Pernah anda terfikir, betulkah tarif Time-of-Use (ToU) lebih jimatkan bil elektrik? Sebenarnya ada situasi yang tarif Domestik Am iaitu tarif rata adalah lebih jimat daripada tarif ToU TNB. Analisis pulang modal (breakeven analysis) ini boleh berikan jawapan yang lebih jelas.

Breakeven analysis adalah kaedah yang digunakan untuk menentukan titik apabila kos menjadi sama dengan pulangan. Maksudnya, tiada kerugian atau keuntungan dicatatkan. Dalam perniagaan, ia menunjukkan berapa banyak sesuatu produk perlu dijual untuk mula catatkan keuntungan. Dalam kes tarif ToU, titik yang hendak dicari adalah dalam keadaan apakah kos elektrik ToU menyamai kos elektrik Domestik Am.
Breakeven analysis: Tarif ToU vs. Domestik Am
Analisis dimulakan dengan menyenaraikan dua persamaan untuk kira:
- bil elektrik mengikut tarif domestik am
- bil elektrik mengikut tarif ToU
Pada bahagian bil elektrik tarif ToU, jumlah penggunaan tenaga diperkembang untuk masukkan penggunaan elektrik di dalam dan di luar waktu puncak.

Kemudian, kedua-dua persamaan itu digabungkan bersama. Komponen berwarna ungu adalah daripada bahagian tarif ToU manakala komponen berwarna hijau daripada bahagian domestik am, untuk memudahkan pemahaman.

Empat langkah yang dipamerkan dalam gambar di bawah adalah proses untuk menghimpunkan elemen kuasa ke sebelah kiri dan elemen tarif ke sebelah kanan.

Sesudah semua elemen berada di bahagian yang dikehendaki, elemen tarif digantikan dengan kadar tarif sebenar seperti yang digariskan dalam laman rasmi TNB iaitu:
- Tarif Domestik Am: 27.03 sen/kWh
- Tarif ToU (waktu puncak): 28.52 sen/kWh
- Tarof ToU (luar waktu puncak): 24.43 sen/kWh
Angka 63.57% membawa maksud seperti berikut. Untuk tarif ToU, sekiranya 63.57% penggunaan keseluruhan elektrik berlaku di dalam waktu puncak, kosnya akan sama dengan apabila tarif Domestik Am digunakan. Ia juga bermakna, penggunaan dalam waktu puncak yang lebih daripada itu akan jadikan bil elektrik lebih tinggi.

Oleh yang demikian, untuk merasai penjimatan melalui tarif ToU, penggunaan elektrik di luar waktu puncak wajib melebihi kira-kira 37% daripada penggunaan keseluruhan.
Bandingkan dengan kalkulator rasmi di myTNB
Jadi, untuk buktikan sama ada analisis ini betul ataupun tidak, tiga anggaran bil elektrik menggunakan kalkulator rasmi di myTNB. Kesemuanya dikira berdasarkan penggunaan 1,000kWh dengan perbezaan seperti berikut:
- Anggaran 1: Guna tarif Domestik Am.
- Anggaran 2: Guna tarif ToU dengan penggunaan waktu puncak 50%
- Anggaran 3: Guna tarif ToU dengan penggunaan waktu puncak 80%

Didapati yang anggaran bil ToU dengan penggunaan waktu puncak sebanyak 50% adalah lebih rendah berbanding anggaran bil Domestik Am dan begitulah sebaliknya.