Panduan laptop 2026: Jangan bayar mahal untuk CPU lama

Banyak laptop yang saya jumpa, tak kisah di Lazada ataupun Shopee dalam tahun 2026 ini, masih gunakan CPU Intel/AMD tahun 2022 ataupun 2023. Walaupun laptopnya adalah unit baharu, komponen dalamnya dahpun berusia. Untuk pelajar ataupun orang kerja pejabat, kalau anda ambil tahu sedikit tentang perkembangan semasa CPU anda boleh elakkan daripada jadi mangsa laptop harga tak masuk akal sedangkan spesifikasinya, lapuk.

Contoh di bawah adalah dua laptop dengan harga hampir serupa. Namun, salah satu menjalankan CPU yang dua generasi kebelakang.

Perbezaan antara Core i5-1335U dan Intel Core Ultra 5 225U agak ketara. Bukan sahaja pada segi ujian penanda aras. Malahan, cip yang lebih baharu ada teras NPU untuk tugasan AI. Tangkap layar di bawah adalah perbezaan purata skor 37 penanda aras antara 225U dengan 1335U yang menunjukkan 1335U secara purata skor 8% lebih rendah berbanding pesaingnya.

Sudahlah anda keluarkan wang yang banyak, prestasi yang boleh anda dapat daripada komputer itu, mungkin tak mampu tampung beban kerja yang anda berikan padanya, terutamanya adalam era AI ini yang banyak CPU telah mula dilengkapi NPU. Jadi, dalam artikel tips & tricks ini saya akan perlengkap diri anda dengan ilmu untuk pemilihan laptop anda yang seterusnya.

Laptop CPU Intel: Cari Core atau Core Ultra, elak Intel Core 14th Gen dan kebawah

Intel dah tukar cara mereka namakan CPU. Bermula 2023, mereka tak lagi gunakan Core i3, i5, i7, dan i9 tapi digantikan dengan dua keluarga CPU ini iaitu Core dan Core Ultra. Cara penamaan ini dimulakan dengan Core/Core Ultra Series 1 berasaskan platform Raptor Lake dan Meteor Lake.

Intel Core/Core Ultra Series 1

Intel Core Series 1 banyak digunakan dalam laptop mampu milik. Antara model yang boleh anda temukan adalah seperti Core 3 100U, Core 5 120U, dan Core 7 150U. Ia fokus pada penjimatan bateri dan penggunaan ringan seperti layari laman web, tugasan pejabat, dan sidang video. Seterusnya adalah Core Ultra Series 1.

CPU ini lebih berkuasa pada segi clockspeed lebih tinggi. Ia juga dilengkapi GPU Intel Arc yang lebih bagus daripada Intel UHD Core Series 1 dan akhir sekali, Ultra menandakan ia ada NPU untuk kendalikan tugasan berasaskan AI seperti Windows Studio Effect (tiada pada laptop yang jalankan CPU bulan Core Ultra). Antara CPU yang boleh anda dapati dalam keluarga ini adalah seperti:

  • Core Ultra 5 135U
  • Core Ultra 5 135H
  • Core Ultra 7 165U
  • Core Ultra 7 165H
  • Core Ultra 9 185H

Intel Core/Core Ultra Series 2

Kemudian, untuk tahun 2025 kita ada Core/Core Ultra Series 2. Ia menggunakan platform Lunar Lake yang katanya 50% lebih cekap tenaga berbanding Meteor Lake siri sebelum ini. Makanya, untuk setiap watt tenaga yang ia guna, prestasi adalah lebih tinggi.

GPU juga 31% lebih berkuasa menerusi GPU Xe2. Pada segi NPU, ia dikhabarkan beroperasi pada kelajuan sehingga 48 TOPS untuk mengalahkan Ryzen AI 9 370HX dan Snapdragon X Elite dalam kategorinya.

Antara CPU yang boleh anda jumpa dalam keluarga Core/Core Ultra Series 2 adalah:

  • Core Ultra 5 235U
  • Core 5 220U
  • Core Ultra 7 265U
  • Core 7 250U

Kenapa perlu elak Intel Core 14th Gen dan kebawah, akan saya ceritakan kemudian.

