Rakyat Malaysia yang akan menunaikan haji untuk musim 2026, ada berita baik buat anda. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan yang mereka telah menaikkan had pengeluaran untuk tunaikan Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 berkuat kuasa 1 Januari 2026. Kemudahan kewangan ini bertujuan untuk membantu jemaah menampung kos haji yang kian meningkat. KWSP juga mempermudah proses permohonan pengeluaran ini.
Kos Haji 2026 bermula RM15,000
Menurut Lembaga Tabung Haji (TH), kos keseluruhan Haji untuk musim 2026 (1447 hijrah) adalah pada RM33,300 untuk setiap jemaah. Untuk meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan, TH membahagikan jemaah kepada golongan B40, M40, T20 dan menyediakan beberapa bantuan kewangan.
| Kumpulan | Bayaran Sendiri | Subsidi Tabung Haji (TH) | Bantuan Kerajaan | Jumlah Subsidi | Peratus Bayaran Sendiri | Peratus Subsidi |
|---|---|---|---|---|---|---|
| B40 (penerima Sumbangan Tunai Rahmah) | RM15,000 | RM17,300 | RM1,000 | RM18,300 | 45% | 55% |
| M40 | RM23,500 | RM9,800 | – | RM9,800 | 71% | 29% |
| T20 (pendapatan RM15,000 ke atas) | RM33,300 | – | – | – | 100% | 0% |
Dengan kemudahan pengeluaran sehingga RM10,000, jemaah khususnya golongan rentan B40 dan M40 mampu kurangkan impak kos yang tinggi untuk menunaikan Rukun Islam ke-5 ini.

Cara keluarkan RM10,000 KWSP untuk tunai Haji
Selain naikkan had pengeluaran kepada RM10,000, KWSP turut mempermudah proses pengeluaran. Pencarum tak lagi perlu tunjukkan baki Tabung Haji kepada KWSP sebagai salah satu syarat pengeluaran. Apabila dimohon, dana akan diambil melalui Akaun Sejahtera (Akaun 2).
Syarat pengeluaran untuk kategori Haji adalah:
- Rakyat Malaysia umur bawah 55
- Terpilih untuk tunaikan Haji
- Permohonan kali pertama
Dokumen yang perlu dibawa adalah:
- MyKad
- Surat tawaran TH dengan status “DIPILIH”.
Pencarum boleh terus ke mana-mana cawangan KWSP berhampiran dan lakukan imbasan cap jari untuk selesaikan proses pengeluaran. Tiada sebarang borang perlu diisi.
Semak tawaran Haji 2026
TH sudah mula hantar surat panggilan haji musim 2026 seawal 24 Oktober 2025. Tempoh rayuan untuk yang berhajat untuk memohon pula dimulakan 3 November 2025, lebih awal daripada kebiasaan. Proses rayuan boleh dilakukan melalui platform THiJARI. Pemohon boleh lakukan semakan ataupun rayuan menggunakan aplikasi Android/iOS ataupun layari ke laman web THiJARI:
- Log masuk ke THiJARI
- Pergi ke Perkhidmatan Haji
- Tekan Semak Tawaran Haji untuk semak status panggilan
- Guna fungsi Rayuan Haji untuk mulakan proses rayuan
Perlu diingatkan yang pendeposit TH perlu ada simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 untuk melayakkan mereka menerima tawaran Haji ataupun membuat rayuan.
Kemudahan pengeluaran RM10,000 KWSP bantu jemaah Haji
Peningkatan had pengeluaran dan proses pengeluaran yang dipermudah pastinya akan membantu rakyat Malaysia yang berhajat untuk tunaikan Haji dalam masa terdekat. Contohnya, jemaah B40 yang asalnya perlu bayar tunai RM15,000 bolehlah dibantu oleh dana caruman KWSP dan baki RM5,000 boleh dicari daripada sumber yang lain.
Sumber: KWSP