Kalau nak simpan data sensitif, Kingston ada satu produk ini yang ada dalam kelasnya yang tersendiri. Ia adalah Kingston IronKey D500S, pemacu kilat pertama dunia dan satu-satunya buat masa ini yang melepasi penawaran FIPS 140-3 Level 3, patuhi perjanjian TAA, dan komponennya 100% “halal A.S”. Ya, ia mampu simpan dokumen rahsia kerajaan dengan selamat.
Apa dia FIPS 140-3 dan kenapa perlu ada?
FIPS 140-3 adalah piawaian ketat penyulitan kerajaan Amerika Syarikat. Tahap tiga untuk FIPS 140 bermakna ia bukan setakat menyulitkan kandungan data dalamnya, ia juga mustahil ditembusi secara fizikal tanpa merosakkan keseluruhan storan. Jika berlaku sebarang gangguan, ia mampu lakukan pemadaman kendiri.

Selain FIPS 140-3 apa yang bezakan pemacu kilat ini dengan yang lain adalah:
- Ia direka cipta dan dipasang di California
- Semua komponen kritikal seperti cip penyulitan, unit memori, dan firmware didapatkan daripada pembekal yang patuhi perjanjian TAA.
- Proses pemasangan dikawal rapi oleh kilang Kingston di A.S

Ciri keselamatan dalam Kingston D500S
- Penyulitan tahap perkakasan XTS-AES 256-bit
- Ciri kata laluan untuk Admin dan User
- Storan ada partition, hanya Admin boleh akses ruangan rahsia dengan kata laluan yang betul
- Mode Crypto-Erase yang akan kosongkan data secara automatik dengan kata laluan tertentu
- Mode Global Read-Only hanya benarkan data dibaca, tak boleh ditulis untuk elak jangkitan malware
- Badan diperbuat daripada zink keras, kalis debu/air IP67, dan penuhi piawaian tentera

Jadi, orang yang sesuai guna Kingston D500S pastinya yang nak simpan data sensitif. Contohnya, agensi kerajaan yang ada maklumat Top Secret. Donald Trump pun boleh simpan data-data rahsinya tanpa risau kena godam.

Harga Kingston IronKey D500S di Malaysia
Kingston IronKey D500S ditawar dalam pelbagai luas storan pada harga bermula RM488. Berikut adalah harganya:
- 16GB – RM488
- 32GB – RM628
- 64GB – RM808
- 128GB – RM1028
- 256GB – RM1,468
- 512GB – RM1,718