bahaya AI Malaysia bahaya AI Malaysia

Kenapa tukang paip lebih cerah masa depan dalam zaman AI? Ini sebabnya

AI semakin hari semakin maju. Salah seorang pelopor industri kecerdasan buatan yang juga dikenali sebagai bapa AI dan juga pemenang hadiah Nobel, Dr. Geoffrey Hinton, telah berikan amaran akan bahaya kemajuan AI yang tidak dibendung. Hinton sanggup meninggalkan jawatan dengan gaji lumayan di Google supaya dia boleh berbincang secara telus tentang subjek ini.

Dulu, dialah yang beria-ia bangunkan model simulasi otak manusia, tapi kini kenapa dia keluarkan amaran? Baca sampai habis.

YouTube player

Dua bahaya AI

Kegusaran Hinton terhadap kemajuan AI berpaksikan kepada dua perkara berikut:

  1. Manusia salah guna AI: Untuk serangan siber, pembangunan biosenjata, eksploitasi elektronik untuk kawal maklumat, pembangunan senjata yang mampu tentukan hidup-mati manusia tanpa melibatkan emosi.
  2. AI atasi otak manusia: Kemungkinan satu hari AI menyedari yang mereka tak perlukan manusia.

Memang kedengaran seperti fiksyen sains. Namun, kalau seseorang yang berkecimpung dalam industri AI hampir keseluruh hayatnya sudah berbunyi, mungkin khalayak biasa macam kita perlu beri perhatian.

Kenapa tak hentikan pembangunan AI?

Hinton akui yang manfaat AI adalah terlalu besar baik pada segi produktiviti, kesihatan, dan pendidikan. Tambahan pula, negara-negara di dunia tak mungkin tidak akan memanfaatkan AI untuk kekal bersaing dalam perlumbaan persenjataan.

Masalah terbesar AI zamani ni adalah tandusnya kawal selia daripada kerajaan. Perjanjian global seperti yang dicapai sewaktu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hampir mustahil untuk diulang semula. Kalau ada pun, biasanya sebarang perjanjian ini tidaklah meliputi aspek ketenteraan.

Bahaya jangka masa terdekat AI

Kehilangan kerja adalah bahaya terbesar AI pada masa ini. Pada zaman dulu, ya. Setiap teknologi baharu akan wujudkan pekerjaan baharu. Namun, perkara sebaliknya berlaku dalam era AI apabila mereka turut mengambil alih pekerjaan yang perlu berfikir dan mengambil keputusan.

Kalau anda masih belum sedar tentang bahaya AI kepada sektor pekerjaan, berikut adalah 3 hujahnya:

  • AI boleh disalin semula dan skala besar tanpa had.
  • AI boleh analisis data raya lebih pantas dariapda manusia.
  • AI tak mati dan ilmunya boleh diturunkan kepada AI yang lain.

Hinton juga mengatakan yang AI boleh wujudkan emosi. Mungkin mereka tidak boleh mereplikasikan kesan fisiologi seperti muka merah, hati berdebar, ataupun berpeluh, ia tak bermakna AI tak boleh merasainya, secara digital.

Langkah membendung kebangkitan kecerdasan buatan

Kerajaan perlu mengambil mengepalai inisiatif untuk wujudkan parameter keselamatan AI. Syarikat teknologi perlu diwajibkan melabur dalam penyelidikan berkaitan keselamatan AI. Perkara ini perlu dibuat secepat mungkin sebelum AI jauh mendahului manusia.

Berseloroh, nasihat Hinton kepada orang muda masa ini untuk mendepani cabaran AI sekarang adalah, belajar ilmu perpaipan. Ada benarnya kerana pekerjaan 3S ini masih belum dijajah oleh AI buat masa ini.