Selain sistem giiliran yang diperbaharukan, Tabung Haji (TH) juga perkenalkan sistem Multi Tabung, asasnya simpanan pendeposit boleh dibahagikan ke dalam Tabung Am dan Tabung Istitoah. Kedua-duanya kekal berada dalam akaun TH yang sama tapi tujuannya berbeza.
Ini huraian perbezaan Tabung Am dan Tabung Istitoah yang diperkenalkan Tabung Haji.
Apa itu Tabung Am?
Tabung Am adalah kantung simpanan biasa anda. Bila anda depositkan wang, dana akan disalurkan terus ke Tabung Am, contohnya bila anda buat potongan gaji ataupun DIrect Debit. Anda gunakan Tabung Am seperti biasa iaitu boleh masuk dan keluar pada bila-bila masa. Syaratnya adalah anda perlu kekalkan sekurang-kurangnya RM5 di dalam akaun.
Apa itu Tabung Istitoah?
Ini adalah ciri baru dalam akaun simpanan TH. Objektif utamanya adalah untuk pupuk disiplin dan penyimpanan bersasar. Khusus untuk pendeposit yang tak pernah tunaikan Haji, ia akan bantu mereka bersedia pada segi kewangan untuk penuhi syarat minimum berada dalam giliran kerjakan haji. Untuk yang dah tunaikan Haji, ia juga boleh diguna untuk simpanan jangka panjang lain seperti pendidikan, perkahwinan, kecemasan, dan persaraan.
Tak seperti Tabung Am, dana daripada Tabung Istitoah tak boleh dikeluarkan secara langsung.
Beza Tabung Am vs. Tabung Istitoah
Jadual di bawah adalah ilustrasi perbezaan Tabung Am dan Tabung Istitoah.
| Tabung Am | Tabung Istito’ah | |
|---|---|---|
| Tujuan | Simpanan Biasa | Simpanan Bersasar |
| Carai wang masuk | Tunai, Potongan Gaji, Direct Debit | Pindah daripada Tabung Am |
| Pengeluaran | Segera | Perlu pindah ke Tabung Am |
| Tempoh Pengeluaran | Segera | T+10 Hari Kalendar |
| Baki Minimum | RM5 | Tiada |
T+10 bermakna 10 hari kalendar termasuklah hari minggu dan hari cuti. Makanya, Tabung Istitoah direka untuk tidak secair Tabung Am.
Adakah Tabung Istitoah Dapat Dividen Lebih Tinggi?
Tidak. Mengikut maklumat rasmi TH, Agihan Keuntungan adalah sama antara Tabung Am dan Tabung Istitoah. Sebarang dividen diagihkan mengikut baki yang ada dalam setiap tabung di hujung tahun kewangan yang ditetapkan.
Boleh anda anggap yang sistem Multi Tabung ini adalah untuk tingkatkan disiplin menyimpan dengan cara menyukarkan proses pengeluaran supaya anda lebih cepat penuhi keperluan RM15,000 untuk kekal berada dalam sistem giliran Haji.
Sumber: Tabung Haji