Laptop CPU AMD: Cari Ryzen 200 atau Ryzen AI 300

Di kem merah, AMD ada perkenalkan dia keluarga baharu dalam penawaran CPU mereka iaitu Ryzen 200 dan Ryzen AI 300. Ryzen 9000 juga ada tapi itu dituju khas untuk laptop berkuasa tinggi yang kita tak liputi dalam artikel ini.

AMD Ryzen 200

AMD Ryzen 200 pemerhati pasaran lihatnya sebagai penjenamaan semula daripada siri Ryzen 8040 untuk diletakkan sebagai opsyen mampu milik kepada Ryzen AI 300 kerana tak mahu Intel membolot pasaran komputer riba murah.

Hal ini kerana, ia masih gunakan senibina Zen 4,GPU RDNA 3 yang lama, serta NPU yang terhad pada 16 TOPS.

Antara CPU yang boleh anda pertimbangkan adalah seperti

  • Ryzen 3 210 (Tiada NPU)
  • Ryzen 5 230
  • Ryzen 7 250
  • Ryzen 9 270

AMD Ryzen AI 300

AMD Ryzen AI 300 adalah keluarga yang bawakan naik taraf signifikan.

Di sinilah mereka mula gunakan Zen 5, GPU RDNA 3.5 dan AI Engine XDA 2. Laptop yang gunakan CPU keluarga ini nikmati NPU sehingga 55 TOPS dan sokongan RAM dan GPU lebih berkuasa. Ia juga adalah pesaing rapat kepada Intel Core Ultra Series 2. Oleh sebab itu, harga jualan laptop yang gunakan Ryzen AI 300 rata-ratanya adalah lebih tinggi.

Antara CPU yang biasa ditemui dalam laptop, dalam pasaran sekarang adalah seperti:

  • Ryzen AI 5 340
  • Ryzen AI 7 350
  • Ryzen AI 9 365

Kenapa perlu elak CPU Intel 14th Gen atau Ryzen 8000 dan yang lebih lama

Faktor yang paling utama untuk pilih CPU laptop yang lebih baharu adalah kecekapan tenaga. Saya ambil contoh Intel Core Ultra 5 135U berlawan dengan cip setara generasi sebelumnya iaitu Core i5-1345U.

Hayat bateri laptop lebih panjang

Ujian mendapati Core Ultra 5 135U sekurang-kurangnya 12% lebih jimat tenaga sewaktu bekerja dan dalam keadaan idle, ia sekali ganda lebih rendah gunakan tenaga. Ia bermakna, untuk kapasiti bateri yang sama, anda boleh jangkakan yang laptop yang diperkasa Core Ultra 5 135U ada hayat bateri lebih panjang.

Itu belum dikira kelebihan pada prestasi akibat penggunaan seni bina ciplet dan pengoperasian pada clockspeed yang lebih tinggi.

Ada teras NPU untuk kerja AI

Terpakai untuk Intel dan AMD, dua generasi CPU terdahulu mereka tidak mempunyai teras NPU. Jadi kalau anda nak gunakan laptop untuk tugasan AI, ia agak terbatas. Windows juga ada beberapa ciri yang perlukan teras AI untuk berfungsi seperti Windows Studio Effects, Windows Recall, dan banyak lagi.

AMD Ryzen AI 300 dan Intel Core Ultra mereka ada teras NPU yang boleh bekerja pada paras sehingga 50 TOPS untuk tujuan tersebut.

Cakna CPU elak ditipu

Gunakan sedikit masa untuk lakukan penyelidikan dan ia boleh jimatkan banyak wang anda. Dalam kes beli laptop, anda dapat sebuah komputer yang paling tinggi spesifikasi boleh didapatkan dengan apa yang anda bayar. Sekarang anda dah tahu CPU apa yang perlu diusyar dalam pencarian laptop 2026, maka senanglah kerja saya untuk senaraikan laptop terbaik dalam beberapa paras harga ataupun mengikut penggunaan dalam artikel saya yang akan datang.