Panduan puasa Ramadan: Latih sabar, raih pahala, pulih kesihatan

Artikel ini mengandungi segala maklumat tentang puasa bulan Ramadan yang perlu anda tahu. Mana taknya, puasa Ramadan kita lakukan setahun sekali, kadang-kadang disebabkan kesibukan, ingatan pun dah terkakis. Makanya artikel ini, sesuai untuk yang ingin menyegar semula memori ataupun menambah info-info baru yang telah diketahui sebelum ini.

Pengertian Ramadan: Fahami kepentingan dan tujuannya

Puasa (bahasa arab: صوم, sawm) daripada segi istilah membawa maksud menahan diri. Apabila dilihat pada sudut Fiqah bermaksud menahan diri daripada makan, minum, dan perkara yang membatalkan puasa, bermula daripada fajar hinggalah ke terbenam matahari, beserta niat.

Jemaah sedang solat tarawih bulan ramadan

Ramadan adalah bulan paling mulia dalam kalendar Islam. Sepanjang tempoh tersebut, ibadat dipertingkat dan rohani digilap demi mendapat redha Allah yang berlipat ganda dalam waktu terhad.

Orang sedang tunggu waktu berbuka puasa bulan ramadan

Kepentingan puasa dan bulan Ramadan:

  • Puasa Ramadan adalah salah satu daripada 5 Rukun Islam
  • Bulan apabila pintu Syurga dibuka dan pintu Neraka ditutup
  • Puasa mampu menghapus dosa lampau
  • Dua kegembiraan berpuasa adalah sewaktu berbuka dan satu lagi bertemu Allah (sumber)
  • Terdapat pintu Syurga khas, Al-Rayyan, untuk orang yang berpuasa masuk (sumber)

Bersifat holistik, puasa Ramadan memupuk sifat-sifat terpuji seperti:

  • Keikhlasan, kepatuhan, dan disiplin apabila perlu bangun pagi bersahur, menahan lapar, dan berbuka mengikut waktu-waktu tertentu.
  • Tawaduk dan rendah diri apabila hati tercuit sewaktu lapar mengenangkan nasib golongan yang tidak bernasib baik di luar sana.

Tiga tingkat puasa Ramadan mengikut Imam Al-Ghazali

Imam Al-Ghazali dalam kita Ihya Ulumuddin mengkategorikan puasa Ramadan dalam tiga tahap.

  • Puasa Umum – mencegah perut dan kemaluan daripada memenuhi syahwat keinginannya.
  • Puasa Khusus – mencegah pendengaran, penglihatan, lidah, kaki, tangan, dan seluruh anggota tubuh lain daripada dosa.
  • Puasa Khusus Khusus – Puasa hati daripada segala cita-cita yang hina dan segala fikiran duniawi, serta mencegahnya daripada selain Allah secara keseluruhan.

Tiga rukun puasa Ramadan

Puasa Ramadan dimulakan dengan niat. Mengikut mazhab Syafie, niat hendaklah dibuat pada setiap malam. Walau bagaimanapun, mazhab Maliki dan Hanbali membenarkan niat untuk satu bulan terus dibuat. Niat adalah salah satu rukun puasa.

Keadaan bazar Ramadan di Malaysia

Rukun 1: Orang yang berpuasa

  • Muslim, baligh, berakal, berkeupayaan, dan bersih daripada haid dan nifas
  • Puasa tidak sah untuk orang kafir
  • Puasa tidak wajib ke atas kanak-kanak belum baligh
  • Puasa tidak wajib kepada orang yang tidak mampu atau menghadapi kemudaratan sekiranya berpuasa.
  • Sekiranya haid dan nifas berhenti pada malam hari, wanita itu wajib untuk berpuasa pada esok hari. Hari yang ditinggalkan perlu diganti.
  • Orang yang bermusafir diharuskan berbuka namun perlu diganti di luar bulan Ramadan.
  • Orang yang sakit, mengandung, dan menyusukan diharuskan berbuka namun perlu diganti di luar bulan Ramadan.

Rukun 2: Niat

  • Niat puasa menentukan sama ada puasa kita sah ataupun tidak kerana perlu niat untuk puasa Ramadan bagi bezakan dengan puasa sunat yang lain.
  • Niat puasa dilakukan pada malam hari setiap malam.
  • Boleh juga niat untuk sebulan terus dengan syarat dilakukan pada malam pertama Ramadan.

Rukun 3: Meninggalkan perkara batal puasa

  • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja tidak kira sesuatu yang boleh dimakan ataupun tidak, seperti rokok.
  • Muntah dengan sengaja
  • Keluar darah haid ataupun nifas
  • Keluar air mani dengan sengaja
  • Bersetubuh
  • Murtad
  • Gila atau pengsan
  • Menukar niat

Sunnah dan adab dalam bulan Ramadan

  • Sahur
  • Berbuka
  • Baca al-Quran
  • Banyakkan berdoa
  • Bersedekah
Beri sedekah kunci pahala banyak bulan Ramadan

Perkara makruh sewaktu berpuasa

  • kumur keterlaluan
  • berus gigi berlebihan di siang hari
  • tidak berbuka puasa apabila tiba waktunya
  • perbuatan berkasih sayang keterlaluan di siang hari

Solat Sunat Terawih dan Qiamullail

Solat Sunat Tarawih

Satu ibadah yang unik dalam bulan Ramadan adalah solat tarawih. Ia adalah sembahyang sunat yang dilakukan pada malam hari dalam bulan Ramadan (selepas wakti Isyak).

