BUDI95: 99% tak perlu 200L, kenapa naik ke 300L?

Bersempena bulan kemerdekaan ini, PMX Anwar Ibrahim mengumumkan yang kerajaan madani telah kembalikan kuota bulanan BUDI95 daripada 200L kepada 300L, 5 bulan selepas pengurangan kuota yang mereka umum tempoh hari. Kemudian, kuota BUDI Diesel juga dinaikkan daripada 300L kepada 400L. BUDI95 dan BUDI Diesel masing-masing dijangka manfaatkan 16 juta dan 500 ribu pengguna.

Rasional yang diberikan Perdana Menteri adalah untuk mengurangkan beban kewangan rakyat dan dalam masa yang sama memastikan subsidi bersasar terus dinikmati. Namun, persoalan yang perlu ditanya adalah, kenapa naikkan kuota ke 300L sedangkan dulu mereka juga yang kata kurang daripada 1% rakyat guna lebih 200L petrol?

BUDI95 turun daripada 300L ke 200L April 2026

Kali terakhir kuota BUDI95 diselaraskan adalah 1 April 2026 lalu apabila kuota turun daripada 300L kepada 200L. Ketika itu, PMX kata yang purata penggunaan RON95 rakyat Malaysia adalah sekitar 100L sebulan dengan hampir 90% pengguna kurang daripada 200L.

Keputusan itu dipertahan dengan hujah bahawa sebahagian besar pengguna tidak akan terkesan dengan pengurangan kuota itu. Untuk rujukan, harga RON95 dikekalkan pada RM1.99/L.

Dua bulan kemudian, dalam bulan Jun 2026, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kongsikan data lebih terperinci tentang penggunaan RON95 rakyat Malaysia. Katanya, hanya 1% penerima BUDI95 yang berjumlah 14 juta menggunakan lebih 200L sebulan.

Dalam erti kata lain, daripada data kerajaan, lebih 99% pengguna di Malaysia tak perlu pun kuota lebih 200L sebulan dan seterusnya menunjukkan yang kuota 200L adalah mencukupi. Kenapa bawa kembali kuota 300L?

Harga RON95 terus meningkat, pastinya kos subsidi juga tinggi

Walaupun kuota subsidi RON95 naik, ia bukanlah bermakna harga minyak menurun. Harga mingguan untuk 27 Ogos hingga 2 September untuk RON95 tanpa subsidi adalah RM3.82, naik RM0.05 berbanding minggu sebelumnya dan naik dua minggu berturut-turut.

Ia bermakna, kerajaan Madani menampung subsidi RM1.83/L untuk setiap liter BUDI95 yang dijual. Perubahan kuota 200L kepada 300L bermakna kerajaan menampung tambahan RM186/bulan ataupun lebih RM2.6 billion sebulan.

Kuota tambahan RON95 tak berguna?

Rasanya pengguna BUDI Diesel yang akan rasa kesan paling nyata dengan pengumuman ini kerana rata-rata kenderaan Diesel mempunyai tangki lebih besar. Untuk pengguna kenderaan petrol, kuota tambahan RON95 rasa seperti kuota bonus yang telco beri secara promosi daripada masa ke masa. Bunyi pemurah tapi berapa kerat saja yang gunakannya.