Leka layan Netflix di Android TV? Tahukah anda yang TV anda mungkin sebahagian daripada rangkaian tentera zombie digital yang dikawal hacker? Ada satu ancaman keselamatan dalam bentuk malware telah ditemukan, namanya Vo1D botnet. Dilaporkan oleh satu portal penganalisis keselamatan, malware ini dah jangkiti lebih 1.6 juta Android TV dan Android Box di seluruh dunia.

Malaysia adalah antara negara yang paling tinggi kadar jangkitan iaitu 2.16% dan ia diterjemah kepada lebih 34 ribu unit Android TV dan Android Box. Setiap satu daripada jutaan ini mampu diaktifkan pada bila-bila masa untuk lakukan serangan siber.
Vo1D jadikan Android TV boneka digital
Vo1d Botnet adalah malware (perisian hasad). Perkataan “botnet” itu sendiri adalah gabungan perkataan “Robot” dan “Network”. Bila ia menjangkiti Android TV ataupun Android Box, ia boleh tukarkan sasarannya jadi boneka digital dalam satu rangkaian yang superbesar. Boneka ini boleh dikawal daripada jauh untuk lakukan macam-macam perkara untuk memenuhi agenda penggodam.

Android TV jadi tentera malware
Bila TV dan terkena Vo1D, hacker boleh lakukan perkara seperti:
- Paparkan kandungan dari jauh: Bayangkan TV secara tiba-tiba siarkan kandungan jelik ataupun propaganda.
- Lancarkan serangan siber: TV boleh unit kecil dalam serangan Distributed Denial of Service (DDoS) yang boleh lumpuhkan apa-apa sahaja sistem yang rentan. Contoh sasaran adalah seperti perbankan, kesihatan, apatah lagi penerbangan.
- Jadikan TV sebagai proksi: Hacker boleh gunakan TV yang terjejas sebagai pelindung untuk hapuskan jejaknya dan kekalkan kerahsiaan.

3 cara Vo1D tersebar
Ada beberapa cara bagaimana TV pintar anda boleh jadi alat menggodam orang lain. 3 yang biasa adalah:
- Sideload aplikasi pihak ketiga: APK daripada sumber yang tak dikenali mendedahkan anda kepada perisian yang sudah dipakejkan malware kerana tiada penapisan dilakukan seperti yang dibuat di Google PlayStore.
- Firmware tak rasmi: Kadang-kadang ada juga yang muat turun custom firmware kononnya akan beri ciri tambahan pada TV pintar. Sekali lagi, pembangun firmware boleh suntik malware ke dalamnya. Ini biasanya berlaku pada Android Box yang dipromosikan sekali dengan IPTV.
- Minda “tidak apa”: Pengguna mungkin lihat TV hanya sebagai peralatan rumah tapi apabila ia ada sistem operasi yang kompleks dan bersambung kepada Internet, langkah kesalamatan tambahan perlu diambil.

Elak Android TV daripada dijangkiti Vo1D
Usah panik. Ini beberapa saranan yang boleh diamalkan untuk lindungi TV pintar anda daripada malware, termasuklah Vo1D:
- Pasang aplikasi Antivirus: Android TV masih lagi sistem operasi Android. Cari Google Playstore dan pasang perisian antivirus.
- Hanya pasang aplikasi daripada saluran rasmi: Untuk Android, pastikan hanya pasang aplikasi daripada Google Play Store. Elakkan sideload APK dalam apa keadaan sekalipun.
- Sentiasa pastikan TV dikemas kini: Daripada masa ke masa, periksa firmware TV untuk sebarang naik taraf yang disalurkan pengeluar.
- Berwaspada dengan phishing: Jangan tekan apa-apa link yang terpapar di skrin bagi mengelakkan sebarang sideload tanpa sedar dilakukan.
Sumber: Xlab Qianxin