Luno, Halogen Capital, dan Kenangan Investors dilapor sedang uji cara baru untuk dagang Ringgit guna blockchain. Solusi yang mereka sedang bangunkan adalah UMYR, stablecoin yang disandarkan pada Ringgit dan boleh digunakan untuk bertransaksi dalam pasaran matawang yang guna wang token.
Persoalan yang timbul daripada saya sebagai pengguna kebanyakan adalah, Ringgit sudahpun digital. Kenapa perlu ada token untuk gantikannya?
Apa itu Luno UMYR?
Seperti di awal artikel, UMYR adalah stablecoin yang dicadangkan Luno, Halogen Capital, dan Kenangan Investor serta disandarkan pada RInggit sebenar. Ia didagangkan secara berasingan daripada sistem perbankan sedia ada. Dalam erti kata lain, RM1 dalam rizab adalah bersamaan dengan 1 UMYR.
Sistem yang dicadangkan itu bolehkan mana-mana institusi yang sertai sistem UMYR untuk beli dan jual token dalam pasaran dana yang ditadbir oleh Halogen Capital dan Kenanga Investors. Tapi sebelum anda teruja nak mula berdagang, UMYR masih belum dilancarkan secara rasmi. Ia sedang dibangun untuk tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa dan undang-undang sedia ada di Malaysia.
Kenapa tukar Ringgit jadi token?
Bahagian ini yang mungkin menarik minat anda. Hari ini, jika nak hantar RM100 pada seseorang, kita dah boleh guna DuitNow atau guna mana-mana e-Wallet untuk tujuan tersebut. Jadi, UMYR bukanlah usaha untuk mendigitalkan wang tapi untuk suaikan Ringgit dengan sistem blockchain dan rungkaikan isu Delivery-versys-Payment (DvP). Tiga kelebihan sistem sebegini adalah:
- Penyelesaian pembayaran lebih pantas
UMYR mampu selesaikan pembayaran hampir serentak berbanding perlu lakukan koordinasi antara blockchain dengan sistem perbankan konvensional. - Pengautomatan melalaui kontrak pintar
Disebabkan blockchain boleh dipogramkan, transaksi menggunakan kontrak pintar boleh dijalankan. Pengesahan pembayaran boleh dibuat secara masa nyata bergantung kepada pencetus yang ditetapkan. - Penyelesaian 24/7
Sistem blockchain tiada cuti atau rehat. Penyelesaian boleh berlaku dalam sistem pada bila-bila masa dimana-mana jua.
Macam pernah lihat sebelum ini
UMYR nampak seperti evolusi wang yang sedang mengambil tempat. Kalau anda masih ingat, dulu orang bertransaksi dengan emas sebelum terlalu banyak emas menjadikannya susah dibawa kemana-mana. Oleh sebab itu, manusia wujudkan insturmen kertas untuk mewakili emas dan emas disimpan dalam rizab.
Kemudian, manusia berhijrah keluar daripada matawang yang bersandarkan emas kepada wang fiat. Seiring dengan masa, wang fiat pula hilang nilai kerana digantikan dengan angka-angka di atas skrin digital. Kini kita cuba untuk wujudkan lagi instrumen untuk mewakili wang. Tuntasnya, kitaran ini sentiasa berjalan.
Adakah Malaysia perlukan Luno UMYR?
Apa yang nak dibuat Luno, Halogen Capital, dan Kenanga Investor bukanlah wujudkan ringgit yang baharu. Ringgit masih perlu wujud sebagai tempat untuk UMYR bersandar. Kepercayaan terhadap sesuatu sistem adalah yang akan tentukan sama ada UMYR akan berjaya ataupun tidak.
Jika berjaya, sistem blockchain yang mengguna pakai wang token akan jadi pemudah kepada transaksi berasaskan RInggit, mudah daripada segi pantas dan pintar untuk kendalikan tansaksi harian.
Sumber: TheEdge
