PMX Anwar Ibrahim PMX Anwar Ibrahim

Malaysia akan perkenal “harga siling” servis hospital swasta dengan DRG

Dalam sidang Dewan Rakyat sesi pagi 10 Disember 2024, PMX Anwar Ibrahim mengumumkan yang Malaysia akan menguatkuasakan kaedah diagnosis-related group (DRG) untuk membendung kenaikan harga servis hospital swasta yang melampau. DRG katanya akan dikuatkuasakan awal tahun 2025.

Menurut PMX, harga perkhidmatan hospital swasta dilihat sebagai terlalu tinggi dan tidak munasabah sehingga memaksa pihak kerajaan campur tangan. Hal ini kerana terdapat laporan daripada Bank Negara (BNM) yang mengatakan inflasi kos perkhidmatan kesihatan direkodkan pada 12.6% berbanding 5.6% purata global untuk tahun ini.

Apa itu DRG dan kelebihannya

DRG adalah sistem pengkelasan pesakit berdasarkan diagnosis dan prosedur. Sistem ini diwujudkan sebagai alat untuk pengurusan peruntukkan, perbelanjaan, dan memantau kualiti perkhidmatan kesihatan hospital.

Apabila pesakit masuk hospital dan didiagnosis, dia akan dimasukkan ke dalam kod-kod DRG tertentu yang akan terus menentukan berapakah kos yang perlu dibayar kepada hospital walaupun rawatan hanya baru bermula. DRG telah diguna pakai dalam sistem insurans kesihatan Medicare Amerika Syarikat sejak 1983 dan kemudian menjadi standard untuk semua insurans negara itu.

Hospital elak beri rawatan berlebihan untuk naikkan bil

Salah satu objektif DRG adalah untuk menambah baik cara guna sumber oleh hospital. Hal ini kerana, hospital tidak akan berikan rawatan berlebihan hanya untuk naikkan bil pesakit. Mana taknya, kod-kod DRG ini akan tentukan amaun yang akan diterima hospital. Hasilnya, bilangan hari pesakit berada di hospital berkurangan.

Di A.S, sejak DRG digunakan sehingga 1990, Medicare melaporkan penjimatan sebanyak USD50 billion serta memanjangkan manfaat Medical Hospital Trust Fund untuk dinikmati rakyat yang lain (Fetter, 1991).

Walau bagaimanapun, DRG ada kekurangannya yang tersendiri.

Hospital usaha masukkan pesakit ke kod DRG yang mahal

Pengkritik mengatakan yang pihak hospital boleh lakukan “upcoding”. Ia penipuan pada diagnostik untuk mengkategorikan pesakit dalam kod DRG yang lebih mahal. Ataupun, pesakit berdepan dengan risiko keluar hospital terlalu awal kerana hospital ingan kosongkan ruang untuk pelanggan seterusnya. Padahal, sakitnya belum sembuh dan hasilnya, pesakit berdepan dengan sakit sampingan.

DRG adalah satu sistem yang kompleks dan datang dengan baik dan buruk. Memang ia dirangka untuk pertingkat kecekapan sistem kesihatan dan pastikan hospital menerima bayaran yang setimpal dengan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, perhatian juga perlu diberikan kepada bahagian yang mungkin boleh dieksploitasi secara negatif oleh pukah tak bertanggungjawab. Paling penting adalah, rakyat sebagai pengguna perkhidmatan kesihatan tidak menjadi mangsa kerakusan kapitalis.

DRG: 1 daripada 3 inisiatif bendung harga melampau hospital swasta

Sebenarnya, DRG adalah salah satu daripada tiga inisiatif jangka pendek yang sedang digerakkan kerajaan Madani untuk meminimumkan kesan kenaikan harga melampu hospital swasta.

Inisiatif yang kedua adalah dengan mula mendapatkan bekalan ubat generik yang lebih murah. Ia bagi menggantikan ubatan yang mahal daripada Amerika Syarikat dan Eropah. Inisiatif yang ketiga adalah memperkasakan program Rakan KKM untuk beri peluang kepada pesakit yang masih ingin dapatkan rawatan setaraf swasta di kemudahan awam dengan membayar sedikit premium.

Hospital swasta dan syarikat insurans perubatan saling tunding jari

Sejak 1 September 2024, BNM telah mewajibkan ciri copayment 5% dimasukkan adalam produk insurans perubatan untuk mengurangkan over-consumption pada perkhidmatan kesihatan. Namun, ia menerima rungutan pengguna kerana terpaksa menanggung beban yang berat untuk melanggan insurans perubatan.

Dalam masa yang sama, syarikat insurans dan hospital swasta pula menunding jari masing-masing menuduh sebagai punca inflasi teruk ini. Pihak insurans yang diwakili oleh Life Insurance Association of Malaysia (LIAM) mengatakan yang hospital swasta mengenakan cas yang tidak munasabah sementara Association of Private Hospitals Malaysia (APHM) pula menyalahkan kos operasi dan sumber pendapatan yang terhad sebagai punca.

Dakwaan tersebut seperti tak logik kerana IHH Healthcare Berhad salah satu ahli APHM mencatatkan keuntungan sebanyak RM623 juta untuk suku kedua tahun 2024 manakala syarikat insurans AIA pula catatkan keuntungan bersih sebanyak lebih RM23 juta untuk separuh pertama 2024.

Sumber: CodeBlue, MOH