A10 Networks umum satu produk baharu iaitu A10 AI Gateway. Ia adalah sebuah platform yang dibangunkan untuk bantu mengurus semua hal ehwal berkaitan penggunaan AI di dalam sesuatu organisasi. Bakal ditawarkan dalam suku keempat 2026, ia bukanlah model AI baharu, sebaliknya satu solusi pengurusan berpusat antara organisasi dengan pelbagai model AI yang digunakan di dalam operasi mereka.
Pengurusan berpusat yang boleh dijalankan adalah seperti pemantauan penggunaan, pengawalan kos, serta kawal selia akses, semua dalam satu solusi.
A10 AI Gateway pilih model AI secara automatik
Salah satu daya penarik A10 AI Gateway adalah Smart Routing. Perniagaan hari ini guna pelbagai jenis AI. Antara yag popular adalah OpenAI, Perplexity, Google Gemini, Anthropic Claude, dan banyak lagi. Sistem ini mampu tentukan secara pintar, model AI apa yang paling sesuai digunakan untuk penuhi sesuatu permintaan dengan cara menilai semua permintaan masuk daripada segi jenis dan tahap kerumitan.
Contohnya, tugasan mudah seperti meringkaskan teks boleh dihantar kepada model yang lebih murah sebaliknya tugasan yang perlukan penaakulan yang lebih kompleks boleh dihantar kepada model yang lebih berkemampuan. Pendekatan ini bolehkan organisasi mengimbangkan antara prestasi dengan kos penggunaan tanap perlu pengguna memilih model secara manual.
Objektif utamanya adalah untuk mengoptimumkan kos yang dibelanjakan ke atas model AI.
Pasukan IT boleh pantau penggunaan dan kos AI
Selain menentukan model yang sesuai, A10 AI Gateway turut mampu sediakan laporan berpusat tentang penggunaan dan kos AI dalam sesuatu organisasi. Menurut A10 Networks, organisasi boleh jejak kos bagi setiap penggunaan AI secara masa nyata, selain menetapkan peruntukkan token untuk model atau pasukan tertentu. Pentadbir IT juga boleh menetapkan had penggunaan atau menerima amaran apabila penggunaan menghampiri had yang ditetapkan.
Kawalan terhadap jumlah permintaan dan penggunaan token turut boleh ditetapkan. Ini membantu organisasi mengelakkan penggunaan AI daripada meningkat tanpa kawalan dan menyebabkan kos luar jangka.
Akses model AI boleh dikawal ikut pasukan atau pengguna
A10 AI Gateway juga boleh disepadukan dengan sistem direktori sedia ada untuk tujuan penetapan polisi AI berdasarkan pengguna atau kumpulan.
Sebagai contoh, organisasi boleh membenarkan pasukan kejuruteraan menggunakan model AI yang lebih berkemampuan, manakala pasukan kewangan hanya diberikan akses kepada model yang lebih mesra kos.
Dengan cara ini, organisasi mempunyai satu tempat untuk menetapkan peraturan tentang siapa yang boleh menggunakan model AI tertentu dan bagaimana ia boleh digunakan.
Boleh dijalankan dalam infrastruktur syarikat sendiri
A10 AI Gateway boleh digunakan sebagai perisian mandiri atau dipasang di dalam perkakasan. Ia juga boleh dijalankan dalam infrastruktur on-premis, awan peribadi atau persekitaran kedap.
Dengan cara ini, organisasi mengekalkan kawalan terhadap model AI, data dan polisi mereka dalam infrastruktur sendiri. Ia penting kepada syarikat yang ada peraturan ketat berkaitan keselamatan serta kedaulatan data.
A10 AI Gateway dijadualkan tersedia pada Q4 2026 dan akan melengkapi portfolio keselamatan AI A10 yang sedia ada, termasuk A10 AI Firewall, TrojAI dan ThreatX.
Sumber: A10 Networks
