Berita jemaah sesat atau hilang sewaktu mengerjakan haji bukanlah perkara yang baharu. Naik risau jadinya, ahli keluarga yang tinggal di Malaysia. Adakah cara untuk menjejak mereka ini dari jauh? Ada. Apple Find My dan Google Find Hub adalah dua solusi yang benarkan lokasi masa nyata dikongsikan dalam kalangan ahli keluarga supaya kedudukan orang tersayang boleh dipantau setiap masa.


Mujurlah zaman ini, semua orang telah memiliki telefon pintar dan ada cara yang praktikal untuk hindari situasi ini. Dengan memberi akses lokasi masa nyata kepada ahli keluarga yang berada di Malaysia, mereka boleh dengan pantas memeriksa kedudukan semasa supaya tidak terpisah terlalu jauh daripada hotel ataupun lokasi berhimpun. Sebelum berangkat ke tanah suci, bolehlah sediakan telefon ibu-bapa masing-masing.
Ini cara untuk gunakannya.
Umrah & Haji 2025: 5 barang elektronik wajib ada
Untuk pengguna iPhone: Apple Find My
Jika jemaah gunakan iPhone, mereka boleh cari aplikasi Apple Find My di dalam telefon untuk kongsikan lokasi masa nyata kepada ahli keluarga. Cara untuk setnya adalah seperti berikut:
- Di telefon jemaah, buka aplikasi Find My
- Cari tab “People”
- Cari butang “Share My Location”
- Masukkan e-mel Apple ID ataupun nombor telefon pengguna iPhone yang ingin dikongsikan lokasinya.
- Tekan “Share Indefinitely”
Setelah diaktifkan, pihak di Malaysia boleh memeriksa kedudukan iPhone jemaah pada bila-bila masa. Apabila tidak lagi diperlukan, perkongsian boleh dimatikan pada bila-bila masa.

Untuk pengguna Android: Google Find Hub
Jika jemaah gunakan Android, mereka boleh pasang aplikasi Google Find Hub untuk tujuan yang sama. Berikut adalah cara untuk kongsikan lokasi melalui Android:
- Di telefon jemaah, buka aplikasi Find Hub
- Cari tab “People”
- Cari butang “New Share”
- Tekan pilihan “Until you turn this off”
- Pilih dengan siapa lokasi ingin dikongsikan

Kelebihan Find Hub berbanding Find My adalah, Google benarkan lokasi dijejak melalui perkongsian URL yang bermakna sesiapa sahaja yang ada pelayar Internet boleh memeriksanya. Ia termasuklah pengguna iPhone yang boleh pantau melalui Safari.

Tips penting sebelum berangkat ke Mekah
Sebagai persediaan, adalah penting untuk semua perkara ini dibuat lebih awal bagi memastikan semuanya berfungsi seperti yang dikehendakki. Berikut adalah beberapa tips penting:
- Lakukan perkongsian lokasi lebih awal, seeloknya sebelum pergi ke lapangan terbang.
- Pastikan jemaah mempunyai power bank untuk pastikan telefon sentiasa ada kuasa
- Pastikan pelan roaming telefon diaktifkan kerana perkongsian lokasi perlukan capaian Internet aktif
- Sebagai backup, masukkan juga maklumat perhubungan penting di lanyard jemaah.
Pelan Haji CelcomDigi: RM138 untuk Internet 50 Hari
Haji 2025: Uni5G Roam tawar pelan 45 hari Arab Saudi RM125
Selamat mengerjakan ibadah Haji
Hanya ambil masa beberapa minit, satu sistem pemantauan boleh disediakan pada ibu-bapa kita. Ia bukan saja memudahkan jemaah, malah memberi sedikit kelegaan pada yang ditinggalkan di Malaysia. Sekiranya anda sedang bersiap-siap untuk ke lapangan terbang atau tahu sesiapa sahaja yang mungkin perlu dengar tips ini, silakan berkongsi kepada mereka.