dagmara ini saya letakkan di bawah. Kalau ada apa-apa nak tanya, turunkan soalan anda di bawah.
Dagmara Inverter bawah RM50 ini tukar bateri Makita jadi powerbank untuk kipas, lampu, laptop & banyak lagi. Ketahui apa yang boleh dan tak boleh.