Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah institusi pelaburan berkaitan kerajaan yang ditubuhkan dalam tahun 1979. Institusi kewangan ini menyediakan servis pengurusan unit amanah dengan menawarkan pelbagai dana untuk rakyat Malaysia melabur.

Dana unit amanah yang ASNB tawarkan adalah seperti dana pulangan tunai tetap, dana ekuiti, dana seimbang, dan dana patuh syariah. Dengan dana-dana ini, mereka mampu menawarkan peluang pelaburan dalam pelbagai tahap risiko dan objektif.
Sebab ASNB popular dalam kalangan rakyat Malaysia
ASNB dimiliki sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). PNB adalah salah sebuah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dan ia dimiliki kerajaan Malaysia.
Salah satu perkara yang menarik dengan ASNB adalah orang awam boleh mengakses produknya dengan mudah. Oleh yang demikian, ia menjadi platform pelabur kecil dengan modal terhad menjana pendapatan. Perkara ini selari dengan usaha kerajaan Malaysia untuk mempromosikan kebersamaan dalam berkongsi hasil dalam kalangan rakyat.
Dana pelaburan ASNB biasanya mengagihkan dividen secara berkala. Dividen diambil daripada pulangan pelaburan dalam instrumen seperti saham, bon, dan lain-lain.
Satu lagi perkara yang menyebabkan ASNB menjadi tumpuan pelabur tempatan adalah mereka menawarkan banyak faedah daripada segi cukai. Contohnya, dividen yang diterima hasil pelaburan di ASNB biasanya dikecualikan daripada cukai pendapatan.
Bagi memudahkan pengguna melabur, mereka telah menyediakan pelbagai saluran pelaburan baik luar talian, seperti di kaunter-kaunter fizikal, hinggalah ke saluran dalam talian seperti aplikasi telefon pintar dan perbankan dalam talian.
Sebagai rumusan, ASNB sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai tempat untuk melabur disebabkan kestabilat, kebolehcapaian, dan pulangan yang kompetetif berbanding kaedah pelaburan lain.
Jenis pelaburan yang ditawarkan ASNB
ASNB secara kasarnya menawarkan produk pelaburan dalam dua kategori iaitu pelaburan dengan pulangan tetap ataupun pelaburan dengan pulangan boleh ubah.

1. Pelaburan dengan pulangan tetap
Pelaburan jenis ini menjanjikan dividen yang telah ditetapkan mengikut sesuatu tempoh tertentu. Ciri-ciri utama produk pelaburan dengan pulangan tetap ASNB adalah seperti:
- Jaminan Dividen: Pelabur dijanjikan suatu kadar dividen dan dibayar mengikut masa yang ditetapkan.
- Risiko Rendah: Disebabkan pulangan telah ditetapkan terlebih dahulu, produk pelaburan dalam kategori ini biasanya berisiko rendah
- Kestabilan: Pelaburan dengan pulangan tetap disasarkan kepada pelabur yang inginkan pulangan yang stabil
Contoh pelaburan dengan pulangan tetap yang ditawarkan oleh ASNB adalah seperti:
- Amanah Saham Bumiputera
- Amanah Saham Bumiputera 2
- Amanah Saham Bumiputera 3 – Didik Amanah Saham Malaysia
- Amanah Saham Malaysia 2 – Wawasan
- Amanah Saham Malaysia 3
2. Pelaburan dengan pulangan boleh ubah
Pelaburan jenis ini memberikan pulangan berdasarkan aset yang dilabur oleh ASNB bagi pihak pelabur. Ciri penting produk pelaburan dengan pulangan boleh ubah ASNB adalah seperti:
- Pulangan berdasarkan pasaran: Dividen diberikan berdasarkan prestasi aset seperti saham, bon, ataupun lain-lain instrumen kewangan
- Potensi pulangan yang tinggi: Biasanya produk dalam kategori ini menawarkan pulangan yang lebih tinggi dan risikonya juga tinggi kerana terdedah dengan naik-turun pasaran
- Kepelbagaian: Produk kategori ini mengurangkan risiko dengan melabur dalam pelbagai kelas asset.
Contoh produk pelaburan dengan pulangan boleh ubah yang ditawarkan oleh ASNB adalah seperti dana ekuiti, dana imbang, dan dana aset campuran. Contoh produk pelaburan dengan pulangan tetap yang ditawarkan oleh ASNB adalah seperti:
- Amanah Saham Nasional
- ASN Equity 2
- ASN Equity 3
- ASN Equity 5
- ASN Equity Global
- ASN Imbang 1
- ASN Imbang 2
- ASN Imbang 3 Global
- ASN Sara 1
- ASN Sara 2
- ASN Sukuk
Cara untuk melabur dalam ASNB
Terdapat pelbagai cara yang boleh anda gunakan untuk mula melabur dalam ASNB.

Ini adalah 7 saluran yang digariskan:
- Cawangan ASNB Kaunter fizikal ASNB diseluruh negara sedia membantu anda wujudkan akaun serta menawarkan sesi nasihat untuk anda memilih produk yang bersesuaian dengan tahap toleransi risiko serta objektif anda.
- Ejen ASNB Ejen ASNB bertindak sebagai orang tengah dalam memudah cara sewaktu anda ingin mula melabur dalam mana-mana produk ASNB.
- myASNB Ini adalah platform dalam talian untuk membolehkan pelabur memantau dan melakukan perubahan pada portfolio pelaburan mereka di ASNB.
- Auto Labur Servis pelaburan automatik yang boleh ditetapkan pengguna untuk lakukan transaksi secara kendiri.
- Perbankan Internet Pelabur juga boleh menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian yang ditawarkan bank-bank utama seperti Maybank2U, CIMB Clicks, Affin Always, RHBNow, HLB Connect, dan AmOnline untuk lakukan transaksi jual beli produk ASNB.
- Skim Potongan Gaji Memudahkan pelaburan ASNB dilakukan dengan cara menetapkan arahan bulanan untuk mengambil sebahagian gaji untuk membeli unit amanah ASNB.
- Skim Pelaburan Ahli KWSP Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga menyediakan kemudahan melabur menggunakan simpanan persaraan peserta. Ia membolehkan diversification dilakukan untuk menjana lebih keuntungan.
Anda boleh layari laman rasmi ASNB untuk maklumat lanjut.