Baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan yang hanya MyDigital ID sahaja diterima untuk urusan log masuk aplikasi MyJPJ bermula 10 Oktober 2024. Walau bagaimanapun, disebabkan rungutan orang ramai, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan yang inisiatif tersebut telah dibatalkan dan pengguna boleh melog masuk MyJPJ seperti biasa buat masa ini.
Pengumuman awal log masuk MyJPJ guna MyDigital ID
Perkara ini disedari netizen selepas MyJPJ menyalurkan kemas kini aplikasi mereka dan apabila dilancarkan, satu pop-up memberitah yang bermula 10 Oktober 2024, MyDigital ID akan dijadikan satu-satunya kaedah untuk log masuk aplikasi itu.
Buat pengetahuan anda, MyJPJ adalah aplikasi yang menyimpan maklumat-maklumat penting seperti cukai jalan dan lesen memandu. Dalam pop-up itu, pengguna juga dinasihatkan untuk gegas mendaftar MyDigital ID untuk elakkan kerumitan sewaktu log masuk.
Niat sebenarnya memang baik iaitu untuk melicinkan urusan log masuk disamping mempertingkat keselamatan.

Pop-up MyJPJ tentang MyDigital ID cetus kekeliruan
Pengumuman awal itu mencetuskan kekeliruan kerana MyJPJ sedia digunakan lebih 10.5 juta pengguna dan penetapan secara mandatori secara tiba-tiba menyebabkan netizen gelabah.
Banyak yang menyuarakan keresahan kerana perlu melakukan perndaftaran secara tergesa-gesa. Pada hari pengumuman, dikatakan yang portal MyDigital ID menerima trafik yang tinggi sehingga tidak mampu menampungnya.
Respons Menteri Pengangkutan Anthony Loke
Sejurus tularnya isu MyJPJ dan MyDigital ID ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengadakan sidang media pada 2 Oktober 2024 apabila dia memperjelas bahawa ia bukanlah pengumuman rasmi daripada kerajaan kerana tiada sebarang kata putus telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan.
Beliau lantas memberitahu yang penggunaan MyDigital ID di MyJPJ secara mandatori tidak akan diteruskan sehingga satu tarikh yang belum diberitahu. Maka dengan sebab itu, pengguna boleh melog masuk aplikasi MyJPJ menggunakan kaedah sedia ada.
Tambah beliau, penggunaan MyDigital ID di MyJPJ masih lagi di peringkat awal dan integrasi kedua-dua perkara ini akan berlaku secara lancar dan berfasa tanpa menjejaskan pengalaman pengguna. Pihak kementerian sedang mengadakan perbincangan dengan MyDigital ID Sdn. Bhd, sebuah subsidiari kepada MIMOS Berhad di bawah Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi, untuk mencapai objektif tersebut.
Anda boleh layari laman rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia untuk maklumat lanjut.