Hujan lebat berterusan pada pagi 12 November 2024 telah sebabkan banjir kilat di beberapa lokasi Lembah Klang. Pengguna jalan raya alami kesesakan teruk hingga menyebabkan terlewat ke tempat kerja. Lebih parah, ada laporan tanah mendap di lebuhraya NKVE.
Tanah mendap NKVE: Laluan kecemasan ditutup
PLUS Malaysia mengesahkan melalui Facebook mereka yang ada kejadian tanah mendap di laluan kecemasan kilometer 18.6 NKVE arah selatan antara Kota Damansara dan Damansara. Atas sebab keselamatan, PLUS Malaysia telah menutup laluan kecemasan dan sebahagian daripada lorong kiri. Petugas telah diletakkan di kawasan kejadian untuk mengawal lalu lintas.
Pengguna NKVE dinasihatkan untuk berhati-hati sewaktu melalui kawasan tersebut dan sentiasa ikuti laman rasmi PLUS @plustrafik ataupun dapatkan kemas kini melalui aplikasi PLUS.
Met Malaysia keluar amaran ribut petir Lembah Klang
Sementara itu, Jabatan Meterologi Malaysia, Kementerian Sumber Asli, dan Kelestarian Alam, telah mengeluarkan kenyataan tentang ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di sebahagian besar kawasan barat laut semenanjung Malaysia daripada Perak hinggalah utara negeri Johor.