e-Tunai Rakyat : Rakyat Untung Sikit, Kerajaan Untung Besar

Tengah reedem RM30 e-Tunai Rakyat ke tu? Kalau anda sibuk tengah fikir e-Wallet mana yang nak diguna untuk dapat duit free ni, mungkin anda boleh relaks dulu. Kenapa? Cuba baca bahagian Terma & Syarat (T&S) program e-Tunai Rakyat.

Apa yang anda faham?

Macam biasa, anda dapat RM30 secara one-off masuk dalam salah satu daripada tiga eWallet iaitu Boost, GrabPay, dan Touch ‘n Go eWallet. Lepas tu kena guna sebelum 15 Mac 2020 dan kalau tak, duit itu akan ditarik balik.

Apa yang anda tak faham?

Bila anda tebus RM30, anda bersetuju data yang anda berikan semasa pengesahan, digunakan leh pihak kerajaan untuk apa-apa saja. Data yang mereka ada adalah seperti:

  1. Wajah anda
  2. Gambar kad pengenalan
  3. Nama
  4. Nombor kad pengenalan
  5. Alamat
  6. Nombor telefon
  7. Untuk apa anda belanjakan RM30
  8. Di mana anda belanjakan RM30
  9. Bila anda belanjakan RM30

Apa yang boleh mereka manfaatkan daripada data-data ini?

Di bawah adalah salinan T&C Program e-Tunai Rakyat

TERMA DAN SYARAT PROGRAM E-TUNAI RAKYAT

1. Kriteria kelayakan:
Program ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia sekurang-kurangnya lapan belas (18) tahun pada 31.12.2020.
Untuk melayakkan diri menyertai program ini, pemohon perlu mengemukakan bukti pengenalan diri menggunakan Kad Pengenalan Malaysia yang sah, berdasarkan kepada rekod JPN.
Pemohon yang mempunyai pendapatan tahunan RM100,000 atau lebih bagi tahun 2018 adalah tidak layak untuk menyertai program ini, berdasarkan kepada pendapatan pemohon semasa pemohon fail cukai pendapatan tahun 2018.
2. Insentif program:
Pemohon yang layak akan menerima pembayaran RM30 secara ‘one-off’ apabila tuntutan telah diluluskan dan ia akan dikreditkan ke dalam e-Wallet pemohon dalam tempoh lima (5) hari. Walau bagaimanapun, kelewatan pembayaran mungkin berlaku semasa waktu puncak penyerahan tuntutan.
Insentif ini hanya boleh dituntut sekali sahaja oleh pemohon yang layak, mulai 15 Januari hingga 8 Mac 2020.
Insentif ini akan diberikan kepada pemohon yang terawal atau secara ‘first-come-first-serve’, sementara dana masih ada.
Setelah ditebus, insentif ini mesti digunakan sebelum atau pada 14 Mac 2020 dan sebarang jumlah insentif yang tidak digunakan akan ditolak daripada baki e-Wallet pemohon.
Semua insentif yang diterima adalah dihalang dan tidak boleh digunakan untuk transaksi seperti pemindahan dari satu akaun e-Wallet ke akaun e-Wallet yang lain, pengeluaran tunai dan kiriman wang. Semua insentif mestilah digunakan di Malaysia dan digunakan untuk barangan serta perkhidmatan yang disediakan di Malaysia.
Semua insentif yang diterima tidak boleh digunakan untuk sebarang aktiviti haram.
3. Perlindungan Data Peribadi:

  • Dengan memohon untuk menyertai Program ini, notis privasi data [Peserta] (“kami”) yang telah disediakan untuk anda kini diguna pakai. Sebagai tambahan kepada notis privasi data berkenaan, anda bersetuju dan membenarkan kami, syarikat yang berkaitan dengan kami, Kerajaan Malaysia dan penamanya, jabatan kerajaan dan/atau agensi kerajaan untuk mengumpul, menyimpan, menggunakan, memproses dan mendedahkan Data Peribadi anda (yang termasuk, tetapi tidak terhad kepada, nama anda, Nombor Kad Pengenalan, alamat, nombor telefon mudah alih, dan, sekiranya diminta, butiran akaun bank, penyata bank dan maklumat transaksi) untuk tujuan seperti berikut:
  • Memberikan dan mendedahkan Data Peribadi anda kepada kami, penyedia perkhidmatan (yang mungkin berada di luar Malaysia), Kerajaan Malaysia dan penamanya, jabatan kerajaan dan/atau agensi untuk pengesahan dan proses kelayakan permohonan anda bagi program ini.
  • Pengesahan tuntutan insentif dengan penyedia perkhidmatan e-dompet lain yang mengambil bahagian jika berlakunya pertikaian.
  • Memproses sebarang aduan yang mungkin anda kemukakan terhadap kami untuk program ini.
  • Menghantar sebarang notis atau berkomunikasi dengan anda menerusi penyedia perkhidmatan pihak ketiga berkaitan dengan program ini.
  • Mengumpul data (termasuk maklumat transaksi) mengenai produk atau perkhidmatan yang dibelanjakan oleh anda menggunakan insentif ini.
  • Membolehkan Data Peribadi anda digunakan oleh penyedia perkhidmatan pihak ketiga bagi memastikan keberkesanan program ini.
  • Memberikan dan mendedahkan Data Peribadi anda (yang mungkin termasuk maklumat transaksi anda) kepada Kerajaan Malaysia dan penamanya, jabatan kerajaan dan/atau agensi bagi menentukan kejayaan program ini.

Harap maklum bahawa anda tidak boleh menyertai program ini jika anda tidak bersetuju dan tidak membenarkan kami mengumpul, menyimpan, menggunakan, memproses dan mendedahkan Data Peribadi anda. Kami akan menyimpan Data Peribadi anda selaras dengan prinsip pemprosesan data (termasuk Prinsip Keselamatan) sebagaimana yang terkandung dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.