Sistem Giliran Tabung Haji Berubah 2029, Ini Cara Kerjanya

Tabung Haji guna sistem giliran baharu mulai 2029. Ini beza dengan sistem sedia ada dan cara untuk anda dapat jemputan tunai haji.

Mulai 2029, Tabung Haji (TH) akan gunakan sistem giliran Haji baharu. Salah satu keperluan utama adalah untuk miliki baki simpanan sekurang-kurangnya RM15,000. Sistem sedia ada iaitu first-come, first-served masih diguna pakai tapi tidak lagi cukup sekadar daftar haji.

Ini penjelasan sistem giliran Tabung Haji 2029.

Apa yang berubah pada sistem giliran Tabung Haji?

Sebelum ini, pendeposit yang ada simpanan sekurang-kurangnyha RM1,300 perlu daftarkan diri masuk ke dalam sistem giliran haji untuk beroleh anggaran tahun giliran haji mereka. Kemudian, TH lakukan kemas kini apabila pendeposit perlu ada sekurang-kurangnya RM15,000 untuk dapat tawaran mengerjakan haji bila sampai giliran.

Tapi dalam sistem yang akan dikuatkuasakan 2029 nanti, bakal jemaah haji perlu kekalkan baki RM15,000 dalam akaun hanya untuk kekal dalam sistem giliran. Makanya, anda tak perlu lagi lakukan daftar haji secara manual, semuanya berlaku secara automatik.

Pendeposit yang dah daftar haji vs. belum daftar haji

Sistem sedia ada akan diguna pakai sehingga 31 Disember 2028. Tapi, pendeposit yang sudahpun mendaftar ada tempoh sehingga itu untuk cukupkan baki simpanan RM15,000 kerana bermula 1 Januari 2029, sistem giliran baharu akan dikuatkuasakan.

Jadi, pendeposit yang mengekalkan baki RM15,000 mungkin dapat giliran lebih awal untuk kerjakan haji dan “potong barisan” pendeposit yang gagal mengekalkan baki simpanan minimum.

Di bawah sistem baharu, pendeposit tak perlu lagi daftar haji secara manual di cawangan TH, cawangan bank rakan niaga TH, THiJARI ataupun EPF Haji. Sebaliknya, jika simpanan cecah RM15,000 mereka akan secara automatik masuki sistem giliran selagi mereka kekalkan baki minimum yang ditetapkan.

Wajib kekalkan deposit Tabung Haji RM15,000

TH maklumkan yang syarat baharu itu digarap untuk memupuk sifat menyimpan dalam persediaan mengerjakan haji. Kos semasa untuk mengerjakan Haji adalah RM33,300/jemaah jika tanpa subsidi manakala RM15,000 untuk kumpulan B40.

Ia berikutan TB mengesan yang hampir 50% pendeposit yang sampai giliran untuk kerjakan haji terpaksa mohon penangguhan kerana tidak memenuhi syarat kewangan RM15,000 minimum. Tapi selepas syarat baharu itu diperkenalkan, kadar pendeposit yang mohon tangguh turun kepada 18%.

Simpan RM15,000 sahaja tak cukup. Pendeposit wajib untuk kekalkan baki simpanan RM15,000 kalau tidak, mereka akan keluar daripada giliran. Untuk memudahkan minimum simpanan dicapai pula, TH perkenalkan sistem dua tabung iaitu Tabung Am dan Tabung Istitoah. Tabung Istitoah ada syarat pengeluaran yang lebih ketat untuk pupuk sifat lebih berdisiplin pendeposit.

Jika takut terguna wang simpanan, pendeposit boleh pindahkan wang masuk ke Tabung Istitoah. Anda boleh baca lebih lanjut tentang Tabung Istitoah dalam artikel terdahulu.

Adakah simpan lebih banyak giliran haji lebih cepat?

Tidak. Simpan RM50,000 atau RM100,000 sekalipun tidak bermakna pendeposit boleh memotong barisan kerana sistem first come, first served masih diguna pakai. Syarat RM15,000 adalah syarat minimum untuk kesediaan kewangan, bukannya sistem bida.

Kesimpulannya, sistem Haji baharu diubah dengan satu syarat tambahan.

Sumber: Tabung Haji