Anda nak beli kabel USB-C di Shopee dan Lazada. Anda buat carian dan hasilnya banyak, harga pun daripada yang murah hingga yang mahal. Sekilas pandang, anda nampak senaraian kabel USB-C 240 W pada harga murah. Namun perlu anda ingat yang watt tinggi tak bermakna prestasi pun tinggi.
Boleh dikatakan yang semua kabel USB-C 240 W harga luar biasa murah hanya sokong perpindahan data 480Mbps sahaja iaitu kelajuan USB 2.0. Kalau anda salah seorang yang beli dan sangka beroleh produk premium, pastinya anda akan kecewa.
Jadi, ini semua yang perlu anda tahu sebelum masukkan kabel USB-C “premium” ke dalam bakul.
USB-C adalah jenis penyambung
Bila cakap pasal USB-C, anda kena tahu ia merujuk kepada jenis penyambung. Bukannya keupayaannya pindah data atau cas peralatan. Dua kabel boleh ada penyambung USB-C hujung ke hujung namun berbeza operasinya. Dua perkara penting bila lihat spesifikasi kabel USB adalah:
- Tahap watt (W)
- Kelajuan perpindahan data (Mbps atau Gbps)
Jika anda lihat pada spesifikasi watt sahaja, anda hanya dapat separuh maklumat sahaja.
Kuasa mengecas vs. laju data dua benda berbeza
Satu pemahaman yang salah adalah lebih tinggi watt kuasa, lebih pantas kelajuan pindah data. Itu bukan cara kerja kabel USB.

USB Power Delivery
Kelajuan mengecas sangat bergantung kepada spesifikasi arus dan voltan yang disokongnya. Arus yang disokong kabel adalah sama ada 3 A ataupun 5 A. Kemudian sokongan voltan adalah sehingga 48 V sekiranya kabel itu menyokong protokol power delivery 3.1 (PD 3.1). Kabel juga boleh ditandakan dengan cip khas yang boleh kawal selia kuasa. Tiga kabel USB-C yang banyak dalam pasaran sekarang:
- 60 W (3 A) – Mengecas laptop dan telefon
- 100 W (5 A) – Mengecas laptop MacBook Pro atau laptop gaming
- 140 W – 240 W (PD 3.1 EPR) – Gaming laptop ataupun gajet berkuasa tinggi.
240 W bermakna kabel itu mampu alirkan tenaga elektrik yang yang banyak dan bukannya kelajuan pindah maklumat.

Laju data USB (Thunderbolt, USB4)
Kelajuan pindah data adalah bergantung kepada binaan dalaman kabel itu sendiri. Ia boleh dikelaskan dalam beberapa kategori:
- USB 2.0 – 480 Mbps
- USB 3.2 Gen 1 – 5 Gbps
- USB 3.2 Gen 2 – 10 Gbps
- USB4 / Thunderbolt – sehingga 40 Gbps
- Thunderbolt 5 – 80 hingga 120 Gbps
Kabel yang ada kelajuan perpindahan data pantas bermakna ia ada lebih banyak komponen di dalamnya yang akan meningkatkan kos penghasilan.

Kenapa kabel 240 W USB-C murah banyak di Shopee & Lazada?
Kos untuk hasilkan kabel yang sokong pengecasan 240 W adalah lebih murah berbanding kabel Thunderbolt 5. Untuk hasilkan kabel 240 W, pengeluar perlu guna:
- kabel kuprum lebih tebal
- mampu tampung arus 5A
- cip elektronik e-marker
Untuk hasilkan kabel yang mampu pindahkan sehingga 120 Gbps data, kabel itu ada:
- banyak jalur kabel kuprum
- lapisan perlindungan elektromagnet tebal
- pengendalian isyarat yang lebih jitu.
Oleh sebab itu, banyak kabel harga bajet hanya iklankan 240 W sahaja dan sempunyaikan kelajuan pindah data USB 2.0 (480 Mbps). Secara teknikalnya, mereka tidak menipu tapi itu kaedah licik lakukan pengiklanan.
Kabel 240 W USB 2.0 cukup sekiranya anda gunakannya untuk cas telefon, cas laptop, cas powerbank, cas gaming laptop, ataupun apa sahaja gajet USB-C yang perlu diisi bateri tanpa perlu sebarang perpindahan data.
Namun, isunya akan timbbul kalau anda nak gunakan kabel yang sama untuk sambung monitor tambahan, sambung SSD, stesen docking, ataupun perpindahan data yang besar. Hal ini kerana 480 Mbps adalah kira-kira 40 MB/s kelajuan sementara 10 Gbps adalah kira-kira 1,000 MB/s. Itu adalah perbezaan yang besar.
Cara elak pengiklanan licik
Bila nak pilih kabel USB-C, dua nombor perlu anda periksa. Nombor yang pertama adalah jumlah watt yang disokong sama ada 60 W, 100 W ataupun 140-240 W. Nombor kedua adalah protokol USB yang disokongnya. Jangan beli kabel USB 2.0 yang sokong 480 Mbps sebaliknya cari sekurang-kurangnya USB 3.2 ataupun USB 4 yang sokong sehingga 80 Gbps. Kalau iklannya tak pamerkan kelajuan data, besar kemungkinan ia adalah USB 2.0 480 Mbps.