Kadar AFA adalah salah satu komponen dalam pengiraan bil elektrik TNB bulanan anda. Kalau anda nak tahu cara sebenar kira bil elektrik, anda boleh baca artikel kami yang terdahulu. Dalam artikel ini pula, maklumat kadar AFA bulanan akan dikemas kini daripada masa ke masa untuk kemudahan anda.
Tarif TNB baharu Julai 2025: Ini semua perlu anda tahu
Kadar AFA untuk bulan Disember 2025 adalah -6.42sen/kWh, maklumat daripada TNB.

Apa itu AFA dan apa kepentingannya kepada pengguna
Automatic Fuel Adjustment (AFA) adalah satu perkara baharu yang perlu difahami oleh pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia. Penggunaan AFA dalam pengiraan bil elektrik telah dimulakan dalam bulan Julai 2025. Objektif AFA adalah untuk pamerkan dengan lebih telus, kos bahan api untuk menjana tenaga elektrik yang anda gunakan.
Sebelum AFA, TNB mengguna pakai sistem Imbalance Cost Pass-Through (ICPT). Ia miliki konsep hampir serupa namun kelemahan terbesarnya adalah jarak kemas kini kadar dibuat dalam tempoh masa bertahun-tahun. Dengan AFA, kadar dikira dan diguna pakai dalam pengiraan bil pada setiap bulan. Hal ini bermakna, sebarang perubahan kos bahan api akan diterjemah ke dalam bil pengguna dengan lebih pantas sama ada peningkatan kos ataupun penjimatan kos.

Tiga komponen dalam AFA
Dalam kadar AFA terkandung tiga komponen penting iaitu:
- harga bahan api
- kos di bawah Power Purchase Agremeents (PPA) dan Service Level Agreements (SLA)
- kos berkaitan penjanaan tenaga boleh baharu
Sekiranya kos bahan api naik, kadar AFA juga akan naik untuk menampung kenaikan kos yang ditanggung oleh pihak penjana dan begitulah sebaliknya.
Sebenarnya AFA adalah sebahagian pelan Incentive-based Regulation (IBR) yang dirangka oleh Suruhanjaya Tenaga. IBR digarap untuk menjadikan harga tenaga lebih telus dan adil. Sementara tarif asas dalam pengiraan bil adalah meliputi kos tetap seperti infrastruktur dan penyelenggaraan, AFA pula pastikan kos boleh ubah seperti bahan api dikongsikan secara telus kepada pengguna dan dikemas kini pada setiap bulan.

AFA bersifat adil untuk pihak penjana dan pihak pengguna
Contohnya, sekiranya harga bahan api seperti gas ataupun arang batu yang digunakan oleh loji janakuasa naik pada bulan itu, AFA akan bolehkan pihak penjana menampung kos penjanaan tanpa perlu menunggu semakan semula tarif yang dilakukan setiap beberapa tahun. Ia lantas mengurangkan risiko yang ditanggung pihak penjana dan seterusnya menjadi bekalan kuasa yang stabil.
Pengenalan AFA bermakna bil elektrik anda kini mempamerkan kos penjanaan dengan lebih telus. Sekiranya terdapat penurunan kos bahan api, anda boleh menikmati penjimatan dengan lebih pantas daripada menunggu semakan semual tarif. Kadar AFA diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada minggu keempat setiap bulan.