
East Coast Rail Link (ECRL) Malaysia akan mula jual tiket pada harga serendah RM125 untuk perjalanan sehala Gombak-Kota Bharu. Tren ECRL katanya akan mula mengangkut penumpang pertengahan Disember 2026 nanti. Struktur tambang tersebut telah diluluskan Kabinet Malaysia pada 16 Oktober 2026 dan ia gunakan struktur harga dinamik iaitu bergantung kepada waktu perjalanan, permintaan, dan ketersediaan tempat duduk, sama seperti bila anda beli tiket kapal terbang.

ECRL Gombak-Kota Bharu bermula RM125 sehala
Sebagai permulaan, ECRL akan tawarkan perkhidmatan antara Gombak-Kota Bharu. Sebanyak dua jenis servis tren ditawarkan iaitu Transit dan Express. Berikut adalah tambang sehala untuk stesen-stesen ECRL yang terlibat.
Tiket ECRL Transit
- Gombak – Kota Bharu RM125
- Gombak – Kuala Terengganu RM95
- Gombak – KotaSAS RM60
Tiket ECRL Ekspress
- Gombak – Kota Bharu RM147
- Gombak – Kuala Terengganu RM110
- Gombak – KotaSAS RM68
Harga tiket ECRL guna mekanisme tiket kapal terbang
Seperti yang dikatakan tadi, ECRL mengguna pakai sistem harga dinamik untuk jual tiket. Harganya berubah berdasarkan waktu perjalanan dan permintaan. Ia bermakna harga tiket adalah bermula RM125 dan boleh naik mengikut keadaan tertentu. Seperti biasa, kalau nak dapat harga terendah, perlulah beli tiket seawal mungkin.
Diskaun 50% untuk kategori tertentu
Beberapa kategori penumpang bakal nikmati potongan harga bila naik ECRL. Penumpang warga emas, bawah 12 tahun, OKU, dan pesara kerajaan beroleh diskaun sebanyak 50%. Pelajar yang berumur antara 13 dan 24 pula diberikan potongan 40%.

Tren Ekspress lebih pantas daripada tren Transit
Dua jenis perkhidmatan yang ditawarkan adalah Ekspress dan Transit. Seperti namanya, servis Ekpress hanya akan berhenti di stesen-stesen utama iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu, dan Kota Bharu.
Ekspress mengambil masa kira-kira 4 jam antara Gombak dan Kota Bharu sementara Transit mengambil lima jam. Oleh sebab itu, tiket Express ada harga permulaan RM22 lebih tinggi berbanding Transit, tapi penumpang boleh jimat banyak masa.

Bila boleh beli tiket?
Jualan tiket ECRL akan bermula pertengahan November 2026 dengan servis antara Gombak-Kota Bharu bermula pertengahan Disember 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak kerajaan. Servis ECRL terdiri daripada 10 set tren EMU dengan kelajuan sehingga 160km/j. Sehingga 16 perjalanan dianggarkan dibuat sehari, bergantung kepada permintaan.
Sumber: ECRL