Tarawih ibadat unik dalam bulan Ramadan

Sama seperti kebanyakan solat sunat yang lain, tarawih juga dilaksanakan dalam kiraan dua rakaan untuk setiap takbiratul ihram. Bilangan rakaat yang boleh dilaksanaakan tidaklah terhad. Secara tradisinya, kebanyakan surau dan masjid di Malaysia melaksanakan sebanyak 20 rakaat. Ada juga jemaah yang keluar pada rakaan ke-8, bergantung kepada kesenangan masa pada ketika itu.

Tadarus pergiat ibadat tambah pahala

8 juga adalah rakaan solat tarawih yang dilaksanaan pada zaman Rasulullah S.A.W sementara 2- adalah sewaktu zaman Khalifah Omar bin al-Khattab R.A.

Anda boleh muat turun buku Panduan Sembahyang Sunat Tarawih yang diterbitkan kerajaan Malaysia.

Qiamullail

Qiamullail secara difinisi harfiahnya adalah “bangun malam”. Ia merujuk kepada himpunan solat sunat dan zikir yang dikerjakan apabila seseorang itu bangun daripada tidur di malam hari ketika orang lain sedang tidur.

Qiamullail amat disarankan dalam bulan Ramadan

Walaupun tak wajib, Qiamullail sangat dituntut dalam Islam, malah ia disebut secara khusus oleh Allah S.W.T dalam Surah al-Isra’ ayat ke-79.

Jenis solat sunat sewaktu Qiamullail

Ada beberapa jenis solat sunat yang boleh dikerjakan sewaktu Qiamullail. Ia bergantung kepada niat dan kesenangan waktu seseorang individu tersebut. Menurut Panduan Qiamullail yang diterbitkan JAKIM, berikut adalah antaranya:

  • Solat Sunat Awwabin
  • Solat Sunat Tahajjud
  • Solat Sunat Hajat
  • Solat Sunat Taubat
  • Solat Sunat Tasbih
  • Solat Sunat Witir
Qiamullail pelengkap kepada ibadat dalam bulan Ramadan

Lailatulqadar dan 10 malam terakhir

Selain solat tarawih, satu lagi keunikan bulan Ramadan adalah lailatulqadar. Ia adalah satu malam yang Allah S.W.T katakan lebih baik daripada seribu bulan dan malam diturunkan al-Qur’an.

Lailatulqadar adalah misteri. Salah satu malam daripada 10 malam terakhir adalah lailatulqadar. Pandai-pandai katakan yang sebab ia dirahsiakan Allah adalah inginkan kita beribadat secara konsisten tanpa memilih waktu.

Rasulullah S.A.W sendiri dilaporkan memperbanyak ibadah pada malam sepuluh terakhir, melebihi daripada malam-malam sebelumnya menurut Aisyah R.A.

Menurut Dr. Zulkifli Albakri dalam salah satu utusan di portal miliknya, Rasulullah S.A.W menasihatkan untuk mencari lailatulqadar dalam malam-malam yang ganjil. Malam ganji Ramadan merujuk kepada malam 21, 23, 25, 27, dan 29.

Rasulullah S.A.W menyarankan beriktikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan dan baginda tidak tinggalkan walaupun sehari sehinggalah dia wafat. Sewaktu beriktikaf, tiada ibadat khusus yang dilakukan sebaliknya ibadat-ibadat yang biasa kita lakukan seperti dalam senarai solat sunat sewaktu Qiamullail.

Zakat Fitrah

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu, sama ada lelaki ataupun peremuan muslim yang berkemampuan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapklan.

Zakat Fitrah wajib dibayar oleh semua orang Islam yang penuhi syarat

Syarat wajib Zakat Fitrah

  • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya Aidilfitri.
  • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
  • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.
  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan.

Waktu membayar zakat fitrah

Zakat fitrah boleh dibayar sejurus Ramadan bermula hinggalah terbenamnya matahari pada 1 Syawal. Pembayaran Zakat Fitrah selepas itu dikira sebagai qada dan berdosa.

Puasa 6 hari dalam bulan Syawal

Keunikan terakhir Ramadan selain tarawih dan lailatulqadar, adalah “Puasa 6”. Ia merujuk kepada puasa sebanyak 6 hari dalam bulan Syawal. Ia dianjurkan sendiri oleh Rasulullah S.A.W seperti yang dicatatkan dalam Hadis Muslim.

Soalan yang banyak ditanya, terutamanya daripada wanita adalah, bolehkah gabungkan Puasa 6 bersama-sama puasa ganti? ataupun perlukan Puasa 6 secara berturut-turut? Persoalan ini sudahpun dijawab oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Sarjana muslim secara asasnya bersetuju yang sekiranya seseorang itu berpuasa dalam bulan Syawal dengan niat ganti (qada’) ataupun melunaskan nazar, maka pahala Puasa 6 turut diperolehi mereka. Walau bagaimanapun, tahap pahala yang diperoleh dikatakan tak sama dengan orang yang memisahkan puasa dan berniat khusus untuk satu-satu hajatnya.

Sumber: JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 2