Kementerian Pengangkutan Malaysia mengumumkan mereka akan menguji sistem perangkap had laju berkuasa AI dalam bulan Jun. Sistem yang dinamakan Automated Awareness Safety System (AWAS) itu akan mengguna pakai kaedah titik-ke-titik untuk mengesan kesalahan melebih had laju. Ia bagi menggantikan kaedah kamera statik AES yang diguna sekarang dan katanya lebih selamat.
Berikut adalah lokasi pengujiannya.

Lokasi AWAS yang beroperasi seawal Jun 2025
Laluan yang akan dipantau adalah:
- Lebuhraya KL-Karak: Terowong Genting Sempah ke Hentian Gombak
- Lebuhraya Utara Selatan: Plaza Tol Senawang hingga Plaza Tol Simpang Ampat (Alor Gajah)
- Lebuhraya Utara Selatan: Terowong Menora ke Hentian Sungai Perak.
Kaedah pengiraan:
- Kelajuan dicerap daripada titik A ke titik B.
- Sekiranya kenderaan tiba ke titik B lebih awal daripada anggaran, sistem AI akan mengeluarkan kompoun secara automatik.
- Sistem juga katanya cukup bijak untuk mengenal pasti sama ada kenderaan berhenti untuk memanipulasi kelajuan purata perjalanan.
Hujah kerajaan tentang AWAS
YB Anthony Loke menyatakan yang AES jenis statik tidak berkesan. Hal ini kerana pemandu hanya perlahankan kenderaan di hadapan kamera dan akan pandu laju semula selepas kamera. Sistem baharu akan pastikan pemandu lebih berdisiplin kerana kelajuan dipantau sepanjang pemanduan. Peliknya, ujian AWAS ini tak melibatkan dana kerajaan kerana entiti swasta dilantik untuk menguji dan melaporkan kebolehpasaran sistem ini.
Ujian AWAS di Terowong Menora sebelum ini membuahkan data yang meyakinkan.
Sebelum AWAS (2021 – Mei 2024) (42 bulan)
- Arah utara: 458 kemalangan, 9 kematian
- Aras selatan: 487 kemalangan, 6 kematian.
Selepas AWAS (12 Jun 2024 – Disember 2024) (6bulan)
- Arah utara: 3 kemalangan, 0 kematian
- Arah selatan: 6 kemalangan, 0 kemalangan
Langkah keselamatan Hari Raya 2025
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM akan lebih banyak lakukan rondaan di atas jalan raya. Pegawai berpakaian biasa JPJ juga akan lakukan operasi untuk kesan pemandu bas yang tidak kompeten. Kerajaan pula meletakkan larangan penggunaan jalan raya ke atas lori yang tidak mengangkut barangan keperluan.
Berdasarkan data daripada perayaan Tahun Baru China 2024:
- jumlah kemalangan turun 10%
- jumlah kematian turun 44%
Kerajaan mensasarkan angka tersebut turun lebih banyak selepas sistem AWAS dikuatkuasakan sepenuhnya.