Jemaah haji dari Malaysia perlu ambil maklum perkara ini. Ada perubahan pada peraturan Haji bermula musim 2026 (1447H). Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan yang kerajaan Arab Saudi telah menguat kuasakan polisi Dam secara prabayar sebagai syarat untuk meluluskan visa Haji.

Bayaran Dam Haji syarat lulus Visa Haji
Di bawah polisi baharu, jemaah yang ingin gunakan kaedah Haji Tamattuk dan Qiran perlu prabayar dam mereka sebelum visa Haji diproses pihak Arab Saudi. Negara itu kini mengguna pakai The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) yang mengendalikan hal-hal korban di sana.

Untuk jemaah Malaysia, kadar dam haji musim 2026 telah ditetapkan pada RM810 iaitu harga seekor kibas. Bagi memudahkan urusan aplikasi mudah alih THiJARI ataupun cawangan TH terdekat ada menyediakan perkhidmatan pembayaran dam haji kepada ADAHI bermula 1 Ramadan.
Untuk yang tak lakukan pembayaran menjelang bulan Haji, TH akan bekukan RM810 daripada akaun simpanan jemaah bermula 1 Syawal.
Peraturan baharu ini terpakai untuk jemaah haji yang ingin gunakan kaedah Tamattuk dan Qiran untuk mengerjakan haji. Sekiranya jemaah mengerjakan Haji secara Ifrad dan telah dicaj dam, TH akan pulangkan semula RM810 selepas pengesahan.
Di laman Adahi, kos untuk korban seekor kibas adalah serendah SAR450 (RM468).

Dam haji dan Korban tak sama
Walaupun dam haji dan korban melibatkan penyembelihan kibas, kedua-dua aktiviti ini tak sama niatnya. Dam haji adalah wajib untuk jemaah yang kerjakan haji Tamattuk dan Qiran tetapi korban tak wajib dan pengerja haji kaedah Ifrad juga boleh lakukan korban di Arab Saudi dan tidak menjadi sebahagian daripada syarat lulus visa Haji.
3 cara mengerjakan Haji anda perlu tahu
Seperti yang sedia tahu, penerbangan Haji untuk musim 2026 adalah bermula hingga 18 April hingga 20 Mei 2026.
Jadi, akan ada jemaah yang sampai lebih sebulan awal daripada tarikh wukuf dan ada juga yang sampai tanah haram beberapa hari sebelum wukuf. Begitu juga dengan penerbangan balik, ada yang akan berlepas pulang seawal seminggu selepas wukuf dan ada yang pulan sebulan selepas wukuf.

Oleh sebab itu, terdapat beberapa cara untuk mengerjakan Haji, bergantung kepada bila jemaah berada di Arab Saudi dan ia turut akan beri kesan pada status pembayaran dam jemaah. Berikut adalah 3 cara mengerjakan Haji yang perlu anda tahu.
1. Haji Ifrad
Untuk jemaah yang sampai ke Arab Saudi hampir dengan tarikh wukuf, adalah lebih baik dia mengerjakan Haji terlebih dahulu dan kemudian kerjakan umrah selepas 13 Zulhijjah. Haji menggunakan kaedah Ifrad, jemaah akan berada dalam Ihram sebanyak dua kali, satu untuk Haji dan satu lagi untuk umrah.
Ciri penting Haji Ifrad
- 1 ihram untuk Haji
- 1 ihram untuk Umrah
- Tidak perlu bayaran Dam.

2. Haji Tamattuk
Kaedah Tamattuk digunakan bila jemaah haji sampai jauh lebih awal daripada tarikh Wukuf. Daripada berada dalam Ihram terlalu lama sementara menunggu hari Wukuf, lebih baik selesaikan Umrah dan keluar daripada Ihram untuk berehat. Sama seperti kaedah Ifrad iaitu melibatkan dua kali Ihram tetapi jemaah mengerjakan Umrah terlebih dahulu dan seterusnya Haji.
Ciri penting Haji Tamattuk
- 1 ihram untuk Umrah
- 1 ihram untuk Haji
- Perlu bayaran dam
Sebab jemaah Haji perlu bayar dam jika gunakan kaedah Tamattuk adalah kerana dia mengerjakan Umrah dalam dalam bulan haji iaitu antara 1 Syawal hingga 13 Zulhijjah.

3. Haji Qiran
Kaedah ketiga pula adalah menghimpunkan Haji dan Umrah dalam satu Ihram. Selepas Wukuf, jemaah akan lakukan Tawaf dan Saie untuk sekali sahaja dengan niat untuk kedua-dua Haji dan Umrah. Cara ini paling pantas dan mudah tetapi perlu membayar dam. Ia banyak digunakan untuk jemaah yang penerbangannya sangat hampir dengan hari Wukuf.
Ciri penting Haji Qiran:
- 1 ihram untuk Haji dan Umrah
- Tawaf dan Saie untuk Haji dan Umrah
- Perlu bayar dam.

Sumber: Tabung Haji